Nelson Woon Kini Pengurus Pemasaran Serantau Di Riot Games

Bekas Pengurus Pemasaran Asia Tenggara di Moonton (pembangun Mobile Legends: Bang Bang), Nelson Woon kini membuka lembaran baru bersama Riot Games.

Bermula April ini, Nelson akan menggalas posisi sebagai Pengurus Pemasaran Serantau di Riot Games yang khusus kepada perkembangan di Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau.

Tulisnya dalam satu posting di Facebook, Nelson yang juga berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia teruja dapat bertemu kembali dengan rakan sekerja terdahulu.

“Saya tak dapat menggambarkan betapa terujanya dapat bertemu kembali dengan rakan sekerja lama yang sama-sama memperkenalkan permainan terbaru dan pengalaman mesra pengguna kepada pemain.

“Ia adalah salah satu keutamaan di Riot dengan meletakkan pemain paling utama kerana kami percaya melalui mereka kami dapat memberikan pengalaman permainan terbaik dan bermakna.

“Selain dari rasa teruja, saya juga bersyukur Riot Games memberi sokongan untuk kembali kepada yang tersayang. Saya akhirnya dapat menepati janji untuk berada dekat bersama keluarga dan kekasih, Michelle Chan,” tulisnya.

Terdahulu, Nelson bersama Moonton melancarkan dua program utama Mobile Legends iaitu Hero Komuniti dan Pemimpin Pelajar Moonton di lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Singapura.

Di bawah kendaliannya, Nelson pernah mengetuai kempen 515 dan Moonton Epicon 2019 yang memberitahu umum perancangan jangka panjang Moonton dalam pembangunan Mobile Legends kepada komuniti dan peminat.

Riot Games kini dalam perancangan melancarkan League of Legends: Wild Rift (LoL Mobile) yang dijangka hadir pada tahun ini. 

Selain itu, mereka mempunyai beberapa projek lain seperti permainan kad digital, Legends of Runeterra, Teamfight Tactics mobile, VALORANT (permainan taktikal FPS), Project L (fighting game), Project F dan banyak lagi.

Foto: IGN SEA

RELATED NEWS

+