5 permainan video samurai paling best generasi ini

Sejarah dan budaya negara Jepun sering menjadi inspirasi pembangunan permainan video, lagi-lagi dalam genre aksi yang mempamerkan watak-watak samurai dan ninja.

Antara permainan video bertemakan samurai yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ialah Ghost of Tsushima. Sementara menunggu ketibaan judul tersebut, terdapat banyak lagi permainan video samurai yang anda boleh cuba.

Berikut adalah senarai lima permainan video samurai yang paling menyeronokkan (pada pendapat penulis):

 

Sekiro: Shadows Die Twice

Platform: PC, PlayStation 4 (PS4), dan Xbox One

Dalam pertarungan samurai yang sering digambarkan dalam filem-filem aksi, satu aspek yang paling dititikberatkan ialah kesabaran dalam mencari peluang yang sempurna untuk menyerang musuh.

Cabaran utama Sekiro: Shadows Die Twice ialah ia sentiasa menguji kebolehan pemain mencari waktu sesuai untuk menyerang dan bertindak. Ini membuatkan judul tersebut menjadi sangat susah tetapi apabila anda mempelajari sistemnya, anda akan merasa sangat puas hati apabila menewaskan setiap musuh.

 

Nioh 2

Platform: PS4

Sama seperti Sekiro: Shadows Die Twice, Nioh 2 juga merupakan sebuah permainan video yang akan mencabar kemahiran anda sebagai pemain. Setiap kesilapan akan diberi hukuman setimpal. Kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Keistimewaan Nioh 2 ialah ia mempunyai sebuah jalan cerita yang menggabungkan sejarah sebenar Jepun pada zaman Sengoku dan mitos serta kepercayaan Jepun seperti oni, yokai, dan banyak lagi.

 

Onimusha Warlords

Platform: PC, PS4, Nintendo Switch, dan Xbox One

Jika anda tidak mempunyai PC yang berkuasa atau hanya bermain di konsol, Onimusha Warlords merupakan judul yang sesuai untuk dimain. Ia merupakan versi remaster permainan asal yang dilancarkan di PlayStation 2 (PS2) pada tahun 2001.

Kebanyakan bekas pemilik PS2 semestinya pernah bermain judul hebat ini. Ia berkisahkan tentang seorang samurai yang terpaksa bertarung dengan raksasa demi menyelamatkan sepupunya yang merupakan seorang puteri.

Walaupun kualiti grafik judul ini tidak begitu hebat, ia tetap mempunyai permainan yang mudah untuk dinikmati dan jalan ceritanya juga agak menarik.

 

Katana Zero

Platform: PC dan Nintendo Switch

Jangan tertipu dengan grafik pixel Katana Zero. Ia tetap merupakan sebuah permainan video yang penuh dengan permainan pantas dan beraksi.

Anda bermain sebagai seorang samurai pembunuh upahan pada zaman moden. Jalan ceritanya bermula dengan sebuah premis yang ringkas di mana anda diupah untuk membunuh seseorang, walaubagaimanapun misi tersebut gagal dan jalan cerita menjadi sangat aneh.

Permainan Katana Zero agak mendebarkan kerana watak anda boleh dibunuh dengan sangat mudah tetapi pada waktu yang sama, kebanyakan musuh juga boleh dibunuh dengan mudah.

 

Total War: Shogun 2

Platform: PC

Dalam senarai ini, Total War: Shogun 2 sahaja merupakan judul genre strategi dan bukan permainan aksi. Ia tetap layak disenaraikan kerana ia mempamerkan sejarah peperangan Jepun pada zaman Sengoku dengan sangat baik.

Anda akan mengawal empayar suku (clan) anda dan perlu menawan negara Jepun dengan menggunakan pelbagai cara seperti peperangan, diplomasi, dan juga muslihat.

Pada pendapat penulis, judul ini merupakan antara permainan video Total War yang paling menyeronokkan dan ia patut dicuba oleh mereka yang meminati permainan strategi.

RELATED NEWS

+