Hab e-sukan di Puchong, Selangor tahun ini, kerja pembinaan bermula Mac

Pada tahun lepas, Esports Integrated (ESI) di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) ada merancang untuk membangunkan hab e-sukan kebangsaan di Spacerubix, Puchong, Selangor tahun ini.

Baru-baru ini, perincian mengenai projek itu didedahkan. Menurut satu kenyataan media, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Mac hingga Oktober tahun ini.

Fasiliti ini digunakan untuk merancakkan pertumbuhan e-sukan di Malaysia. Ia merangkumi ruang kejohanan dan acara serta pusat latihan didedikasikan kepada pemain profesional dan amatur.

Foto: Harian Metro

Dalam satu kenyataan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia akan menjadi lokasi utama dan pusat lathan bagi atlet e-sukan Malaysia membuat persiapan.

“Hab ini akan berfungsi sama seperti hab sukan negara yang lain, ia bakal menjadi lokasi utama dan pusat latihan kontinjen e-Sukan Malaysia bertanding dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Rutin latihan yang ketat akan menguji kekuatan mental dan fizikal atlet, termasuk diet dan penyediaan makanan di pusat latihan.

“Saya juga yakin orang ramai akan memanfaatkan kemudahan ini dan menyeru semua peminat e-Sukan tempatan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di hab e-Sukan kebangsaan setelah ia siap dibina dan menyertai program latihan ESI,” katanya.

Sementara tu, Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir pula optimis bahawa penyediaan fasiliti adalah penting dalam pembangunan e-sukan negara.

“Kita tidak boleh berhenti sekadar di takuk penganjuran kejohanan e-Sukan atau pembentukan platform pusat semata-mata. Usaha itu perlu disusuli dengan hab fizikal yang berfungsi sebagai saluran organik untuk jari­ngan dan pusat pembelajaran.

“Pendekatan holistik adalah kaedah terbaik untuk memastikan pertumbuhan berterusan dalam industri dan hab e-Sukan adalah langkah seterusnya, bersama dengan program pembinaan kapasiti kami,” katanya.

ESI adalah inisiatif bagi mengembangkan ekosistem e-sukan agar lebh mapan, rancak dan inklusif. 

Matlamat penubuhannya adalah membina struktur serta program menyokong pembangunan e-sukan bagi me­rangsang pertumbuhan, memastikan perlindungan dan meluaskan kepelbagaian.

RELATED NEWS

+