COVID-19: “Ada Hikmah, Dapat Hari-Hari Jumpa Ibu,” – Aiman Sekaiichi

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat membantut hasrat pelbagai pihak, siapa sangka di sebaliknya timbul hikmah.

Bagi Muhammad Aiman Roshizam, 24, dia bersyukur dapat meluangkan masa dengan keluarga terutama ibunya yang jarang dapat berjumpa.

Aiman yang juga seorang pengulas e-sukan dan pengulas bola sepak sebelum ini terlalu sibuk dengan jadual pada hujung minggu dan hari-hari biasa.

“Sebenarnya saya sangat terharu sebab sebelum ini memang kurang masa dengan keluarga terutama ibu.

“Semalam (Khamis) baru dapat rasa ada ikatan tu balik. Sebelum ni, macam mana pun jadual kerja akan bertindih dan kami kurang masa bersama,” jelasnya.

Aiman bersama ibunya.

Kata Aiman, disebabkan banyak acara ditunda (perlawanan bola sepak dan acara e-sukan), dia hanya meluangkan masa di rumah.

“Saya rasa terpanggil untuk jadi lebih bertanggungjawab tolong mana yang patut.

“Jujurnya saya banyak tanya ibu apa yang boleh dibantu seperti mengemas rumah, membeli barang dapur dan sebagainya.

“Ini lah masanya untuk berbakti dan berborak tentang kehidupan bersama ibu dan keluarga,” katanya.

Aiman sebelum ini pernah mengulas untuk beberapa kejohanan ternama seperti PSG Esports Challenge di Singapura dan menjadi penemubual di PlayStation League Asia di Battle Arena, Kuala Lumpur.

Katanya, selain membantu keluarga di rumah, dia juga ada meluangkan masa menyertai pertandingan dalam talian. Menurut Aiman, yang paling terkesan adalah tawaran pekerjaan bagi dirinya yang juga seorang freelancer.

“Kita tak tahu bila PKP akan betul-betul berakhir jika keadaan terus tak menentu. 

“Bagi kami yang banyak mengambil tawaran pengulasan, semestinya terkesan kerana tiada acara yang boleh dianjurkan sekarang.

“Seharapnya, perintah ini tak perlu dipanjangkan lagi dan keadaan akan bertambah reda tak lama lagi,” katanya yang sudah bersiap sedia dengan wang simpanan seandainya keadaan bertambah buruk pada bila-bila masa.

RELATED NEWS

+