Kemaskini 29 Oktober Sekiro: Shadows Die Twice akan memperkenalkan Boss Rematch & Remnants

Activision telah mengumumkan bahawa permainan video terbitan mereka Sekiro: Shadows Die Twice akan menerima sebuah kemaskini percuma pada 29 Oktober ini. Kemaskini tersebut akan memperkenalkan beberapa perkara-perkara baharu yang menarik.

Perkara yang paling mengujakan semestinya kebolehan untuk lawan semula dengan musuh boss melalui aktiviti Reflections of Strength di mana-mana Sculptor’s Idol.

Sebuah mod cabaran baharu bertajuk Gauntlets of Strength juga akan diperkenalkan di mana para pemain harus mengalahkan semua musuh boss secara berturut-turut dengan hanya satu nyawa. Jika pemain tewas dengan seorang boss, mereka harus mula dari awal.

Penulisan mesej untuk membantu pemain lain bukan sesuatu yang baharu dalam judul-judul yang dibangunkan oleh From Software. Aspek tersebut akan diperkenalkan dalam Sekiro melalui Remnants.

Selain daripada menunjukkan mesej, Remnants juga akan mempunyai sebuah rakaman bertempoh 30 saat untuk menunjukkan aksi atau tindakan pemain yang meletakkan Remnants tersebut.

Jika pemain lain memberi respon positif terhadap Remnant anda, anda akan menerima HP secara percuma.

Antara kritikan kecil yang diberikan oleh banyak pemain Sekiro ialah kekangan untuk mengubahsuai penampilan watak utama. FromSoftware akhirnya mendengar kritikan ini dan akan memperkenalkan tiga set pakaian baharu.

Dua set pakaian yang akan diperkenalkan adalah Tengu dan Old Ashina Shinobi. Kedua-duanya hanya boleh didapati melalui Gauntlets of Strength. Satu lagi set pakaian pula akan diberikan kepada semua pemain yang menghabiskan Sekiro sekurang-kurangnya sekali.

Activision juga mengumumkan bahawa jualan Sekiro telah mencecah lebih daripada lima juta unit.

Sumber: Activision Blog

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+