Yoodo pertimbangkan add-on data League of Legends: Wild Rift jika ada permintaan

Baru-baru ini kami diberi peluang untuk menemu ramah Chow Tuck Mun, ketua Yoodo, untuk bertanya beliau tentang perkembangan syarikat tersebut dalam industri e-sukan tempatan.

Jenama Yoodo kini memang terkenal di Malaysia kerana mereka telah melibatkan diri dalam e-sukan secara meluas. Mereka telah menganjurkan dan menjadi penaja kejohanan-kejohanan seperti Kejohanan E-sukan Kampus (KEK) Semester 3PUBG Mobile Malaysia National Championship (PMNC) dan PUBG Mobile Campus Championship (PMCC) Malaysia.

Ramai peminat e-sukan di Malaysia mesti tahu tentang Yoodo Gank, pasukan PUBG Mobile yang ditubuhkan oleh Yoodo dan kini mereka dikenali sebagai salah satu pasukan PUBG Mobile terbaik di Asia Tenggara. Yoodo juga merupakan penaja kepada pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Geek Fam.

Jom baca dan ketahui rancangan Yoodo untuk projek-projek e-sukan mereka yang akan datang:

 

1. Yoodo kini makin terkenal dalam industri e-sukan tempatan. Apa yang mendorong Yoodo untuk mengambil langkah pertama ke dalam industri e-sukan?

Ya, kami berbangga kerana kami merupakan antara jenama terkemuka dalam e-sukan di Malaysia dan semuanya bermula sejak 2 tahun yang lalu. Pada 2018, beberapa bulan selepas Yoodo dilancarkan – kami mencari cara baharu untuk berinteraksi dengan orang ramai.

Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi, kami ingin melakukan lebih daripada sekadar memberi kebebasan kepada pengguna untuk memilih pelan telefon mudah alih yang terbaik dan sesuai dengan kehendak mereka, kami ingin memperkasakan pengguna agar dapat memenuhi hasrat mereka dengan lebih baik.

Gank.FTY, pasukan yang memenangi PMNC 2018 lalu dijadikan Yoodo Gank.

Dalam menentukan segmen mana yang kami ceburi, ternyata e-sukan menjadi keutamaan kami. Terdapat lebih daripada 20 juta pemain di Malaysia dengan majoriti daripada mereka gaming menggunakan telefon bimbit terutamanya. Maka, kami dapat melihat peluang pasaran yang jelas untuk memanfaatkan pangkalan peminat yang sangat meminati e-sukan.

Kami tahu kami boleh memasuki dan membawa industri ini ke tahap seterusnya. Pada masa yang sama, kami juga melihat betapa besarnya potensi bakat-bakat e-sukan tempatan dan kami ingin memainkan peranan dalam memupuk dan mengembangkan bakat ini dalam usaha memperkukuhkan nama Malaysia di arena global.

 

2. Apa pula perancangan untuk masa depan Yoodo dalam e-sukan dan juga industri telekomunikasi?

Pada tahun-tahun mendatang, Yoodo berhasrat untuk terus memperkukuhkan kedudukan dalam segmen e-sukan sebagai jenama yang paling dominan.

Ini adalah dari segi jumlah pertandingan dan permainan yang kami taja untuk memberikan pengalaman unik kepada peminat dan platform hebat untuk pemain. Kami juga akan berusaha untuk meningkatkan sokongan terhadap bakat-bakat e-sukan di negara ini.

Banyak pencapaian telah dikecapi dengan Yoodo Gank dan kini kami berhasrat untuk melakukan perkara yang sama dengan Yoodo FV dan juga pasukan Geek Fam MLBB. Pada masa hadapan, ini akan terus berkembang.

Pelancaran PMCC Malaysia 2019.

Dari aspek telekomunikasi, kami berhasrat untuk mengembangkan penawaran dan perkhidmatan kami untuk terus memberikan pengalaman yang terbaik kepada semua pengguna Yoodo.

Kami bangga menjadi perkhidmatan mudah alih yang boleh disesuaikan dan membolehkan pengguna memperibadikan pelan mudah alih mereka agar berapadanan dengan gaya hidup dan keperluan mereka sendiri.

Pada masa akan datang, kami akan terus meneroka dan berinovasi dengan kaedah baharu yang dapat memberikan lebih pengalaman peribadi dengan lebih banyak pilihan tambahan dan ciri-ciri produk yang meletakkan kuasa dan kawalan di tangan pengguna kami.

 

3. Selain daripada PUBG Mobile, Yoodo juga telah melibatkan diri dalam arena e-sukan Tekken. Ada perancangan untuk menubuhkan pasukan baharu dalam permainan permainan lain seperti FIFA, MLBB atau DOTA 2?

Ya, kami telah memperoleh kejayaan besar dalam PUBG Mobile bersama Yoodo Gank, yang kini boleh dikatakan pasukan e-sukan PUBG Mobile yang paling popular dan berjaya di negara ini.

