5 sebab kenapa korang perlu main Genshin Impact

China kini telah menjadi sangat berpengaruh dalam dunia permainan video kerana studio-studio di sana telah mengeluarkan banyak permainan-permainan popular seperti Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile. Genshin Impact adalah permainan buatan China terbaru yang menjadi sangat popular.

Genshin Impact dikeluarkan oleh miHoYo. Nama studio ini memang tidak asing bagi mereka yang berminat dengan permainan mudah alih dengan estetik anime kerana mereka juga merupakan pembangun Honkai Impact 3rd.

Permainan tersebut dilancarkan pada bulan lepas untuk PC, PlayStation 4 (PS4), iOS, dan Android. Setakat ini, ia telah mencatat 17 juta muat turun di peranti mudah alih sahaja! Dalam tempoh seminggu selepas ia dilancarkan, ia juga telah menjana perbelanjaan pemain sebanyak AS$60 juta (RM248 juta).

Jika anda masih belum menyertai keluarga pemain Genshin Impact, inilah masa yang sempurna untuk bermula! Permainan ini sangat menyeronokkan dan apa yang paling hebat ialah ia…

 

1. Percuma di semua platform!

Ya, anda baca kenyataan tersebut dengan betul. Genshin Impact ialah sebuah permainan percuma. Untuk pemain PC, ia boleh dimuat turun di laman web rasminya. Pemain PS4 pula boleh muat turun melalui PlayStation Store. Pengguna Android boleh mendapatkannya di Google Play Store dan pengguna iOS pula di Apple App Store.

Walaupun permainan ini percuma, ia mempunyai kualiti yang boleh dikatakan hampir sama dengan permainan yang perlu dibeli atau dibayar langganan. Kualiti grafik, lakonan suara, dan permainan Genshin Impact memang jauh lebih hebat berbanding banyak permainan percuma di luar sana.

 

2. Tiada tekanan berat pay-to-win

Apabila mengetahui bahawa sebuah permainan video ialah free-to-play, penulis sedar terdapat ramai orang yang tetap tidak berminat untuk mencubanya kerana mereka yakin mesti ada sistem pay-to-win berhubung dengan mikrotransaksi.

Penulis menjaminkan perkara ini tidak menjadi masalah besar dalam Genshin Impact. Memang terdapat mikrotransaksi untuk membeli wang yang boleh digunakan untuk membeli watak-watak dan menambahbaik senjata dan aksesori tetapi anda tidak perlu mengeluarkan satu sen pun untuk menikmati permainan ini sepenuhnya.

Semua kandungan dalam permainan ini boleh diperoleh melalui permainan biasa. Ramai pemain Genshin Impact menyatakan sistem mikrotransaksi ini lebih menjurus ke arah “pay-to-waifu” yang bermaksud ia hanya penting kepada mereka yang obses dengan rekaan watak-watak anime dalam permainan ini.

 

3. Sistem pertarungan yang penuh aksi dan mempunyai kedalaman

Antara ciri istimewa Genshin Impact ialah ia membenarkan anda untuk menukar antara empat watak-watak berbeza ketika bertarung. Ini membenarkan anda untuk melakukan kombo-kombo yang menarik dan juga menggunakan gabungan kuasa elemen-elemen.

Pembelajaran cara pertarungan tidak mengambil masa yang lama kerana ia amat mudah. Serangan dan penggunaan kemahiran senang dilakukan tidak kira anda bermain di PC, PS4, atau peranti mudah alih.

Setiap watak mempunyai cara kawalan tersendiri mengikut senjata dan stats mereka. Ada yang menggunakan senjata jarak dekat seperti pedang dan tombak dan senjata jarak jauh seperti busur dan anak panah.

 

4. Kualiti grafik setanding permainan hebat seperti The Legend of Zelda: Breath of the Wild

Penulis sendiri terpegun dengan kualiti grafik Genshin Impact. Semua watak-watak dalam permainan ini mempunyai rekaan anime yang comel dan persekitaran pula dicorak menggunakan teknologi cel-shading, membuatkan dunia terbuka dalam permainan ini nampak sangat cantik dan berwarna-warni.

Setiap kesan khas grafik seperti percikan api, letupan, kilat, dan lain-lain ditonjolkan pada kualiti yang hebat. Jangan risau jika anda bermain versi iOS and Android, ia tetap mempunyai kualiti grafik yang mempertunjukkan kualiti tekstur dan kesan khas tinggi.

Permainan ini memang buatan studio dari China tetapi ia mempunyai empat tetapan bahasa. Secara lalai (default), Bahasa Inggeris dipilih apabila anda memulakan permainan ini pada kali pertama. Walaubagaimanapun, lakonan suara Bahasa Jepun, Bahasa Cina, dan Bahasa Korea juga disediakan.

Lakonan suara Bahasa Jepun dan Bahasa China dilakukan dengan sangat baik dan penulis mengesyorkan anda untuk menggunakan salah satu daripada dua bahasa tersebut.

 

5. Ada mod multi-pemain untuk 4 orang

Genshin Impact boleh dimain secara berseorangan tetapi ia juga menawarkan mod multi-pemain di mana anda boleh bermain bersama tiga orang rakan-rakan lain. Anda boleh meneroka dunia terbuka besar dan menewaskan raksasa secara bersama-sama.

Misi-misi utama yang meneruskan jalan cerita tidak boleh dilakukan dalam mod multi-pemain tetapi anda boleh melakukan pertarungan cabaran dan berlawan dengan musuh boss.

Penulis sekali lagi menggalakkan anda untuk mencuba permainan ini kerana ia adalah percuma dan sangat menyeronokkan. Lagipun, anda boleh bermain bersama rakan-rakan anda.

Tunggu apa lagi? Jom main Genshin Impact!

RELATED NEWS

+