Tindakan tatatertib dikenakan ke atas Kelra kerana isu gangguan seksual terhadap Ramella

Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Filipina kini mengumumkan mereka akan mengenakan tindakan penggantungan dari bermain selama 14 hari di musim liga MPL PH musim kelapan kepada Grant Duane “Kelra” Pillas dari pasukan Omega Esports.

Selain itu, amaran keras serta denda yang tidak didedahkan jumlahnya juga dikenakan terhadap beliau.

Tindakan tatatertib itu dikenakan kepada pemain Omega Esports itu berikutan pelbagai sumber mengatakan beliau membuat perkara terkutuk dengan melakukan gangguan seksual terhadap Ramella dari pasukan Idonotsleep Esports.

Ramella meluahkan rasa kesalnya di laman akaun rasmi Facebook beliau. “Hanya 14 hari ban dan tidak ada sebarang permohonan maaf dari pihak Omega Esports, adakah gangguan seksual diterima di dalam polisi pasukan itu? atau adakah ianya suatu perkara yang boleh dibuat di dalam Filipina?” ujarnya.

Pasukan Idonotsleep Esports juga turut meluahkan perkara yang sama dan memberi kenyataan bahawa mereka tidak berasa selamat untuk membawa masuk pemain wanita mereka untuk menyertai kejohanan di Filipina sehingga diumumkan. Mereka bertanggungjawab untuk menjaga para pemain untuk memberikan persekitaran yang selamat dan selesa.

Sebarang bentuk gangguan seksual amatlah dilarang di dalam komuniti e-sukan di seluruh dunia dan ianya amat dititik beratkan kepada setiap organisasi, perbuatan seorang pemain itu boleh mencalarkan imej diri sendiri, pasukan dan organisasi itu sendiri.

RELATED NEWS

+