[Review] Assassin’s Creed Valhalla – pengembaraan pahlawan Viking di England

Unit ulasan disediakan oleh Ubisoft. Ulasan dilakukan di PC. Permainan ini juga dilancarkan di PlayStation 4 (PS4), PlayStation 5 (PS5), Xbox One, dan Xbox Series.

Sejak pelancaran Assassin’s Creed Origins, francais Assassin’s Creed telah meninggalkan identiti lama yang dikukuhkan sejak Assassin’s Creed pertama. Kini ia lebih seiras dengan permainan-permainan role-playing game (RPG) dunia terbuka seperti The Witcher 3: Wild Hunt dan The Elder Scrolls V: Skyrim.

Ramai peminat veteran siri tersebut sering memberi kritikan tentang evolusi ini tetapi kejayaan Assassin’s Creed Origins dan Assassin’s Creed Odyssey meyakinkan Ubisoft untuk meneruskan formula terkini. Assassin’s Creed Valhalla merupakan judul terbaru siri ini dan sama seperti dua permainan sebelumnya, ia adalah sebuah RPG dunia terbuka.

Antara tarikan utama Assassin’s Creed Valhalla ialah ia merupakan salah satu permainan yang dilancarkan bersama konsol generasi baharu iaitu PS5 dan Xbox Series. Ubisoft menjanjikan prestasi permainan yang lebih lancar dan kualiti grafik yang lebih hebat berbanding PS4 dan Xbox One.

Apa-apa pun, aspek utama yang patut dinilaikan ialah kepuasan permainan dan malangnya, penulis tidak begitu berpuas hati dengan Assassin’s Creed Valhalla. Ia berpenampilan cantik tetapi tidak mempunyai isi permainan yang menarik.

 

Jalan cerita utama yang agak lemah

Sebelum ini, kita disajikan dengan sebuah jalan cerita yang penuh emosi dalam Assassin’s Creed Odyssey. Kita bermain sebagai seorang anak yatim yang perlu menjelajah jauh demi mencari ahli-ahli keluarganya yang masih hidup dan pada waktu yang sama, kita terlibat dengan pembangunan tamadun Yunani.

Jalan cerita sebegitu sentiasa memberikan pemain motivasi untuk meneruskan perjalanan. Terdapat elemen misteri dan ketegangan yang membuatkan kita ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Malagnya, ciri-ciri ini tidak wujud langsung dalam Assassin’s Creed Valhalla.

Plot utama permainan ini boleh diringkaskan dalam satu ayat sahaja: Anda ialah seorang pahlawan Viking yang mahu menakluki England.

Kali ini, kewujudan jalan cerita utama dikorbankan demi memberi fokus terhadap cerita-cerita kecil yang bermula apabila kita cuba menakluk daerah-daerah England. Setiap daerah mempunyai jalan cerita tersendiri bersama beberapa watak-watak unik tetapi kesemuanya sangat mudah dilupakan.

Watak utama sendiri iaitu Eivor (boleh pilih lelaki atau perempuan) juga tidaklah begitu menarik. Dia langsung tidak mempunyai personaliti yang membuatkan dirinya menyerlah. Apabila bermain sebagai Eivor, kita hanya menunaikan permintaan-permintaan watak-watak lain.

 

Ulang seratus kali: serang perkampungan dan rampas harta

Penulis telah membaca beberapa ulasan lain tentang Assassin’s Creed Valhalla dan rasa agak terkejut dengan pujian yang diberikan kepada permainan ini. Pada pendapat penulis, formula permainannya sangat membosankan. Dari permulaan hingga akhir permainan, kita hanya melakukan perkara yang sama sahaja.

Secara ringkasnya, kita hanya menyerang perkampungan-perkampungan di sekitar England untuk merampaskan harta mereka. Selepas itu, harta tersebut akan digunakan untuk membangunkan perkampungan atau settlement Viking kita.

Selain itu, kita juga menjelajah ke daerah-daerah lain untuk mendapatkan sokongan daripada pemimpin-peminpin di sekitar England agar perkampungan kita dapat dijaga. Usaha untuk mendapatkan sokongan pemimpin lain sangat mudah. Anda hanya perlu melakukan beberapa misi (yang tidak kreatif) untuk mereka.

