‘Kami Rasa Sedih Dan Terkilan Kerana Tak Dapat Top 3 Untuk PES 2018,’ Wakil Malaysia Ke Sukan Asia 2018

Kalah menang adat pertandingan.

Pada hari Sabtu lepas, duo Pro Evolution Soccer (PES 2018) negara, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh “Haikal” dan Muhamad Khairul Abdul Aziz “Keron” meraih tempat keempat terbaik dalam demonstrasi kejohanan esports Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Tersenyum lebar. Sumber: FB Khairul

Kedua-dua wakil negara ini mempamerkan permainan cemerlang PES 2018 dan dapat memberi persaingan sengit dengan pasukan-pasukan terbaik dari rantau Asia termasuk Iran, Jepun dan Vietnam.

Setibanya Norhaikal dan Khairul pulang ke tanah air, kami bertanyakan beberapa soalan tentang perasaan mereka mencipta sejarah di atas pentas kejohanan esports pertama di Sukan Asia, saat-saat manis semasa di Jakarta dan nasihat mereka yang ingin menceburkan diri dalam arena esports PES 2018. Jom ikuti perbualan kami!

Haikal dan Khairul bangga mengibarkan Jalur Gemilang. Sumber: FB Esports Malaysia

MGO: Apa anda rasa setelah diumumkan mendapat tempat keempat terbaik dalam PES 2018 di Sukan Asia?

Haikal: Rasa sedih pun ada kerana kami sebenarnya menyasarkan untuk menang top 3 walaupun kami sudah cuba main sedaya upaya.

Khairul: Saya sedikit terkilan kerana tidak dapat bawa apa-apa pingat tetapi bila kami menang tempat keempat di peringkat Asia, kadang-kadang rasa macam tak percaya sebab kami melangkah ke luar negara tanpa ada pengalaman berskala besar sebegini. Ini kira kali pertama saya dipilih untuk jadi wakil Malaysia dan lebih-lebih lagi, wakil kepada demonstrasi kejohanan esports pertama di temasya Sukan Asia.

MGO: Boleh anda beritahu pengalaman manis berjumpa pemain PES 2018 dari pelbagai negara semasa berada di sana?

Haikal: Bila saya berjumpa pemain PES dari pelbagai negara seperti Hong Kong, Iran dan Jepun, saya boleh tahu skil permainan saya di tahap mana. Mereka juga tidak sombong langsung seperti pemain Jepun yang mempunyai banyak pengalaman sertai liga-liga tertinggi PES di negara luar, malah dia berkongsi sedikit sebanyak kaedah dan gaya permainan mereka kepada kami. Kami boleh bawa pengetahuan berharga untuk diajarkan kepada pemain-pemain PES di Malaysia.

Di samping itu, saya sempat bertemu dengan orang Konami yang membangunkan game PES dan mereka juga memberikan cenderahati eksklusif seperti beg dan baju dengan lambang PES kepada kami.

Pihak Konami membawa cenderahati khas dari Jepun untuk diberikan kepada Haikal dan Khairul. Sumber: FB Mohd Haikal

Khairul: Saya amat teruja dapat bertemu dengan pemain-pemain terbaik kerana selalunya saya lihat mereka bermain melalui YouTube sahaja. Perkara yang saya paling tidak dapat lupa adalah kami dapat berikan saingan sengit kepada mereka. Saya boleh nampak mimik muka pemain lain menunjukkan mereka sedikit tertekan dengan corak permainan padu kami.

Selain itu, saya juga kagum dengan cara permainan pasukan Iran kerana mereka berkebolehan tinggi dari segi teknik gelecekan bola dan kemampuan gelecek bola itu untuk jangka masa yang lain.

MGO: Selaku pemain PES keempat terbaik di rantau Asia, mesej yang anda ingin sampaikan kepada pemain-pemain berjinak-jinak untuk main PES ke tahap lebih profesional?

Haikal: Saya ingin mengambil peluang (sebagai pemain keempat terbaik di Asia) ini untuk membuktikan kepada orang yang sering mengkritik PES bahawa negara kita penuh dengan pemain-pemain yang mampu bersaing dengan negara-negara lain seperti Jepun dan Iran.

Khairul: Pada pendapat saya, saya nampak ramai bakat-bakat pemain PES tidak digilap kerana ramai lebih gemar main sekadar suka-suka dengan rakan-rakan. Nasihat saya bagi mereka yang teringin untuk main PES secara profesional ialah rajin-rajinkan dirilah menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di sini supaya anda dapat timba pengalaman dan juga menaikkan ranking PES.

Bersama-sama pasukan Jepun, Aihara Tsubasa dan Sugimura Naoki yang meraih pingat emas untuk demonstrasi kejohanan PES 2018. Sumber: FB Haikal

Kegigihan dan kesungguhan Haikal dan Khairul bersaing dengan negara-negara lain membuktikan bahawa Malaysia penuh dengan atlet esports yang berbakat dan mampu mengangkat esports semakin berkembang di negara ini ke tahap lebih tinggi.

Bukan calang-calang orang dapat mencapai tempat keempat terbaik di rantau Asia. Semoga pencapaian ini dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mereka berdua dan juga atlet esports lain untuk terus menggapai kejayaan yang lebih tinggi!

Kredit gambar utama: FB Wanro Syazwan

RELATED NEWS

+