PMWL: “Kami lebih memfokuskan persiapan mental,” – jurulatih Yoodo Gank, Agus Amran

Sebenarnya bukan mudah untuk terlibat dalam e-sukan di peringkat antarabangsa dan kemudiannya perlu sentiasa konsisten setiap minggu. Bagi pasukan Yoodo Gank, mereka punya cerita tersendiri jatuh bangun dalam Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL Timur).

Hatrik yang diperoleh pada Super Weekend 1 membuatkan pasukan ini terus melompat anak tangga dengan mudah dan meraih ranking teratas pada minggu pertama itu.

Namun, kegagalan untuk layak ke Super Weekend 2 dan prestasi yang tidak begitu cemerlang pada League Play baru-baru ini membuatkan penulis ingin tahu apa pendapat jurulatih mereka, Agus Amran bagi persiapan untuk Super Weekend 3.

“Kami lebih memfokuskan pada persiapan mental. Kita sudah terlepas 1 Super Weekend yang penting dan tekanan daripada League Play juga sedikit sebanyak mematangkan kami.

“Dari segi gaya permainan, kami juga telah membuat persiapan akhir,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Agus berkata, walaupun pasukan ini sering digasak komen seperti lewat masuk bulatan dan sebagainya, sebagai jurulatih, dia punya persepsi berbeza.

“Kami melakukan penambahbaikan dari setiap aspek dan apa yang saya lihat minggu ke-3 League Play ini lebih baik dari minggu lepas. Cuma finishing kurang,” katanya.

Umum mengetahui pemain-pemain ini akan bermain Super Weekend 3 ketika Hari Raya Haji disambut. Kata Agus, ia ibarat ‘cuti’ yang terakhir.

“Mood raya tidak mempengaruhi apa-apa kerana semua pemain boleh hilangkan sedikit tekanan daripada PMWL. Ia ibarat cuti yang terakhir dan mereka perlu berjuang berhabis baik demi negara untuk ke Grand Final. 

“Insya-Allah. Hari baru kena teruskan perjuangan,” katanya.

Yoodo bersama Secret akan bermain untuk Super Weekend terakhir esok

Menurut Agus, cabaran tidaklah terlalu banyak di minggu akhir ini cuma mereka perlu sentiasa konsisten.

“Kita selangkah lagi ke grand final dan tiada apa yang mustahil kalau kita yakin dan terus bersemangat.

“Terima kasih kepada peminat sentiasa menyokong jatuh bangun kami tak kiralah ketika kami kalah ataupun menang.

“Terima kasih juga kerana memahami perasaan pemain sewaktu mereka bukan dalam keadaan yang selesa,” katanya mengakhiri perbualan.

Penulis berharap pada minggu akhir Super Weekend ini, rakyat Malaysia perlu melaungkan semangat #MalaysiaBoleh dan memberi komen positif kepada kedua-dua pasukan negara, Yoodo Gank dan Team Secret yang akan bertanding.

PMWL Timur mengumpulkan 16 pasukan terbaik PUBG Mobile di serata Asia.

Ia menawarkan hadiah terkumpul RM1.8 juta. Pasukan-pasukan ini bertarung dalam Super Weekend selama tiga hari untuk mengumpul sebanyak mungkin mata bagi melayakkan diri ke Final PMWL.

Hanya mata dikumpul pada Super Weekend akan dikira sebagai markah dikumpul ke final liga.

RELATED NEWS

+