PUBG Mobile: Nik Harris Berkongsi Pengalaman Sebagai Hos Sepanjang PMPL

Liga Profesional PlayerUnknown’s Battlegrounds mudah alih Malaysia & Singapura (PMPL MY/SG) bersambung semalam dengan format dalam talian sepenuhnya.

Bagi hos liga tersebut, Nik Harris menganggap PMPL sebagai liga pertama yang mencabar untuknya.

“Jadual harian sangat padat dan tersusun. Saya perlu bersiap segera untuk ke lokasi acara.

“Bukan itu saja, setiap hari ada cabaran berbeza dan perlukan kelainan. Tapi saya sangat enjoy lakukan semua ini,” jelasnya.

 

Ada cabaran tersendiri

Berkongsi pengalaman sepanjang dua minggu pertama liga itu, kata Nik, cabaran terbesar sebagai hos adalah memastikan sesi temu ramah di atas pentas tak kelihatan canggung dan berulang.

“Saya perlu bersiap sedia dengan soalan yang berbeza selain mempamerkan personaliti yang ceria di atas pentas. 

“Mereka (pihak penganjur) juga bersetuju dengan idea saya buat kelainan seperti meme dan pelbagaikan teknik penceritaan di atas pentas jadi penonton di rumah tidaklah bosan,” katanya.

Akur dengan beberapa pemain yang lebih pasif dan malu, Nik menganggap ia satu cabaran tersendiri sebagai hos e-sukan.

“Memang mencabar juga untuk membuatkan pemain selesa di atas pentas dan mula bercakap. Lagi-lagi saya kena faham hakikat lebih 20 ribu penonton menyaksikan liga ini dari rumah jadi apa saya perlu buat ialah menjadi seorang yang kelakar.

“Gelagat seperti menari di atas pentas dan tidak terlalu serius membuatkan mereka lebih relaks dan bersahaja. Mereka juga akan bercakap apabila diajukan soalan yang ringkas,” kata Nik.

Nik mengakui pengurusan acara yang berkesan dan kakitangan profesional sepanjang liga tersebut yang berlangsung selama dua minggu (minggu ketiga dimulakan dalam talian sepenuhnya).

Katanya, dia berpeluang bekerja dengan individu profesional dan berusaha keras memastikan siaran langsung lancar dan interaksi bersama pemain profesional memberikan persepsi pelbagai bagi golongan gamers.

“Saya tertarik dengan perbualan ilmiah tidak mengira topik jadi ia adalah satu pengalaman manis untuk mengenali semua orang. 

“Saya masih ingat memori sewaktu memanggil nama pasukan di atas pentas dan riak wajah pemain terus bersemangat dan tak sabar untuk bertanding. Ia satu pengalaman yang menarik,” katanya.

 

Perlu pandai urus kewangan dan jaga kesihatan

Sebagai seorang freelancer dalam bidang pengacaraan, Nik menasihatkan bagi mereka yang ingin fokus bekerja separuh masa perlu sentiasa menitikberat banyak perkara.

“Pertama, perlu jaga kesihatan mental, kedua makan secara sihat dan jangan lupa bersenam.

“Ketiga, sentiasa semak berita semasa mengenai COVID19 dan tanamkan sifat kerjasama dengan mana-mana pusat kesihatan seandainya anda tidak sihat.

“Jangan juga lupa untuk menyemak hak anda sebagai rakyat yang akan menerima bantuan dari kerajaan. Paling penting sekarang ialah mengurus kewangan dan ambil bantuan yang mana boleh,” katanya.

Tidak hanya berpeluk tubuh di rumah, Nik melakukan banyak aktiviti baru antaranya dengan mengamalkan pemakanan sihat.

“Saya juga bersenam 90 minit sehari dan tak memastikan diri saya ketinggalan dengan patch dan perubahan roster pasukan-pasukan e-sukan.

“Kalau bosan, saya akan main banyak permainan video. Dari segi hiburan memang tak menjadi masalah. Banyak aktiviti boleh dibuat,” jelasnya.

Nik berkata, dia juga menetapkan matlamat peribadi untuk kurangkan berat badan dan menambah baik kemahiran dalam bidang pengacaraan sebelum PKP berakhir.

RELATED NEWS

+