Formula ini sudah cukup membosankan tetapi ia menjadi lebih mengecewakan kerana Ubisoft memanjangkannya menjadi sebuah permainan ratusan jam. Kita perlu mendapatkan sokongan dari banyak daerah dan setiap misi yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin setiap daerah lebih kurang sama.

Dari segi pertarungan pula, gaya permainan yang ditonjolkan lebih kurang sama dengan Assassin’s Creed Odyssey. Satu penambahbaikkan yang patut dipuji ialah animasi pembunuhan nampak lebih ganas. Walaubagaimanapun, ia agak mudah dan penulis mengesyorkan anda untuk main pada tahap kesukaran Hard jika anda membeli permainan ini.

Untuk peminat Asssassin’s Creed yang menyukai aspek penyelinapan dan pembunuhan senyap, anda tidak patut meletakkan harapan dalam permainan ini. Sistem penyelinapan Assassin’s Creed Valhalla penuh dengan masalah teknikal seperti musuh dapat melihat kita di sebalik dinding. Permainan ini lebih mementingkan aspek Viking daripada Assassin.

 

Penampilan grafik generasi baharu

Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan ini sangat cantik. Kualiti tekstur yang tinggi membenarkan kita untuk melihat butiran bulu haiwan yang dipakai oleh setiap watak. Pantulan cahaya di permukaan air sentiasa nampak realisitk. Persekitaran England yang penuh kehijauan jarang sekali gagal menyejukkan mata.

Rekaan watak-watak Viking juga sangat meyakinkan. Mereka memakai perisai besar yang membuatkan mereka nampak kuat dan kebanyakkannya mempunyai janggut lebat yang diikat tocang. Jika anda merupakan peminat besar estetik Viking, Assassin’s Creed Valhalla tidak akan mengecewakan anda.

Dari segi audio pula, penulis tidak mampu memberikan pujian mahupun kritikan. Lakonan suara untuk setiap watak dilakukan dengan baik tetapi malangnya mereka tidak diberikan skrip yang begitu hebat. Bunyi pertarungan sangat memuaskan tetapi sama seperti sistem pertarungan, ia menjadi bosan dalam tempoh masa yang cepat.

Ramai pengulas lain memuji muzik latar dalam permainan ini tetapi penulis tidak bersetuju. Bukan kerana muzik dalam permainan ini tidak bagus tetapi ia jarang sekali muncul. Penulis tidak pasti sama ada ini adalah masalah teknikal atau memang ia dirancang sebegini.

 

Satu lagi permainan Ubisoft yang kurang kreativiti

Penulis rasa tak begitu memuaskan dengan permainan ini kerana ia dipasarkan sebagai sebuah permainan hebat yang penuh dengan kandungan menarik. Malangnya, ia hanyalah satu lagi permainan dunia terbuka Ubisoft yang direka untuk permainan tempoh panjang yang membosankan.

Beberapa pembangun di Ubisoft menyatakan mereka mendengar kritikan yang diberikan terhadap Assassin’s Creed Odyssey dan memperbaiki formula permainan agar Assassin’s Creed Valhalla menjadi lebih menyeronokkan. Pada pendapat penulis, perubahan yang dibuat tidak mencukupi.

Jika anda berminat dengan permainan yang mempunyai estetik Viking atau permainan yang tidak memerlukan anda untuk berfikir apabila bermain, Assassin’s Creed Valhalla ialah permainan yang sesuai. Jika tidak, boleh gunakan wang anda untuk beli permainan lain.

 

Kekuatan:

  • Kualiti grafik yang sangat cantik.
  • Animasi pertarungan sangat memuaskan.
  • Lakonan suara meyakinkan.

Kelemahan:

  • Formula permainan yang sangat membosankan.
  • Jalan cerita lemah.
  • Watak-watak dan skrip yang kurang kreativiti.

SKOR AKHIR: 50/100

RELATED NEWS

+