Anak Jati Terengganu Ini Cipta Nama Di Asia, Menang Kejohanan Asia Call Of Duty 2019

Siapa sangka main game pada usia muda boleh bawa seseorang berjaya hingga ke peringkat Asia.

Menang COD Asia Championship 2019. Gambar: IG @danielrainyz

Itulah rezeki yang dimiliki pemilik nama penuh Daniel Ali, 19 ataupun lebih dikenali sebagai Rainyz dalam arena kompetitif Call of Duty. Rainyz baru-baru ini memenangi kejohanan Call of Duty Asia Championship 2019 yang juga melayakkan dia bersama pasukannya, RamPaGe Gaming ke COD World League Anaheim Open pada Jun ini.

Baca lanjut: RamPaGe Gaming bawa harapan negara sekali lagi

Ikuti temu bual penulis bersama anak muda berbakat ini!

Mula dari bawah, main Call of Duty Modern Warfare 2

Call of Duty Modern Warfare 2

Anak jati Dungun, Terengganu ini pada mulanya berjinak-jinak dengan permainan video Call of Duty Modern Warfare 2 yang dikeluarkan pada tahun 2009. Disebabkan permainan ini sangat menepati minatnya yang terarah kepada permainan berkonsepkan perang, dia terus bermain untuk beberapa tahun sebelum memasuki pertandingan pertamanya dalam COD: Black Ops III.

“Dulu ayah belikan COD dan saya rasa game fast-paced memang best dan mencabar. Jadi dari situ saya banyak luangkan masa lapang main game ini sampailah sekarang. Lepas beberapa lama, ada juga terfikir untuk main dalam pertandingan, nak rasa macam mana suasana kompetitif dalam e-sukan.

“Dalam satu pertandingan COD: Black Ops III, saya berjaya menang tempat kedua. Dari situlah semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain kompetitif bermula. Selepas itu, saya sertai kira-kira 9 pertandingan di bawah nama beberapa pasukan sebelum dipilih untuk memasuki RamPaGe,”

Bersama RamPaGe Gaming

RamPaGe diwakili Abdul “RanGer” Hakiem sebagai kapten, Daniel “Rainyz” Ali, Sean “SeanAsia–” (Singapura), Izzul Amin (Singapura) dan Jericho Ambulo dari Filipina. Gambar: FB RamPaGe Gaming

Daniel berkata, Sean yang juga ahli pasukan RamPaGe memantau prestasinya dan membuat keputusan untuk memilihnya berdasarkan track record dan kemahiran individu (Rainyz boleh dikatakan handal menggunakan Assault Rifle jenis ICR dan Maddox, malah mahir memakai Specialist Prophet).

“Selepas COD: Black Ops IV dilancarkan, saya berhasrat sertai RamPaGe kerana mereka adalah pasukan terbaik di peringkat Asia dan ada pengalaman luas bermain di luar negara. Alhamdulillah saya dipilih ketika pertukaran roster dilakukan,”

Bercerita mengenai latihannya, beliau selalu menonton video dan berlatih pada waktu malam.

“Kalau dulu saya berlatih dengan melihat video dari pemain profesional yang bermain di peringkat antarabangsa dan mempelajari strategi mereka, rutin itu bertukar apabila menyertai RamPaGe.

“Selepas balik dari kolej, saya akan terus main COD. Latihan kami kebiasaannya bermula pada jam 8 malam dan berakhir pada jam 1 pagi. Kami juga berlatih sehabis baik sebab bukan semuanya berada di lokasi sama. Ada yang dari Singapura dan Filipina jadi kebanyakan sesi dibuat secara dalam talian,”

Penuntut Kolej University Poly-Tech MARA (KUPTM) dalam bidang Sains Komputer ini juga tak pernah mengabaikan pelajaran.

“Kalau ikut cara saya, memang saya akan sambung pengajian kerana pelajaran itu lebih penting. Tapi stigma mengatakan gamers tak ada hasrat untuk sambung belajar tu sebenarnya tak benar kerana yang penting adalah disiplin dan perlu pandai membahagikan masa,”

Cemerlang di COD Asia Championship 2019

Daniel teruja bertanding di Hong Kong, China. Gambar: RamPage Gaming

Banyak kali menyertai kejohanan dalam negara, breakthrough Rainyz bermula apabila memasuki pertandingan Call of Duty Asia Championship 2018 di Battle Arena, Kuala Lumpur di bawah pasukan Venom ReD yang mana beliau mendapat tempat ketiga bersama ahli pasukannya, Nazmi, Roses dan ArtShot.

Sejak November lalu, beliau bersama RamPaGe dan bertanding dalam talian selain layak ke CWL Las Vegas Open 2019. 

Bercerita mengenai pengalamannya bermain di Hong Kong, China untuk COD Asia Championship 2019, Daniel akui perasaan berdebar sentiasa terasa.

“Pada mulanya saya berasa gugup dan gementar tapi apabila sudah menghabiskan pusingan pertama, perasaan itu sudah tiada. Mana tidaknya, ramai penonton di depan dan ada peminat yang simpan harapan untuk tengok kita menang.

“Selepas habis pusingan pertama, saya terus berasa teruja dan mendahagakan kemenangan. Lagi-lagi dengan sokongan dan kata-kata dari ahli pasukan yang ingin lihat saya berjaya sama seperti mereka,”

Perjalanan belum tamat

Kemenangan di COD Asia Championship 2019 hanyalah permulaan. Gambar: RamPaGe Gaming

Bagi Daniel, matlamat sebenar bagi pemain COD adalah memasuki CWL Pro League kerana disitulah pemain profesional bertanding untuk mengejar gelaran World Champion.

“Perjalanan saya belum tamat, masih banyak yang ingin saya kecapi dalam bidang ini. Kemenangan di Hong Kong, China hanyalah permulaan untuk sesuatu yang lebih baik,”

Ketika ditanya kalau ibu bapa menyokong perjalanan kariernya, Daniel punya jawapan yang acap kali dikongsi gamer lain.

“Pada awalnya, ibu dan ayah tak setuju dan anggap ia buang masa tapi saya teruskan saja bermain sehinggalah mereka memberi sokongan apabila saya memperoleh tempat kedua dalam pertandingan COD Black Ops 3.

“Dari situ perspektif mereka pada esports mula berubah. Nasihat saya kepada pemain lain yang ingin serius dalam bidang ini, teruskan praktis dan main sehingga berjaya kejar impian. Jangan mengaku kalah dan terus usaha dengan bersungguh-sungguh.

“Saya ada terbaca satu quote yang berbunyi ‘Without losing, winning isn’t so great’,”

Penulis ingin ucapkan selamat maju jaya kepada Rainyz dan ahli pasukan RamPaGe Gaming. Semoga mereka sentiasa fokus dengan matlamat sebagai pemain profesional dan berjaya harumkan nama negara di peringkat dunia suatu hari nanti!

RELATED NEWS

+