Red Esports tak dapat slot MPL MY musim ketujuh, ini sebabnya

Organisasi e-sukan, Red Esports yang mana pasukannya pernah menyertai Liga Profesional Mobile Legends (MPL MYSG) Musim Keenam mengumumkan mereka tidak dapat slot jemputan ke MPL MY Musim Ketujuh.

Dalam satu catatan panjang di Instagram, Red Esports menjelaskan siituasi tersebut. Penulis ringkaskan untuk pembaca semua.

“Kami tidak dapat slot jemputan MPL MY musim ketujuh daripada pihak Moonton. 

“Walaupun dari minggu lepas berusaha dapatkan sokongan dari Moonton untuk mendapat hak organisasi yang menyediakan semua keperluan kepada pemain di bawah kontrak sah, tapi apakan daya slot diberikan kepada syarikat ‘baru’ yang didaftarkan hanya untuk mendapatkan slot ini,” tulis kenyataan itu.

Red Esports juga mengatakan sifat tamak dan pentingkan diri salah seorang pemain menyebabkan slot diberikan kepada syarikat yang tak perlu keluarkan sesen pun duit poket dan penat lelah dari awal hingga hari ini.

Mereka juga menegaskan slot itu lebih baik diberikan untuk kelayakan dan bukan kepada pemain di bawah kontrak yang menjadikan organisasi sebagai batu loncatan dan berlaku biadap.

“Kesimpulannya, jadikan pengalaman kami sebagai organisasi baru berjinak-jinak dalam MPL sebagai pengajaran untuk elak dari situasi yang menyebabkan kerugian ratus ribu kepada syarikat anda.

“Jangan sesekali membenarkan pemain atau orang luar melakukan urusan dan merampas setiap satu usaha kita dari awal tanpa rasa malu,” tulisnya.

Red Esports juga mengakhiri dengan ucapan “Jangan kerana satu slot, anda menghancurkan masa depan diri sendiri. Yang menjadikan anda profesional adalah dengan usaha tanpa kenal penat lelah, disiplin dan respect.

“Kejayaan tidak akan datang dengan hanya bergoyang kaki,” akhirinya.

Red Esports juga nampaknya akan bermula dari bawah dari pusingan kelayakan untuk MPL MY Musim Ketujuh ini.

Di posting Instagram itu juga menyatakan ada pihak ketiga campur tangan dan mengatakan Red Esports adalah penaja dan bukan pemilik pasukan tersebut.

Sementara itu, usaha kami untuk mendapatkan komen dari pemain digantung, Silo tidak berjaya kerana beliau enggan memberi komen. Pihak Moonton pula ketika dihubungi mengatakan masih menyiasat hal ini.

Kami akan maklumkan jika ada perkembangan baru.

Artikel berkaitan: Silo digantung dari sertai mana-mana kejohanan MLBB

Sumber rujukan: IG Red Esports

RELATED NEWS

+