Mobile Legends: Team PYRO Buktikan Main Game Tidak Sia-sia, Berjaya Mara Ke Top 4 #XPAXKEK Zon Tengah

Orang kata belajar bersungguh-sungguh, main pun bersungguh-sungguh juga. 

Itulah semangat yang ditunjukkan oleh Team PYRO dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bertanding untuk permainan Mobile Legends: Bang Bang dalam Kejohanan E-Sukan Kampus #XPAXKEK yang berlangsung di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada 6 dan 7 April lepas.

Skuad ini dianggotai oleh Faiq Nazeer bin Jasni, Hanis Adlan bin Adnan, Mohd Azley bin Amirudin, Haziq Hafiez bin Suhaimi dan Muhammad Azam bin Ahmad.

Meskipun Team PYRO kalah ke atas tangan Star Guardian (IIUM) pada pusingan separuh akhir, mereka meluahkan rasa syukur dapat menduduki tempat ketiga dan berjaya melayakkan diri ke peringkat Grand Final #XPAXKEK akan berlangsung pada 26 dan 27 April di Sunway Pyramid Ice Skating Rink.

‘Boleh cari duit poket dan jumpa kawan baru’

Sesi penyampaian hadiah Team PYRO bersama Ketua Pegawai Perniagaan Konsumer & Kediaman Celcom Axiata Berhad, Danny Chew, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali dan Prof Dato’ Dr Abu Bakar Abdul Majeed, Rektor UiTM Puncak Alam

Team PYRO mula ditubuhkan kira-kira setahun lalu dan berjinak-jinak menyertai pertandingan Mobile Legends dalam peringkat politeknik dan universiti. 

“Kami telah sertai pelbagai pertandingan seperti yang terbesar adalah Alliance of Esports Campus (ACE) dan kami boleh rasa keserasian antara satu sama lain dalam setiap kejohanan kami ceburi,” kata Faiq.

Faiq dan Hanis timbul rasa minat untuk bermain Mobile Legends secara kompetitif kerana game ini semakin popular dalam kalangan ramai pemain dan terdapat banyak pertandingan yang diadakan. Tambah Faiq, “Ini beri peluang kepada kami untuk cari duit poket dan cari ramai kawan baru di luar sana.”

Hampir tarik diri

Pasukan Team PYRO: Faiq Nazeer bin Jasni, Muhammad Azam bin Ahmad, Mohd Azley bin Amirudin, Haziq Hafiez bin Suhaimi dan Hanis Adlan bin Adnan.

Duo pelajar politeknik ini mendedahkan mereka hampir tidak dapat menyertai #XPAXKEK kerana komitmen kepada projek tahun akhir jatuh pada tarikh sama Kejohanan E-Sukan Kampus.

“Pada mulanya, kami hampir nak tarik diri kerana ada penilaian projek tahun akhir tetapi kami dapat tahu pada hari Sabtu itu cuma acara penyampaian hadiah sahaja. Jadi, pensyarah pun beri surat pelepasan dan alhamdulilah, kami berada di sini,” kata Hanis.

Buktikan main game tidak membuang masa

Team PYRO ditemuramah oleh hos Keanu Azman di pentas #XPAXKEK Zon Tengah

Minat mendalam dalam Mobile Legends tidak pernah membuatkan mereka terus mengabaikan pembelajaran. Malahan, Faiq dinobat sebagai salah seorang pelajar terbaik bagi fakulti Kejuruteraan Elektrik dan ini adalah contoh bahawa game tidak menghalang seseorang untuk berjaya dalam akademik.

“Bermain game tidak mengganggu pembelajaran kami. Alhamdulilah, semuanya baik sahaja. Apa yang penting ialah pembahagian masa antara latihan dan pembelajaran.”

“Ibu bapa dan pensyarah pun menyokong kami bermain secara sihat sehinggakan mereka bantu menaja kami selepas melihat pasukan kami berjaya ke Grand Final ACE,” jelas Hanis.

Faiq juga mahu membuktikan main game bukan suatu perkara sia-sia, “Ramai kawan cakap main game ini buang masa. Tetapi, kami boleh buktikan kita boleh mencapai cita-cita lain seperti mengharumkan nama politeknik dan universiti sendiri. Jadi, ini membuatkan kami yakin untuk pergi lebih jauh.”

Sebagai persediaan ke Grand Final #XPAXKEK, kedua-dua pelajar berumur 21 tahun berharap mereka dapat memberi fokus penuh terhadap latihan Mobile Legends sebaik selepas selesai semua projek akhir dan peperiksaan akhir.

Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

Terima kasih kepada XPAX, Kitamen, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Predator, Sades, Moonton E-Project, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM), Cadbury, Todak, Boost, Mountain Dew dan pihak UiTM Puncak Alam atas kerjasama ini.

Ikuti MyGameOn di Facebook dan Instagram serta saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+