E3 2019: Apa Yang Korang Perlu Tahu – Jadual, Siaran Langsung & Game Bakal Diumumkan

Pejam celik, pejam celik, kita sudah sampai ke bulan Jun yang mana E3 2019 bakal berlangsung pada 10 – 12 Jun.

E3 pada tahun ini berasa lain sedikit kerana tiada kehadiran Sony PlayStation dan EA dalam senarai persidangan. EA pula bakal mengadakan pameran mereka tersendiri dipanggil EA Play pada 9-10 Jun 2019. 

Namun, masih ada lagi penerbit dan pembangun ternama yang bakal hadir ke pameran E3 2019 untuk mengumumkan berita-berita terbesar dalam industri game.

Inilah senarai penuh acara persidangan berserta dengan pautan siaran langsung dalam waktu tempatan berserta dengan jangkaan kami untuk E3 2019.

Electronics Arts: 9 sehingga 10 Jun, Sabtu & Ahad bermula pada pukul 12am.

EA tetap berada di E3 2019 tetapi mereka akan mengadakan persidangan tersendiri dikenali sebagai EA Play. Berbeza dengan EA Play sebelum ini, tiada orang kenamaan yang akan berucap berjela-jela tetapi EA mahu fokus sepenuhnya kepada pengumuman game-game terhangat mereka.

Menurut laman rasmi EA Play, EA akan berikan info lebih lanjut tentang musim ke-2 Apex Legends, Star Wars Jedi: Fallen Order, Battlefield 5, The Sims, Anthem dan banyak lagi.

Korang boleh saksikan persidangan EA Play melalui YouTube dan Twitch.

Microsoft: 10 Jun, Isnin, pukul 4 pagi

Tanpa kehadiran PlayStation, nampak gayanya Microsoft bersungguh-sungguh untuk menjayakan persidangan E3 paling gempak. Persidangan Microsoft untuk E3 2018 penuh dengan pengumuman game secara bertalu-talu dan kami merasakan Microsoft akan mengikut formula yang sama.

Pada E3 2019, Microsoft akan mengumumkan 14 game khas untuk Xbox One dan mungkin menunjukkan salah satu konsol generasi baru kepada pengunjung dan penonton E3 2019. Kami jangka The Outer Worlds dan Cyberpunk 2077 bakal dapat tarikh rasmi semasa persidangan ini.

Korang boleh tonton siaran langsung persidangan Microsoft di E3 2019 melalui YouTube, Twitch, Facebook dan Twitter.

Bethesda: 10 Jun, Isnin, pukul 8:30 pagi

Bethesda turut hadir ke E3 2019 tetapi kami masih tidak pasti kejutan apa bakal disajikan.

Pada tahun lepas, Bethesda telah umumkan game sains fiksyen baru bertajuk Starfield dan sambungan siri The Elder Scrolls iaitu The Elder Scrolls VI tetapi pengarah Bethesda Game Studios mengesahkan tiada apa-apa berita tentang kedua-dua game itu semasa E3 2019.

Untuk Bethesda, kami merasakan mereka mungkin tampilkan trailer baru untuk Wolfestein: Youngblood dan menerangkan lebih lanjut tentang game terbaru iD Software, Doom Eternal. Korang boleh tonton lihat persidangan Bethesda melalui YouTube, Twitch, Twitter dan Facebook.

Devolver Digital: 10 Jun, Isnin, pukul 10 pagi

Devolver Digital, penerbit untuk game indie terkenal seperti Hotline Miami dan Serious Sam suka mengadakan persidangan yang agak ‘luar biasa’ berbanding persidangan penerbit lain.

Lazimnya, Devolver Digital suka sakat dan perli isu semasa industri video game seperti microtransactions dan loot box pada persidangan E3 2018 sambil mengumumkan game seperti My Friend Pedro dan Serious Sam 4: Planet Badass.

Kami juga tidak dapat jangka apa bakal diumumkan tetapi korang boleh saksikan persidangan pelik melalui saluran Twitch.

PC Gaming Show: 11 Jun, Selasa, pukul 1 pagi

PC Gaming Show kembali dengan penajaan daripad Epic Games Store dan persidangan ini menonjolkan game-game terbaru yang bakal tiba di PC.

PC Gaming Show di E3 2018 mengumumkan lebih daripada 20 game seperti Maneater, Sable, Satisfactory dan juga termasuk kategori khas untuk game battle royale seperti Mavericks: Proving Ground, Realm Royale dan Rapture Rejects.

Ikuti siaran langsung PC Gaming Show melalui Twitch.

Ubisoft: 11 Jun, Selasa, pukul 4 pagi

Ubisoft kembali ke E3 2019 dengan kandungan eksklusif untuk Ghost Recon: Breakpoint, The Division 2, Rainbow Six Siege, For Honor dan banyak info lanjut tentang game Ubisoft lain seperti Assassin’s Creed Odyssey dan Steep.

Namun, CEO Ubisoft Yves Guillemot juga menjanjikan pengumuman lain dan ini mungkin merujuk kepada game baru dipanggil sebagai Roller Champions iaitu sukan roller derby ala Rocket League, Watch Dogs 3 dan Splinter Cell.

Korang boleh tonton persidangan Ubisoft melalui YouTube dan Twitch.

Square Enix: 11 Jun, Selasa, pukul 9 pagi

Untuk E3 2019, kami mengharapkan Square Enix akan memberitahu info lanjut tentang Final Fantasy 7 Remake terutamanya dari segi format episodik yang mereka ingin tuju.

Dalam persidangan yang sama, kami akan mengetahui lebih mendalam tentang Marvel’s Avengers iaitu game baru sedang dibangunkan secara senyap oleh Crystal Dynamics dengan kerjasama Marvel.

Kami cuma berharap persidangan Square Enix tidak terlalu pendek seperti apa yang berlaku pada E3 tahun lepas. Saksikan persidangan Square Enix melalui Twitch dan laman rasmi Square Enix.

Nintendo: 12 Jun, Rabu, pukul 12 pagi

Nintendo kembali dengan rancangan Nintendo Direct pendek tetapi padat dengan pengumuman game bagi Nintendo Switch. Pada E3 tahun ini, kami menjangkakan Nintendo akan memberikan berita baru tentang Pokemon Sword & Shield, game Animal Crossing baru dan mungkin ada model Nintendo Switch baru.

Walaupun persidangan Pokemon baru sahaja diadakan pada minggu ini dengan kemunculan Pokemon Sleep, game mobile Pokemon Masters dan game Detective Pikachu baru, kami harap ada berita baru untuk Pokemon Sword & Shield mungkin muncul di Nintendo Direct untuk E3 2019.

Korang boleh tengok siaran langsung Nintendo Direct melalui YouTube dan Twitch.

Dalam paling banyak acara persidangan di atas, mana satu yang korang paling tak sabar nak lihat dan game apa korang paling nanti-nantikan? Kongsikan pendapat bersama kami!

 

RELATED NEWS

+