Presiden Sukan Olimpik Kata Esports Tak Akan Dibenarkan Di Olimpik Kerana Terlalu Ganas

Presiden International Olympic Committee (IOC), Thomas Bach masih lagi sangsi untuk menyarungkan pingat Olimpik kepada atlet esports jika game itu ganas.

Menurut laporan Associated Press, Bach berkata, “Kita tidak boleh mempunyai game yang mempromosikan keganasan dan diskriminasi terlibat dalam program Olimpik.”

Bach tidak menafikan satu ironi keganasan yang boleh diperlihatkan dalam acara-acara sukan Olimpik lain seperti tinju, gusti dan judo tetapi beliau masih tidak dapat menerima game yang mengarahkan pemain untuk membunuh.

“Semestinya setiap sukan pertempuran berpunca dari perlawanan antara orang pada zaman dahulu tetapi sukan adalah satu ekspresi terkawal atau bertamadun terhadap sukan yang melibatkan orang berlawan,” ujar Bach.

Bach juga berikan nama khas yang dipanggil sebagai ‘killer games‘ yang bercanggah daripada semangat Olimpik sebenar. Beliau menjelaskan lagi, “Jika kita memasukkan game di mana melibatkan anda membunuh orang, ini tidak sejajar dengan nilai-nilai Olimpik.”

Pada bulan Julai lalu, IOC bersama-sama Global Association of International Sports Federations (GAISF) menjemput pelbagai pihak penting dalam industri video game dan esports untuk mengukuhkan perhubungan komuniti gaming dan esports supaya sejajar dengan prinsip dan ideologi Sukan Olimpik.

Sukan Asia 2018 yang ke-18 di Indonesia mengukir sejarah kerana mempamerkan satu kejohanan esports yang menampilkan enam game dan disertai oleh atlet-atlet esports dari seluruh benua Asia termasuk duo wakil Malaysia, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh “Haikal” dan Muhamad Khairul Abdul Aziz “Keron” mendapat tempat keempat terbaik di Asia dalam kejohanan PES 2018 yang tidak menampilkan elemen keganasan langsung.

Pandangan presiden IOC berkenaan game ‘ganas’ ini tentu akan memberi impak negatif dalam keputusan mereka untuk melibatkan kejohanan esports sebenar dalam Olimpik.

Tanpa kehadiran game kompetitif terkenal seperti Dota 2, League of Legends ataupun Overwatch, acara esports Olimpik mungkin tidak akan dapat sambutan hangat dalam kalangan gamers dan juga penyertaan penuh dari atlet esports yang rata-rata bermain game seperti disenaraikan di atas.

RELATED NEWS

+