Ghost of Tsushima akan mempunyai sistem perlawanan yang sangat mencabar
2020-05-20T06:17:40
By: Burhanudin Zamri

Ghost of Tsushima akan mempunyai sistem perlawanan yang sangat mencabar

 

Pada minggu lepas, Sony telah mengeluarkan video State of Play yang mempamerkan 18 minit permainan Ghost of Tsushima. Judul tersebut bakal dilancarkan secara eksklusif di PlayStation 4 (PS4) pada bulan Julai ini.

Nik Nijland dari IGN Nordic telah menemu ramah Nate Fox, Pengarah Permainan Ghost of Tsushima dan Nate memberikan penerangan yang lebih mendalam mengenai perkara-perkara yang ditunjukkan dalam video State of Play tersebut.

 

Jalan cerita dan gaya perlawanan Jin Sakai

Pengisian utama Ghost of Tsushima ialah menerokai dunia dan mengikut perasaan ingin tahu, sama seperti perilaku watak utama Jin Sakai. Dia membesar di pulau Tsushima dan dibesarkan sebagai seorang samurai yang handal menggunakan katana.

Tentera Mongol telah menyerang pulau Tsushima dan hampir semua samurai telah dibunuh. Jin merupakan salah seorang daripada samurai yang masih hidup dan dia harus menggunakan segala kemahiran dan ilmu termasuk kebolehan yang tidak didapati dalam seorang samurai untuk mengalahkan pihak Mongol.

Nate menerangkan bahawa “ini merupakan bahagian besar pilihan anda sebagai pemain. Anda perlu menerokai bagaimana untuk menang jika katana sahaja tidak memadai.”

 

“Anda boleh menghabiskan permainan ini walaupun bermain sebagai samurai sahaja.”

“Jin bermula sebagai seorang yang handal menggunakan katana. Dia fahami bahawa ia merupakan tugasnya untuk mempertahankan Tsushima tetapi watak Ghost dalam diri Jin menjadi lebih terkenal dalam perjalanannya.” Kata Nate mengenai kemajuan Ghost of Tsushima.

“Cara permainan anda ditetapkan melalui pemilihan kemahiran. Anda memang boleh menghabiskan seluruh permainan ini dengan bermain sebagai samurai sahaja. Itu yang sedang dilakukan oleh beberapa pembangun di Sucker Punch Productions.”

Jika anda memilih untuk menjadi samurai sepenuhnya, ia akan menjadikan permainan ini agak mencabar. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tentera Mongol sangat kuat dan telah berjaya mengalahkan ramai samurai lain.

Oleh itu, Jin perlu mencari cara lain untuk mempertahankan dan menyelamatkan warga Tsushima. Itulah sebabnya beliau menjadi Ghost dan watak tersebut ditakuti pihak Mongol tetapi disayangi warga Tsushima.

Nate menyatakan bahawa “Pemain akan membentuk cara permainan Ghost berdasarkan pengagihan skillpoints, dan perisai yang dipakai dan ditambahbaik. Kebebasan pengubahsuain terletak di tangan pemain. Pada waktu yang sama, Jin masih mengekalkan kebolehannya sebagai seorang samurai. Pemain boleh berubah antara cara permainan Ghost dan samurai pada bila-bila masa.”

Bagi watak Jin, peranan sebagai Ghost menjadi sebuah cabaran baginya kerana ia tidak sehaluan dengan fahaman Bushido. “Dia dibesarkan mempelajari budaya Samurai dan perwatakan Ghost memaksa dirinya untuk mengorbankan budaya tersebut demi menyelamatkan Tsushima.” kata Nate.

 

Perlawanan sangat mencabar

Dalam video State of Play di atas, ia menunjukkan Jin mengalahkan musuh-musuh dengan sangat mudah. Nate menyatakan permainan yang sebenar lebih susah.

“Kami mahu menghasiklan sebuah permainan yang realistik. Oleh itu, beberapa pukulan sahaja daripada musuh sudah memadai untuk membunuh anda. Ghost of Tsushima sangat mencabar.

“Kami menggunakan tiga perkataan untuk menggambarkan perlawanan dalam judul ini: Lumpur, darah, dan besi. Kami menonton banyak filem samurai dan dalam filem-filem tersebut, watak-watak dibunuh dengan hanya satu atau dua potongan.

“Aspek tersebut dimasukkan dalam permainan ini. Bertarung dengan pihak Mongol sangat susah tetapi cabaran ini membuatkan kemenangan menjadi sesuatu yang sangat memuaskan. Jangan fikir anda boleh lari masuk sebuah kawasan dan terus bertarung 5 musuh sekaligus, tentu sekali anda akan tewas.”

 

Tidak sempat menunjuk pertarungan satu-lawan-satu dalam State of Play

Semasa pertunjukkan tetapan Samurai Cinema dalam video State of Play, kita dapat melihat Jin bertarung secara satu-lawan-satu dengan seorang samurai di tepi laut.

Menurut Nate, terdapat banyak perlawanan satu-lawan-satu dalam judul ini. Anda akan bertarung dengan pahlawan handal lain di sekitar Tsushima.

“Perlawanan ini semua mempunyai tahap kesusahan yang luar biasa. Untuk menang, anda perlu memahami musuh anda dan cara peralawanan mereka.” kata Nate.

 

Peta penuh Ghost of Tsushima lebih besar daripada yang ditunjukkan

Nate menyatakan bahawa “Peta yang ditunjukkan dalam State of Play merupakan sebahagian kecil sahaja daripada peta penuh permainan. Ia merupakan peta yang terbesar yang pernah direka di Sucker Punch. Terdapat kawasan bersalji, hutan buluh, dan banyak lagi.”

Ramai pemain berasa risau apabila peta besar dipertunjukkan kerana ada kemungkinan ia tidak dipenuhi dengan aktiviti yang menarik. Sucker Punch sedar tentang masalah ini dan ingin memastikan ia tidak berlaku dalam Ghost of Tsushima.

“Kami tidak mahu membuat sebuah peta besar tetapi ia kosong sahaja. Peta Ghost of Tsushima penuh dengan item dan cerita yang menarik untuk diterokai oleh para pemain.” terang Nate.

Ghost of Tsushima akan dilancarkan pada 17 Julai 2020 di PS4.

Sumber: IGN Nordic

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
Pembentangan digital Devolver Direct akan berlangsung pada 12 Julai
3 days ago
#YoodoKEK Zon Borneo Final – Pasukan UeS HavoX dan DMG muncul juara
4 days ago
Bandai Namco akan mengadakan pembentangan Play Anime Live pada 23 Julai
4 days ago
Paul “Redeye” Chaloner sah bersara daripada e-sukan
4 days ago
Tonton trailer baharu permainan pertarungan Sword Art Online: Alicization Lycoris
5 days ago
Crysis Remastered akan dilancarkan pada 23 Julai tahun ini