10 permainan PS5 yang paling dinanti-nantikan

Konsol PlayStation 5 (PS5) akan dilancarkan di Malaysia pada 11 Disember ini dan pra-tempah bermula esok.

Apabila sebuah generasi baharu bermula dalam dunia permainan video, kebanyakan orang teruja untuk melihat perkembangan dan naik taraf dalam kualiti grafk serta prestasi permainan. PS5 menjanjikan permainan pada resolusi 4K dan kadar bingkai 60FPS. DualSense pula dikatakan sebagai alat kawalan PlayStation paling inovatif.

Semua ini hanya menjadi janji kosong jika PS5 tidak dilancarkan bersama permainan-permainan yang mampu menujukkan kuasanya. Oleh itu, ramai orang ingin tahu apakah permainan hebat yang akan dikeluarkan untuk konsol ini.

Jom kita tengok 10 permainan PS5 yang paling dinanti-nantikan!

 

Cyberpunk 2077

Walaupun sudah ditunda sebanyak tiga kali, ramai pemain masih tidak sabar untuk menerokai dunia Cyberpunk 2077 yang sedang direka oleh CD Projekt Red. Permainan ini menjadikan anda seorang penduduk Night City, sebuah bandar cyberpunk di mana teknologi dan biologi telah bergabung ke tahap yang sangat canggih.

Reputasi CD Projekt Red sebagai studio yang mahir mencipta dunia terbuka penuh kandungan sudah terbukit dengan The Witcher 3. Kali ini, mereka dicabar dengan usaha untuk mewujudkan dunia futuristik yang disusun dengan sangat teliti tetapi pada waktu yang sama, ia perlu memberikan banyak kebebasan kepada pemain.

 

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales

Marvel’s Spider-Man dilancarkan pada 2018 untuk PlayStation 4 (PS4) dan ia menjadi salah satu permainan paling berjaya pada tahun tersebut dari segi jualan dan ulasan. Miles Morales, adiwira terbaru yang memikul tanggungjawab sebagai Spider-Man generasi baharu, bakal muncul dengan permainannya sendiri.

Selain daripada kualiti grafik yang lebih mantap, Spider-Man: Miles Morales akan menonjolkan permainan yang lain berbanding Spider-Man 2018. Hal ini demikian kerana senarai kuasa dan kemahiran Miles Morales berbeza berbanding Peter Parker. Dia boleh menggunakan kuasa elektrik dan juga menjadi halimunan.

 

Assassin’s Creed Valhalla

Ramai pemain telah menjadi bosan dengan rekaan dunia terbuka permainan-permainan yang dikeluarkan oleh Ubisoft. Sebagai jawapan, Ubisoft menyatakan bahawa Assassin’s Creed Valhalla akan mempunyai beberapa perbezaan besar berbanding permainan-permainan Assassin’s Creed sebelum ini.

Permainan kali ini lebih memberikan fokus terhadap pembangunan kampung atau settlement pemain. Satu lagi aspek penting ialah memperkembangkan pengaruh kumpulan viking yang diketuai oleh pemain sendiri.

 

Demon’s Souls

Bluepoint Games kembali dengan satu lagi remake yang sudah lama diminta oleh ramai pemain PlayStation. Demon’s Souls pada asalnya dilancarkan untuk PlayStation 3 (PS3) pada tahun 2009. Itulah permulaan fenomena yang kini dikenali sebagai Dark Souls.

Ramai peminat permainan FromSoftware (siri Dark Souls, Bloodborne, dan Sekiro: Shadows Die Twice) tidak sempat mencuba Demon’s Souls. Ini merupakan peluang keemasan kepada anda yang belum pernah main “bapa” kepada siri Dark Souls. Seperti semua anak-anakya, ia juga sangat sukar.

 

Resident Evil Village

Kejayaan Resident Evil 7 Biohazard dan Resident Evil 2 Remake ibarat mewujudkan renaissance siri Resident Evil. Walaupun kejayaan ini sedikit kecundang dengan respon negatif terhadap Resident Evil 3 Remake, ramai peminat permainan seram tetap berminat dengan dunia Resident Evil.

