Dari COD Ke COD Mobile? Jejaka Berusia 21 Tahun Ini Kongsi Pengalaman

Bukan mudah menjadi pemain e-sukan profesional untuk beberapa lama dan kemudian berpindah platform (contohnya dari konsol ke peranti pintar).

Bagi Abdul “Ranger” Hakiem, 21, ia adalah satu cabaran dan kini dia bersedia untuk menghadapinya. Menceritakan pengalamannya dari menjadi pemain profesional Call of Duty (COD) bertukar rentak ke COD Mobile, Hakiem merasakan ia satu perkara yang baru.

“Pada mulanya susah sebab ambil masa untuk sesuaikan diri dengan skrin sentuh dan ada butang kawalan di konsol tidak boleh dibuat sama seperti di peranti pintar.

“Ambil masa satu bulan juga untuk sesuaikan diri dengan layout yang berbeza,” kata Hakiem.

Dia bersama pasukannya sebelum ini, RamPaGe Gaming pernah menjuarai kejohanan Call of Duty peringkat Asia dua kali berturut-turut dan juga menyertai COD World League di peringkat antarabangsa.

 

Bukan dorongan wang semata

Pilihannya untuk menyertai arena e-sukan mudah alih bukanlah kerana wang semata-mata tapi kerana kekerapan pertandingan kompetitif selain ekosistem yang lebih meluas di Malaysia.

“Permainan mudah alih tak boleh sangkal lagi sambutannya lebih besar dari mana-mana platform sekarang.

“Saya dari dulu memang sasar nak jadi pemain kompetitif, macam COD Mobile setiap minggu ada pertandingan.

“Jadi saya rasa semangat kompetitif dalam diri tu sangat membara, rasa nak menang dan buat yang terbaik,” kata Hakiem.

Dia kini bersama pasukan FaMe apeX dan pernah memenangi dan bertanding dalam kejohanan tempatan seperti Orange Showdown, Garena Clan Invasion dan KITAMEN.

Disebabkan peralihan dari konsol ke peranti pintar, Hakiem mengatakan rutin latihannya juga turut berubah. Dari sesi latihan di rumah, dia kini boleh bermain COD di mana-mana.

“Kadang-kadang ada waktu untuk scrim dan saya tak sempat sampai ke rumah jadi ada lah terlepas beberapa perlawanan. Sekarang dekat mana-mana pun tak kisah asalkan ada sambungan Internet yang stabil.

“Selalunya saya akan berlaith selama lima hingga enam jam pada hari minggu atau satu hingga dua jam pada hari bekerja (kerana ada yang masih belajar).

“Kami juga berlatih dengan pasukan antarabangsa contohnya EVOS dari Indonesia untuk memantapkan lagi kualiti gameplay,” ulas Hakiem.

 

Luangkan masa di gimnasium

Bagi sesetengah atlet e-sukan di Malaysia, ada yang memandang remeh faktor kesihatan dan tidak aktif dalam sukan. Tapi bagi Hakiem, dia menitikberatkan aspek ini.

“Saya biasa meluangkan masa dua jam setiap hari di gimnasium. Kalau ada masa terluang, saya akan menyertai aktiviti senaman, berenang dan lain-lain.

“Dengan melakukan semua ini mengajar saya untuk menjalani gaya hidup sihat. Tak boleh jadikan alasan bermain game tapi tak bersukan.

“Dari sudut lain, ia menjadikan minda saya lebih tajam dan fokus dalam perlawanan,” kata Hakiem.

Dengan kejayaan Hakiem, nampaknya semakin ramai pemain e-sukan yang mengambil inisiatif mengamalkan gaya hidup sihat bagi menambahkan fokus dalam permainan. 

Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

RELATED NEWS

+