YouTube."> YouTube." /> YouTube." />

3 pengumuman besar dari Pokémon Presents Februari 2021

The Pokémon Company baru-baru ini mengadakan siaran langsung Pokémon Presents pada 26 Februari 2021. Acara ini juga diadakan sempena ulang tahun ke-25 francais Pokémon. Anda boleh menonton rakaman acara pembentangan ini di YouTube.

Terdapat beberapa pengumuman menarik yang telah membuat ramai peminat Pokémon teruja. Berikut adalah tiga permainan terbesar yang didedahkan dalam acara pembentangan tersebut:

 

Pokémon Legends: Arceus

Pengumuman terbesar dari Pokémon Presents kali ini ialah Pokémon Legends: Arceus. Sama seperti Pokémon Sword & Shield, ia merupakan sebuah permainan Pokémon 3D yang mempunyai dunia terbuka.

Permainan ini akan meletakkan pemain di kawasan Sinnoh pada zaman dahulu. Menurut The Pokémon Company, pelbagai sistem baharu seperti menyelinap ke arah Pokémon akan membuatkan sistem pertarungan lebih lancar dan realistik.

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk permainan ini, jalan cerita utama akan memberikan fokus terhadap Arceus, Pokémon bertahap Mythical. Tiga Starter Pokémon dalam permainan ini adalah Rowlet, Cyndaquil, dan Oshawott.

Pokémon Legends: Arceus akan dilancarkan di Nintendo Switch pada awal tahun depan.

 

Pokémon Brilliant Diamond & Shining Pearl

Pada tahun 2006, Pokémon Diamond Version dan Pokémon Pearl Version dilancarkan untuk Nintendo DS. Kedua-duanya akan kembali dalam bentuk remake yang bertajuk Pokémon Brilliant Diamond dan Shining Pearl.

Permainan ini sedang dibangunkan oleh ILCA, Inc. yang pernah terlibat dalam pembangunan Pokémon Home, NieR: Automata, dan Yakuza 0. Permainan asal yang direka sepenuhnya secara 2D akan dijadikan 3D dalam remake ini.

Pokémon Brilliant Diamond dan Shining Pearl akan dilancarkan di Nintendo Switch pada penghujung tahun ini.

 

Trailer baharu New Pokémon Snap

22 tahun telah berlalu sejak pelancaran permainan Pokémon Snap pertama untuk konsol Nintendo 64. Akhirnya, The Pokémon Company mengumumkan sebuah sekuel yang bertajuk New Pokémon Snap.

Permainan ini mempunyai cara permainan utama yang sama dengan permainan Pokémon Snap pertama. Anda akan mengembara ke pelbagai lokasi berbeza untuk mengambil gambar Pokémon liar.

Setiap gambar akan diberikan penilaian bintang mengikut syarat-syarat tertentu. Terdapat juga sistem atas talian yang membenarkan pemain untuk berkongsi foto dan bertanding dalam sistem ranking.

New Pokémon Snap akan dilancarkan pada 30 April tahun ini secara eksklusif di Nintendo Switch.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+