[RASMI] Ikuto kini Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, kongsi rasa teruja

Bagai bulan jatuh ke riba, itulah tuah Radzi Rahman atau lebih senang dikenali sebagai Ikuto apabila dilantik sebagai Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak hari ini.

Menerusi jawatan itu, Ikuto bertanggungjawab untuk menaikkan mutu pembangunan e-sukan bagi Todak dan memberikan idea-idea baru.

Menceritakan perubahan jawatan dari Moonton ke Todak, Radzi berkata, ia adalah satu pengalaman baru dan berbeza.

“Ketika bersama Moonton, saya banyak menguruskan projek tapi kali ini, saya bertanggungjawab memastikan pasukan e-sukan Todak menjadi yang terbaik.

“Saya juga perlu lihat permasalahan dalam e-sukan dengan membantu pengurus dalam menambahbaik apa yang boleh diperbaiki bagi memastikan pemain berada di tahap optimum,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Kata Radzi, beliau juga akan menyumbang idea menarik seperti program baru akan diperkenalkan dalam Todak.

“Kita nak tunjuk yang e-sukan bukan setakat elemen kompetitif dan penstriman langsung tapi juga hiburan.

“Banyak yang kita boleh teroka dalam aspek hiburan seperti rancangan baru, siri-siri pendek dan sebagainya,” katanya.

Ketika ditanya jika masih terlibat dalam tawaran menjadi pengulas, kata Radzi, dia tak pernah menolak peluang ada depan mata.

“Alhamdulillah, saya masih ada kebebasan untuk mengulas, tiada halangan untuknya.

“Namun, selepas ini saya perlu lebih berhati-hati memilih tawaran kerana sekarang tanggungjawab penuh adalah bersama Todak,” katanya.

Tidak terlupa kepada individu yang sentiasa menyokong kariernya sejak dulu, Radzi berharap mereka terus percaya dengan kebolehannya.

“Kepada peminat, terima kasih kerana menyokong menjadi ‘suara’ sebagai pengulas di Malaysia dan terima kasih juga kepada pasukan Todak.

“Nantikan satu perubahan besar yang akan membawa Todak menjadi satu organisasi e-sukan yang dikenali dalam negara,” katanya.

RELATED NEWS

+