MPL: “Niat saya memang nak bantu keluarga,” – Xorn (Geek Fam)

“Keluarga saya bukan daripada golongan orang senang (kaya) jadi daripada dulu kalau nak minta apa-apa, kena fikir dua kali,” itu kata Mohamad Zul Hisham Bin Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Xorn.

Kata pemain Geek Fam tersebut, dia selalu memikirkan cara untuk bantu keluarga hidup dengan lebih senang. Pada awalnya, dia menceburi bidang e-sukan dengan matlamat ingin jadi pemain profesional tapi hari ini, nyata rezekinya luas apabila menjana pendapatan dengan penstriman langsung.

“Awalnya saya ingin bantu keluarga dengan membabitkan diri dalam e-sukan dan menang banyak kejohanan.

“Namun, lama-kelamaan saya nampak karier sebagai seorang streamer ini juga boleh jana pendapatan sampingan.

“Saya pun ada bincang dengan keluarga dan saya fikir mereka adalah keutamaan dahulu. Saya buat benda (strim) ini atas sebab ingin ringankan beban mereka,” katanya yang sudah berkecimpung sebagai seorang streamer sejak setahun lalu.

Kata Hisham, dia juga tidak pernah melupakan hasratnya untuk bergelar juara. Meskipun sudah menjulang trofi MPL (liga profesional MLBB) sebelum ini, namun itu bukanlah bermakna perjuangannya dalam e-sukan sudah pun tamat.

“Sekarang ini, saya jenis yang macam tak cukup (belum puas) dengan apa yang dah dapat.

“Saya fikir nak teruskan lagi (sasar juara) dan mahu buktikan pada semua apa yang saya boleh kecapi. Sama juga kepada keluarga. Kejayaan ini bukan sekali tapi lagi dan lagi,” katanya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Musim Liga MPL MY/SG Musim Keenam akan bermula pada Jumaat hingga Ahad ini untuk enam minggu.

10 pasukan Malaysia dan Singapura bertanding bagi merebut gelaran juara.

Ikuti kami di Facebook, Twitter dan Instagram. Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+