Setelah beberapa tahun memberi fokus terhadap permainan versi remake, Capcom akhirnya kembali dengan sebuah judul baharu yang akan menyambung jalan cerita Ethan Winters, watak utama Resident Evil 7. Watak utama siri Resident Evil Chris Redfield juga muncul semula dalam Resident Evil Village.

Yang lebih menarik kali ini, RE Village menggunakan latar tempat perkampungan sama seperti Resident Evil 4. Latar tertutup ini membuatkan pemain lebih menyelami jalan cerita sama seperti RE7 dahulu.

 

Gran Turismo 7

Siri Gran Turismo terkenal sebagai raja permainan simulasi perlumbaan di PlayStation. Dengan penambahan kualiti grafik serta waktu muatan yang jauh lebih pantas berbanding PS4, Gran Turismo 7 nampaknya akan menjadi satu permainan perlumbaan yang tidak mudah dilupakan!

Dari segi kualiti grafik, satu penambahan besar ialah teknik pencahayaan ray-tracing. Ia boleh dilihat melalui pantulan bentuk kereta dalam imej di atas. Teknik pencahayaan ini mewujudkan unsur pemantulan cahaya yang sangat realistik.

 

Hogwarts Legacy

Para peminat francais Harry Potter sudah lama mencari permainan dunia terbuka dalam dunia fiksyenal penuh keajaiban tersebut. Nampaknya impian mereka bakal menjadi kenyataan dengan ketibaan Hogwarts Legacy.

Akhirnya anda diberi kebebasan untuk mencipta dan bermain sebagai seorang pelajar di sekolah Hogwarts. Anda juga akan membuat pelbagai pilihan penting yang menentukan perjalanan anda dalam dunia tersebut.

 

Horizon Forbidden West

Permainan pantas, grafik cantik, dan jalan cerita menarik. Itulah ciri-ciri yang membuatkan ramai pemain jatuh cinta dengan Horizon Zero Dawn yang dilancarkan untuk PS4. Sekuelnya Horizon Forbidden West menjanjikan pengembaraan baharu di kawasan-kawasan yang lebih cantik dan menarik.

Penulis sendiri tidak sabar untuk melihat rekaan dinosaur robot baharu yang ganas dan canggih. Trailer permainan ini sudah pun menunjukkan robot berdasarkan woolly mammoth dan sejenis kura-kura gergasi.

 

God of War: Ragnarok

Setelah ditamatkan dengan God of War 3 di PS3, Sony mengejutkan dunia apabila ia menghidupkan kembali siri God of War dengan permainan baharu di PS4. Walaupun permainan asas diubah, ia tetap menonjolkan keganasan dan keseronokan yang disukai peminat siri tersebut.

God of War: Ragnarok merupakan sekuel kepada reboot tersebut. Ia masih berada pada fasa awal pembangunan. Oleh itu, Sony Santa Monica masih belum mendedahkan banyak maklumat mengenai permainan ini. Apa yang penting ialah kemunculan Thor telah pun disahkan dalam pengakhiran permainan pertama.

 

Yakuza: Like a Dragon

Siri permainan Yakuza bermula di PlayStation 2 (PS2) dan ia sudah meninggalkan legasi yang hebat di PS3 dan PS4. Sega akan membawakan judul terbaru iaitu Yakuza: Like a Dragon ke PS5 pada tahun depan.

Permainan ini sebenarnya sudah dilancarkan di PS4 tetapi hanya di Jepun. Versi antarabangsa PS4 akan dilancarkan pada bulan November ini dan apabila versi PS5 dilancarkan pada Mac 2021, pemilik versi PS4 boleh naik taraf ke versi PS5 secara percuma.

Adakah anda teruja untuk main permainan-permainan yang disenaraikan di atas? Penulis berharap anda berpeluang untuk menjadi pemilik awal konsol PS5 dan menikmati semua permainan-permainan hebat ini!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+