COVID-19: Hos Dan Pengacara, Fiera Fendi Fokus Kandungan Youtube

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selari dengan penularan wabak COVID-19 menyebabkan banyak acara e-sukan ditangguh dan dibatalkan. Ini bukan saja memberi kesan kepada pemain bertanding tapi juga kepada tenaga kerja lain seperti hos, pengulas, krew produksi dan sebagainya.

Bagi hos dan pengacara sambilan, Fiera Fendi, dia juga tidak terkecuali daripada insiden tersebut.

“Ia sedikit sebanyak memberi impak kepada saya secara individu. Sebagai hos sambilan, sememangnya tuntutan kerjaya memerlukan saya berada di tempat orang ramai dan kawasan berbeza setiap kali acara dilangsungkan.

“Disebabkan COVID-19, banyak ‘job’ terpaksa hold dulu jadi ia juga sedikit sebanyak memberikan kesan kepada tahap kewangan,” jelas Fiera.

Walaupun begitu, dia redha dengan situasi semasa dan memilih untuk berada di rumah bagi mengelakkan terkena jangkitan di luar.

“Kita kena faham ia memberi impak pada orang lain juga jadi kena bekerjasama untuk memastikan situasi ini cepat berakhir.

“Ketika ini saya banyak tumpukan masa untuk bereksperimentasi dengan kandungan video kerana selain hos, saya juga seorang pencipta kandungan di Youtube dan terlibat dalam aspek pengurusan Team Bosskurr,” jelasnya.

Fiera juga menasihatkan orang ramai di luar sana untuk terus menjaga kesihatan, mencuci tangan dengan kerap dan berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sedang berjalan.

RELATED NEWS

+