Tayangan Perdana Arcane bersama selebriti terkenal, Youtuber dan pelakon suara!

Berpeluang diterbangkan ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat oleh Riot Games untuk menyaksikan tayangan perdana animasi Arcane menjadi satu pengalaman yang tidak ternilai buat penulis.

Malah, pengalaman ini dirancakkan lagi dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh (influencer) termasuk Youtuber membuatkan suasana majlis menjadi lebih meriah.

Tayangan perdana yang diadakan pada jam 7 malam (10 pagi waktu Malaysia) di Riot Games HQ dimulakan dengan sesi karpet merah.

Di Riot Games HQ, pelakon suara Arcane seperti Ella Purnell (Jinx) dan Kevin Alejandro (Jayce) hadir memeriahkan suasana.

Youtuber seperti OfflineTV, Tyler1, Swim dan pemain profesional League of Legends turut hadir. 

Bagi pelakon suara Arcane, ramai dari mereka ini adalah pelakon terkenal atau pelakon suara yang sudah lama berkecimpung dalam industri suara.

Hailee Steinfeld di Arcane yang menjadi pelakon suara untuk Vi.

Pihak MyGameOn tidak berkesempatan untuk menemu bual Hailee mengenai Vi.

Temuduga pendek bersama para pelakon suara

JB Blanc sebagai Vandal/Braum League of Legends

Apa perasaan anda sebagai pelakon suara yang dikenali sebagai Braum dari League of Legends tetapi kini menjadi pelakon suara untuk Vander dalam Arcane? Ada apa-apa persamaan di antara Braum dan Vander?

“Banyak perbezaan di antara Braum dan Vander.

“Braum lebih banyak dikenali sebagai jantung hati Freljord tetapi Vander pula banyak membawa emosi baru di awal cerita Arcane kali ini sebagai bapa angkat kepada Vi dan Powder (Jinx).

“Kedua-dua karakter juga dikenali sebagai bapa yang besar dan kuat tetapi sangat penyayang dan tegas,” katanya.

Kevin Alejandro sebagai Jayce dalam Arcane

Apakah perasaan anda menjadi pelakon suara untuk Jayce yang juga antara karakter terkenal dalam League of Legends dan kini menjadi salah pelakon suara untuk animasi Arcane?

“Saya begitu berbangga sekali dapat menjadi salah satu pelakon suara untuk League of Legends.

“Malah berada di dalam francais ini adalah sesuatu yang saya tidak sangka. Saya juga berasa Jayce banyak persamaan dengan diri saya.

“Mengetahui League of Legends banyak memberi saya pengalaman baru yang tidak pernah saya rasa.

“Saya juga hanya melihat episod 1 pilot yang masih belum siap dan berharap malam ini (tayangan perdana) perubahan besar akan berlaku dan mengejutkan semua orang,” katanya.

Ella Purnell sebagai Jinx dalam Arcane

Jinx sudah pasti antara salah satu Champion paling popular dalam League of Legends. Pernahkah anda bermain League of Legends dan apa persiapan Ella untuk mendalami watak Jinx?

“Saya tahu apa itu League of Legends, cuma saya tidak mempunyai masa untuk bermain dan cuba untuk bermain nanti pada masa akan datang.

“Namun, adik-adik saya suka bermain League of Legends dan ramai orang bersembang mengenai League di sekolah.

“Apabila saya tahu saya mendapat watak Jinx, saya banyak buat kajian mengenai dirinya. Akibat terlalu banyak membuat persiapan saya berasa teruja dan takut pada waktu yang sama untuk menjadi Jinx.

“Jinx bukan sahaja karakter yang mempunyai masalah mental, tetapi disebabkan trauma semasa kecil membuat Jinx menjadi seorang yang hebat sebagai saintis, kreatif dan sudah pasti sedikit gila!,” katanya.

Patung saiz sebenar Tibbers dan Annie dalam League of Legends.

Penulis tidak dibenarkan untuk membuat rakaman di dalam Dome Riot HQ yang juga tempat tayangan perdana Arcane ditunjukkan.

Dome yang menjadi tempat tayangan untuk Arcane mempunyai skrin besar dan dipenuhi dengan projektor yang akan berubah mengikut situasi di dalam penceritaan.

Jika anda berada di Zaun, latar belakang anda akan bertukar menjadi kawasan Zaun dan jika ada karakter menggunakan kuasa latar belakang juga akan mengikut seakan-akan kuasa itu dapat dirasai.

Pengalaman dan peluang penulis untuk hadir ke Riot Games HQ di Los Angeles nyata satu peluang yang saya tak akan lupakan.

Berjumpa dengan personaliti-personaliti yang terkenal dalam League of Legends dan tidak dilupakan kakitangan dari Riot Games.

Penulis mewakili MyGameOn ingin mengucapkan terima kasih atas peluang satu dalam seribu ini.

Nantikan seterusnya artikel review Tiga Episod Pertama Arcane tanpa spoiler nanti!

RELATED NEWS

+