Review: Borderlands 3 Kembalikan Nostalgia First-Person Shooter Menyeronokkan Tetapi Tidak Kesampaian

Siri Borderlands mempunyai tarikan FPS yang tersendiri dengan grafik mengikut animasi cel-shaded, padat dengan aksi tembak-menembak mencari harta karun penuh dengan senjata bermutu tinggi, penuh dengan lawak tak kering gusi, menyuntik pelbagai rujukan budaya pop dan karakter-karakter yang seronok untuk dimainkan serta penceritaan bermakna.

Borderlands 3 akhirnya tiba setelah lima tahun menyepi dengan game terakhir daripada Gearbox Software iaitu Borderlands: The Pre-Sequel. Ketika Borderlands 3 diumumkan secara rasmi, saya begitu teruja kerana francais first-person shooter (FPS) ini benar-benar mengubah landskap saya sebagai seorang pemain yang tidak pernah gemar akan kamera perspektif FPS.

Setelah meluangkan masa 40 jam bersama Borderlands 3, terdapat beberapa perubahan saya sudah boleh jangkakan dan ada beberapa aspek yang saya tidak boleh jangka malah jauh di sudut hati, saya rasa kecewa. Mampukah Borderlands 3 jadi game terbaik berbanding game Borderlands sebelum ini? Jom ikuti review penuh Borderlands 3. 

Tembak, ulang dan kutip

Siri Borderlands tidak lengkap tanpa barisan pemburu Vault (Vault Hunter) yang mana ia dipercayai menyimpan teknologi alien tertanam di Pandora. Terdapat empat pemburu Vault korang boleh pilih iaitu Zane (Operative) merupakan seorang pengintip dan penembak hendap yang boleh hasilkan klon diri sendiri; Amara (Siren) mengikut jejak langkah Lilith dan Maya dengan skil Siren memanipulasikan serangan elemen; FL4K (Beastmaster) pula boleh memanggil haiwan buas untuk serang di sisinya manakala Moze (Gunner) ialah seorang askar veteran yang boleh mengendalikan robot bernama Iron Bear buat seketika seperti D.va dalam Overwatch. 

Saya memilih untuk bermain sebagai FL4K kerana gabungan kebolehan pemburu dan penjinak haiwan yang mana tidak pernah ditampilkan dari mana-mana game Borderlands. Bagi mereka yang suka main secara solo, FL4K sesuai untuk korang kerana haiwan-haiwannya terdiri daripada Jabber, Spiderant dan Skag boleh membantu korang semasa pertempuran seperti hidupkan pemain semula apabila ditewaskan oleh musuh.

Pertempuran tembak-menembak dihidangkan dengan pelbagai jenis senjata yang tak terkira sehinggakan korang rambang mata untuk guna mana satu. Sepanjang saya bermain game ini, terlalu banyak masa saya habiskan dengan hanya melihat dan asyik menukar senjata sesuai untuk pertempuran. Ada senjata yang boleh keluar kaki dan kejar musuh, ada senjata penyembur api diinspirasikan oleh usahawan teknologi, Elon Musk dan ada juga senjata ‘memuntahkan’ banyak senjata! 

Secara keseluruhan, gaya animasi cel-shaded ikonik Borderlands lebih cantik berbanding Borderlands asal. Ini mengingatkan saya kepada siri Bioshock yang memberi banyak perhatian kepada pemandangan visual teliti yang mempengaruhi permainan.

Namun, sayang sekali peningkatan visual gempak ini dihindari dengan isu-isu lag melampau terutamanya jika korang mahu membuka inventori dan melihat peta. Lag itu jadi lebih ketara apabila korang bermain mod co-op bersama rakan lain. Apa yang lebih menghampakan adalah game ini tidak membenarkan pemain konsol untuk menukar perspektif kamera pembahagian skrin (split-screen) dari pandangan melintang ke menegak. Sari kata juga sangatlah kecil seperti semut dalam versi split-screen. Saat-saat menyedihkan untuk pemain konsol. 

Borderlands 3 kali ini memperkenalkan dua jenis cara permainan co-op dipanggil sebagai cooperation dan coopetition. Cooperation membolehkan pemain dengan level berbeza boleh bermain bersama-sama dan manakala kutipan barangan diagihkan mengikut level pemain masing-masing manakala coopetition kembali ke Borderlands klasik tanpa pengagihan kutipan mengikut level. Pengagihan mod cooperation adalah sangat mengecewakan kerana ia lebih susah untuk mendapat senjata gempak seperti berwarna ungu atau atau emas berbanding main solo sekaligus menghapuskan semangat untuk bermain game yang sering mencanang ada berjuta-juta senjata.

Pengembaraan ke angkasa lepas

Pintu harta karun

Borderlands 3 kini terbang melihat bintang dan planet dalam kapal Sanctuary III yang mana ‘dihidupkan’ oleh penyanyi rap, Ice-T yang terperangkap dalam patung beruang. Selain memburu di padang pasir tandus Pandora, penjelajahan untuk memiliki teknologi unggul Eridium dalam Vault diperluaskan ke pelbagai jenis planet untuk diterokai oleh pemain sepanjang permainan ini. Ini adalah satu peningkatan yang memberi nafas baru kepada francais ini yang mana game Borderlands sebelum ini hanya tertumpu di Pandora.

