Team Flash Terima Peruntukan RM6.32 Juta – Sasar Jadi Organisasi E-Sukan Bertaraf Dunia

Organisasi e-sukan terkenal di rantau Asia Tenggara, Team Flash menerima peruntukan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.32 juta) untuk meluaskan pengaruh di luar negara selain membangunkan industri e-sukan menerusi pencarian pemain e-sukan dan pencipta kandungan terbaik di rantau ini.

Team Flash yang bertapak di Singapura juga akan fokus untuk membawa masuk penajaan jenama dan media partnership selain melancarkan koleksi pakaian untuk atlet-atlet e-sukan. Difahamkan, peruntukan ini diperoleh dari Octava, sebuah syarikat pelaburan di Singapura yang memfokuskan e-sukan antaranya. 

“Asia Tenggara kini mencatatkan peningkatan yang agak baik dalam e-sukan untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Objektif kami adalah untuk menonjolkan bakat dari rantau ini di pentas dunia dan menyediakan perjalanan karier yang stabil bagi pemain-pemain kami.

“Kami teruja mengumumkan kolaborasi bersama syarikat pelabur ini yang akan membantu visi kami membawakan e-sukan ke golongan sasar. Matlamat kami adalah menjadikan Team Flash sebagai organisasi e-sukan bertaraf antarabangsa dalam 12 bulan akan datang dan menambah bilangan tenaga kerja di rantau Asia Tenggara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Team Flash, Terence Ting.

Baru-baru ini, Team Flash kini menggajikan lebih 30 atlet e-sukan dan pencipta kandungan dalam game berlainan termasuklah Arena of Valor (AOV), League of Legends (LOL), FIFA dan PUBG Mobile menerusi Vietnam, Singapura dan Indonesia.

Pasukan AOV Team Flash yang terdiri daripada pemain Vietnam baru-baru ini memenangi AOV World Cup dan membawa pulang kira-kira RM840,000 hadiah wang tunai terkumpul dan menjadi pasukan Vietnam pertama memperoleh gelaran juara antarabangsa. Selain itu, pasukan LOL mereka sedang berusaha untuk layak ke LOL Worlds Championship 2019 di Berlin, Jerman.

Sementara itu, Pengarah Pelaburan Octava, Tan Ying Yong berkata, Asia Tenggara mempunyai demografik e-sukan yang paling pantas berkembang.

“Penggunaan media sosial dan kandungan video adalah meluas di rantau ini. Kami percaya e-sukan mampu dikembangkan menjadi setaraf dengan sukan professional dan Team Flash sangat sesuai untuk objektif ini, melihat kepada rekod mereka dan aktiviti komuniti yang dijalankan,” katanya.

Pada bulan Mac lalu, Team Flash berkolaborasi dengan Hab Sukan Singapura bagi menyediakan fasiliti latihan e-sukan untuk atlet negara. 

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

TAGS

RELATED NEWS

+