PMPL: “Saya Bersyukur Dapat Sampai Ke Tahap Ini,” – Emi Mohamad

“Saya selalu rujuk pada kamus dan bawa buku nota ke mana saja sebelum mengulas,” itulah rutin pengulas yang sedang meningkat naik Mohamad Hilmi Mohamad, 22 tahun atau lebih dikenali sebagai EmiMohamad.

Ujar jejaka yang berasal dari Negeri Sembilan ini, dia lebih selesa untuk menggunakan Bahasa Melayu baku ketika mengulas.

“Bagi saya, yang paling penting untuk setiap pengulas ialah mempunyai gaya penyampaian tersendiri.

“Paling saya utamakan ialah sebutan. Kalau sebutan jelas, penonton lagi selesa mendengar ulasan dan faham keadaan dalam permainan itu,” kata Emi.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Emi yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan aktif menyertai pertandingan sejak di bangku sekolah lagi.

“Dulu saya selalu masuk pertandingan Choral Speaking dan pernah jadi emcee di sekolah jadi mungkin dari situ rasa selesa untuk mengulas tu dah ada,” jelasnya.

Kata Emi, titik permulaannya dalam karier pengulasan bermula apabila dia aktif dalam custom room bagi PUBG Mobile.

“Selama enam bulan saya hoskan custom room, lama-lama orang tanya kenapa tak jadi macam pengulas bola, cuba untuk ulas bagi kejohanan pula.

“Selepas itu, saya pun ada cuba apply jadi pengulas di beberapa kejohanan dan yang paling besar adalah Kejohanan Nasional PUBGM (PMNC) pada tahun lepas,” kata Emi yang turut mengulas untuk PUBG di PC.

Bagi meningkatkan mutu pengulasan, Emi banyak belajar dari permainan kerana dia juga seorang pemain bagi game tersebut. Katanya, dia juga cuba belajar dengan menyaksikan perlawanan bola yang berlangsung.

“Mula-mula ada orang cakap saya ulas macam pengulas bola sepak. Tapi lama-lama saya cuba biasakan diri macam pengulas e-sukan lain.

“Stail saya, saya lagi suka ulasan yang bertenaga sebab memang minat PUBG Mobile,” kata Emi yang sudah setahun setengah dalam industri.

Kini, dia selesa mengulas di kejohanan besar antara Liga Profesional (PMPL) yang sedang berlangsung dan ESL Malaysia Call of Duty Mobile.

“Saya berbangga dan bersyukur diberi peluang untuk mengulas di kejohanan besar sebegini. Di PMPL, ini kali pertama saya mengulas bertiga dan ia satu pengalaman baru yang mencabar dan cukup mendebarkan.

“Di kejohanan ESL Malaysia, saya banyak belajar biasakan diri dengan istilah baru yang terdapat dalam CODM. Bezanya, perlawanan lebih laju dalam bentuk lima lawan lima jadi pada awalnya susah sikit nak catchup,” kata Emi.

Ketika ditanya apa nasihat yang boleh diberikan kepada pengulas yang baru, Emi berkata, jangan pernah mengalah walau apa pun.

“Nak diikutkan, mesti ada yang toksik di strim, setiap orang pernah kena termasuk saya. Biasalah bila kita baru, ada banyak kesilapan tapi kita kena terus bangkit dari situ.

“Paling penting, doa dari ibu bapa. Selalu minta mereka doakan kejayaan kita dalam apa jua bidang sekalipun,” akhirinya.

Bagi anda yang berminat untuk mengikuti perkembangan Emi, boleh ke Facebook Page EmiMohamad.

PMPL Malaysia & Singapura sudah bermula sejak 3 Mac dan anda boleh tonton penstriman langsung di FB PUBG Mobile.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+