Pelitup muka Razer mempunyai penguat suara dan RGB

Razer baru-baru ini mendedahkan salah satu projek terbaru mereka iaitu pelitup muka Razer Hazel. Ia diiklankan sebagai “pelitup muka terpintar di dunia” kerana mempunyai pelbagai ciri tambahan menarik.

Antara ciri sosial yang terdapat pada Razer Hazel ialah kombinasi mikrofon dan penguat suara untuk memastikan percakapan kekal jelas semasa memakai pelitup muka ini.

Bahagian depan pelitup muka ini direka dengan bahan lut sinar. Ini membolehkan wajah pemakai dapat dilihat sepenuhnya semasa berkomunikasi.

Jarang sekali produk Razer tidak hadir bersama RGB dan Razer Hazel tidak terkecuali. Pemakai boleh memilih daripada 16.8 juta warna untuk lampu RGB yang terdapat di bahagian luar dan dalam pelitup muka ini.

Razer bukan sekadar menjual pelitup muka tetapi juga bekas untuk menyimpan dan membersihkannya. Bekas ini mempunyai lampu UV yang digunakan untuk membunuh kuman dan boleh dicaj secara nirwayar.

Untuk mengurangkan pembaziran, Razer menggunakan plastik kitar semula sebagai bahan utama Razer Hazel. Walaubagaimanapun, ia tetap mempunyai ciri-ciri ketahanan tinggi seperti kalis air dan tahan calar.

Pada waktu ini, Razer masih belum mendedahkan tarikh pelancaran dan harga Razer Hazel. Produk Razer selalunya dijual pada harga yang agak tinggi dan penulis yakin Razer Hazel ini tidak akan ditempatkan dalam pasaran bajet pertengahan.

Sumber: Razer

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+