Yatoro julang Aegis pada usia 18 tahun, menang sebahagian dari RM75 juta

Team Spirit baru sahaja memenangi kejohanan dunia paling berprestij di arena e-sukan iaitu The International Dota 2. Pertandingan ini menawarkan pemenang sebanyak AS$18 juta (RM75 juta).

Pemain carry Team Spirit iaitu Yatoro dari Ukraine memberikan penonton kejutan di atas kemahiran mekanikal membawa pasukan beliau ke arah kemenangan.

Yatoro menggunakan 14 hero berlainan sepanjang bermain di peringkat main event. Ini membuatkan pihak lawan sukar untuk mengetahui draft Team Spirit oleh kerana hero pool beliau sangat besar.

Selain itu, beliau mempunyai kesedaran pada peta (map awareness) yang tinggi dan kemahiran itu amat berguna ketika di dalam pertarungan. Posisi hero beliau di dalam perlawanan juga menjadi penyumbang kepada kejayaan Team Spirit menentang PSG.LGD di peringkat Grand Final.

Tidak kekok untuk bermain 14 hero yang berlainan, Yatoro menunjukkan kekuatan setiap hero untuk berada di top networth sepanjang perlawanan. Beliau baru sahaja berusia 18 tahun dan sudah berjaya bergelar jutawan serta juara The International.

Ini menjadikan beliau seorang pemain termuda yang membawa pulang Aegis of Champions selepas Sumail yang berjaya mendapatkan gelaran itu pada usia mencecah 16 tahun.

Sumber: The International

RELATED NEWS

+