Melalui Yoodo FV, kami juga mempunyai pemain e-sukan Tekken dan Street Fighter yang hebat. Kerjasama ini juga menyaksikan pelancaran kejohanan pertempuran Yoodo FV Major yang acara kemuncaknya akan diadakan pada akhir November ini.

Yoodo FV

Baru-baru ini kami mengumumkan penajaan pasukan e-sukan MLBB yang sangat popular, Geek Fam MLBB. Kami percaya mereka sangat berbakat dan mempunyai jumlah peminat yang semakin meningkat. Kini dengan Yoodo, kami komited untuk menyokong pasukan tersebut supaya ia mengecapi lebih kejayaan pada masa hadapan.

Semua usaha ini sangat memuaskan dari perspektif perniagaan yang dalam membantu menonjolkan jenama Yoodo. Tetapi lebih daripada itu, ia sangat memuaskan untuk melihat usaha kami jelas berbaloi apabila semua pasukan kami terus berkembang dan mencapai kejayaan.

Untuk masa akan datang, kami akan mencari lebih banyak peluang untuk menyokong industri e-sukan dan gaming melalui lebih banyak tajaan pasukan. Sekiranya ada peluang, kami terbuka untuk itu.

 

4. Yoodo masih menyediakan pakej add-on percuma PUBG Mobile dan add-on lain yang murah untuk AOV, CODM, dan MLBB. Salah satu permainan mudah alih popular yang akan dilancarkan di Malaysia ialah League of Legends: Wild Rift (LoLWR). Adakah Yoodo akan bekerjasama dengan Riot Games untuk apa-apa kolaborasi atau projek?

Kami menerima sambutan yang hebat daripada pengguna dengan pakej add-on gaming kami. Kami tahu pengguna kami menyukai permainan tersebut dan kami sentiasa mendengar pendapat mereka supaya kami boleh memberi lebih banyak cara bagi mereka untuk menikmati minat mereka.

Mengenai LoLWR, kami sentiasa memperhatikan situasinya. Jelas terdapat minat yang besar dalam komuniti gaming untuk LoL versi baharu mudah alih ini dan kami begitu teruja dengannya.

Sekiranya pengguna meminta add-on LoLWR yang serupa, kami akan mempertimbangkannya dengan serius dan menjadikannya kenyataan.

 

5. Adakah bilangan pelanggan gamers untuk Yoodo meningkat sejak penglibatan dalam industri e-sukan?

Kejayaan kami dalam arena e-sukan serta pengembangannya telah membuahkan hasil kepada perniagaan kami.

Pada masa ini, kami boleh berkongsi bahawa 30% pengguna Yoodo mempunyai sekurang-kurangnya satu add-on gaming sebagai sebahagian daripada pelan Yoodo mereka.

 

6. Apa perancangan Yoodo untuk menarik minat lebih ramai gamers di Malaysia?

Sejujurnya, rancangan kami kekal sama. Kami telah mencapai kejayaan yang besar dan sekarang hampir mendominasi arena e-sukan, jadi kami tidak akan berhenti sekarang.

Kami akan terus menyokong dan menerajui kejohanan yang kami telah dikenali dalamnya –PUBG MOBILE National Championship, PUBG MOBILE Campus Championship, Mobile Legends Professional League dan akan mencari lebih banyak peluang untuk lebih banyak kejohanan dalam permainan lain termasuk Call of Duty Mobile, FIFA dan banyak lagi.

Dua projek seterusnya untuk Yoodo?

Kami juga akan terus menyokong pelbagai pasukan e-sukan – Yoodo Gank, Yoodo FV dan Geek Fam MLBB. Kami yakin dengan bakat mereka dan percaya dengan sokongan kami, mereka akan terus mencapai kejayaan.

Kami juga akan terus menyokong pemain dengan lebih banyak data add-ons dan promosi yang membolehkan mereka bermain permainan yang mereka gemari dengan lebih mudah.

Dalam jangka masa panjang, kami yakin dengan sokongan berterusan dan konsisten dalam industri ini, kami akan dapat menunjukkan kepada pemain betapa komitednya kami dan seterusnya mereka akan menjadi peminat dan pengguna Yoodo.

 

7. Bagaimana pula dengan pembangunan permainan (games development)? Adakah Yoodo berniat untuk menceburi bidang tersebut?

Ini adalah cadangan yang sangat menarik. Pembangunan permainan setakat ini bukannya tumpuan kami di Yoodo. Tetapi seperti yang diketahui, di negara ini terdapat banyak pembangun permainan berbakat dan jumlah permainan yang berkualiti tinggi dari Malaysia juga terus meningkat.

Menyokong pembangunan permainan juga sejajar dengan modus operandi kami untuk memupuk dan menyokong bakat dari akar umbi untuk terus memantapkan Malaysia di pentas global.

Mungkin ini adalah idea yang boleh diteruskan untuk melihat bagaimana kami dapat menyokong mereka pada masa hadapan.

RELATED NEWS

+