Pengangkutan darat Borderlands juga diperincikan dengan penambahan beberapa kenderaan baru seperti motorsikal Cyclone ala filem sains fiksyen, Tron. Kenderaan ini boleh diubahsuai dengan komponen-komponen yang meningkatkan pemanduan supaya jadi lebih laju atau teguh serta korang juga boleh tukar warna kenderaan dalam menu Catch-A-Ride baru.

Tugasan pemburu Vault

Berlandaskan konsep open-world, ini bermakna pemain bebas untuk memilih mana-mana misi untuk dilakukan di setiap planet yang mempunyai tarikan dan habitat tersendiri. Sebagai contoh, Athena menempatkan banyak biara yang dikelilingi dengan gunung-ganang nyaman dan indah tetapi telah dikepung oleh tentera Maliwan. Eden-6 menampilkan pemandangan rimba hujan tropika dengan kawasan berpaya yang penuh dengan haiwan saurian yang sentiasa kejar korang manakala Promethea pula mencerminkan landskap bandar-bandar metropolitan yang mana menempatkan ibu pejabat Atlas dengan jalan-jalan sempit di antara bangunan-bangunan pencakar langit.

Meskipun banyak tempat baru untuk dijelajahi, keseluruhan mekanik misi utama dan juga misi sampingan rasa sama sahaja iaitu dengar arahan daripada orang bermacam-macam ragam seperti ketua ‘samseng’ yang hanya memakai seluar dalam, dicaci oleh penjahat gila bayang dan sentiasa mencari peti dan jamban untuk mencari senjata berwarna emas tetapi harapan punah kerana peti penuh dengan senjata lopek. 

Apabila budak-budak baru nak up

Tyreen dan Troy Calypso

Pengembaraan untuk membuka Vault kini menjadi lebih mencabar apabila ia menjadi rebutan syarikat pengeluar senjata besar yang pernah muncul dalam siri Borderlands seperti Maliwan dan penjahat baru iaitu sepasang kembar, Troy dan Tyreen Calypso yang mahu membolot kunci Vault untuk kepentingan diri sendiri.

Kemunculan kembar sebagai penjahat baru tidak dapat menggantikan lopong ditinggalkan oleh Handsome Jack selepas kematiannya dalam Borderlands 2. Kembar Calypso riang ria tanpa belas kasihan ini meluaskan kuasanya dengan menjadi streamer atau YouTuber terkenal yang menyiarkan pembunuhan besar-besaran bagi menarik perhatian ramai pengikut. Pemain berhadapan dengan pengikut taksub Calypso yang menyerang korang secara membabi-buta. 

Walaupun Rhys dan Vaughn daripada Tales from the Borderlands (TFTB) iaitu sebuah olahan game daripada Telltale Games membuat penampilan dalam misi-misi utama Borderlands 3, dua karakter yang pernah menjadi tonggak utama TFTB tidak mampu menggamit suasana keseronokan dalam game ini. Dari segi jenaka pula, jika saya mahu simpulkan dalam satu ungkapan: kotor. Borderlands 2 dilimpahi dengan lawak jenaka mengenai tahi, kentut dan bahagian punggung serta ada juga yang bergelak ketawa atas kesusahan orang lain. 

Kesimpulan

Borderlands 3 meningkatkan mutu kualiti permainannya melalui persembahan grafik berkualiti tinggi dan banyak kepelbagaian cara pertempuran yang boleh diubahsuai mengikut citarasa pemain. Namun, ia tidak mencapai jiwa dan semangat Borderlands 2 mahupun 1 dikekang oleh masalah teknikal, jenaka tak kena tempat dan penceritaan yang mendatar. 

Selepas korang selesai main game ini, ada banyak misi sampingan yang korang masih lagi buat. Gearbox menyajikan lagi banyak kandungan untuk kelangsungan hidup Borderlands 3 (quality of life improvements) seperti Guardian Rank, True Vault Hunter Mode (TVHM) dan Mayhem Mode. Guardian Rank menggantikan Badass Rank yang mana korang mengumpul token bagi mempertingkatkan kebolehan sedia ada dan mendapat kebolehan baru. TVHM khas untuk mereka yang mahu mengalahkan musuh dan raksasa lebih kuat makan peluru manakala Mayhem Mode adalah satu meter yang korang boleh ubahsuai bagi meningkatkan peluang untuk melihat hujan emas terdiri daripada senjata dan wang.

Kepada mereka yang mengikuti siri Borderlands, saya mencadangkan korang dapatkan game untuk mengetahui perjalanan dan kesudahan karakter-karakter veteran seperti Lilith, Maya, Ellie, Tannis dan ramai lagi.

Untuk mereka yang tidak minat lawak kotor dan game FPS, saya tidak mengesyorkan Borderlands 3 tetapi kalau korang betul mahu mencuba game ini, saya rekomen untuk beli Borderlands 3 sehingga mereka memperbaiki masalah teknikal ataupun beli sahaja koleksi lengkap dengan semua DLC.

Borderlands 3 kini dilancarkan di PS4, Xbox One dan PC (Epic Games Store).

Terima kasih 2K atas kod permainan.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+