Sonic the Hedgehog belum lagi dikeluarkan tetapi telah dikecam teruk oleh peminat tegar sehingga pengarah filem berikrar untuk tukar rekaan Sonic."> Sonic the Hedgehog belum lagi dikeluarkan tetapi telah dikecam teruk oleh peminat tegar sehingga pengarah filem berikrar untuk tukar rekaan Sonic." /> Sonic the Hedgehog belum lagi dikeluarkan tetapi telah dikecam teruk oleh peminat tegar sehingga pengarah filem berikrar untuk tukar rekaan Sonic." />

Review: Filem Pokemon Detective Pikachu Berjaya Memecahkan Sumpahan Buruk Filem Video Game!

Hollywood memang selalu dilihat menghasilkan filem berdasarkan video game yang tersasar dari sumber asal dan agak janggal. Sebagai contoh, filem live-action Sonic the Hedgehog belum lagi dikeluarkan tetapi telah dikecam teruk oleh peminat tegar sehingga pengarah filem berikrar untuk tukar rekaan Sonic.

Apabila filem Detective Pikachu diumumkan secara rasmi, saya berasa sangsi dan tidak pasti jika filem ini mampu membawakan semangat seluruh Pokemon dan Detective Pikachu sebenar ke dalam layar perak. Ketika saya dapat tahu Ryan Reynolds menjadi suara Pikachu, saya fikir filem ini sudah tentu akan jadi pelik.

Setelah saya menonton filem penuh Pokemon Detective Pikachu (bukan versi ini, okay), filem ini memang pelik tetapi keanehan inilah yang menjadikan filem ini seronok dan berjaya memecahkan segala jangkaan asal saya. Inilah review penuh tanpa spoilers untuk filem Pokemon Detective Pikachu.

Detective Pikachu pasal apa?

Perbezaan Detective Pikachu dalam game (kiri) dan dalam filem (kanan)

Buat pengetahuan korang, Detective Pikachu merupakan siri game yang mula dilancarkan untuk pasaran Jepun dengan nama Great Detective Pikachu pada 2013 dan kemudiannya, dilancarkan ke seluruh dunia dengan nama sama pada 2018 hanya untuk Nintendo 3DS.

Berbeza dengan siri Pokemon yang fokus kepada elemen role-playing game (RPG), Detective Pikachu akan mengawal Tim Goodman bertemu dengan seekor Pikachu yang petah bercakap dalam menyelesaikan misteri penyiasatan di Ryme City.

Saya dapat lihat pembikin filem banyak mengambil sumber asli daripada game asal terutamanya kepada jalan cerita tertumpu kepada Tim Goodman dan berjumpa dengan Pikachu mempunyai kebolehan menyiasat yang memakai topi deerstalker yang dipopularkan oleh detektif Sherlock Holmes.

Tim Goodman dilakonkan oleh Justice Smith

Untuk edisi filem pula, korang akan mengikuti perjalanan seorang pemuda bernama Tim Goodman dilakonkan oleh Justice Smith yang bekerja sebagai ejen insurans terpaksa menjalankan misi misteri atas kehilangan luar biasa bapanya, Detective Harry Goodman bersama Pokemon milik bapanya di Ryme City.

Ketika dia buntu mencari ayah, seekor Pikachu tiba-tiba sahaja muncul dan Pikachu ini hanya boleh berkomunikasi dengan Tim sahaja. Apa yang lebih mengejutkan, Pikachu itu adalah Detective Pikachu pintar yang dilakonsuara oleh Ryan Reynolds selalu setia di samping ayahnya.

Tim dan Pikachu harus bekerjasama untuk merungkai misteri membelenggu kehilangan Detective Harry Goodman  membawa duo ini terserempak dengan Lucy (Kathryn Newton) iaitu seorang wartawan pelatih bersama Pokemonnya, Psyduck yang juga curiga dan sertai pengembaraan misteri ini bersama-sama iaitu menyiasat kes kemalangan sehingga ke komplot organisasi rahsia bawah tanah.

Pokemon ‘hidup’ dalam dunia nyata

Pokemon dalam dunia sebenar: Pikachu, Aipom, Charizard dan Bulbasaur

Perjalanan Tim dan Pikachu ke Ryme City membuka mata orang ramai tentang kehidupan seharian antara manusia dan Pokemon secara harmoni. Ryme City adalah satu-satunya bandar yang membolehkan manusia memiliki Pokemon berbanding dengan kawasan luar yang penuh dengan Pokemon liar.

Meskipun filem ini fokus kepada Pikachu, korang boleh jangka ada pelbagai jenis Pokemon dari pelbagai generasi yang muncul dalam filem ini. Malah, korang boleh tengok banyak Pokemon berjalan-jalan di setiap genap bandar seperti Pidgey, Aipom, Snubbull, Bulbasaur, Charmander, Cubone, Growlithe, Loudred, Greninja dan macam-macam lagi! 

Pada mulanya, Pokemon-Pokemon ini agak janggal dianimasikan kerana saya sudah terbiasa melihat Pokemon dalam bentuk 2D & 3D (seperti dalam Pokemon Sun & Moon). Selepas lihat filem ini, saya memang bagi pujian tertinggi kepada pasukan yang bertanggungjawab menghasilkan Pokemon yang seakan hidup di dunia sebenar dan berada di sekeliling kita.

Detective Pikachu gebu-gebu dengan ekor berbentuk kilat dan juga mempunyai iras-iras muka Ryan Reynolds manakala Pokemon lain seperti Psyduck dan Gengar agak menakutkan serta tampak realistik bagi saya. Visual pertempuran antara Pokemon juga sangat hebat dan mengagumkan saya.

Apa yang kurang sikit bagi saya adalah ada sesetengah suara Pokemon ini tidak ada kualiti sama seperti didengarkan dalam game asal. Lebih-lebih lagi, jangan sedih kalau Pokemon kegemaran korang tidak muncul kerana filem ini tidak memaparkan keseluruhan 807 Pokemon yang wujud dalam game buat masa sekarang.

Penghormatan kepada siri Pokemon dan Detective Pikachu

Dari kiri: Lucy, Psyduck, Pikachu dan Tim

Secara jujurnya, saya tonton filem ini dengan jangkaan sangat rendah kerana ia merupakan filem live-action pertama untuk siri Pokemon dan Detective Pikachu dan saya tidak mahu dikecewakan lagi selepas melihat filem Assassin’s Creed dan Resident Evil.

Filem ini berjaya memukau saya dengan plot twist yang lebih banyak berbanding filem penyiasatan komedi lain yang mana ia membuahkan hasil dahsyat (lagi gempak daripada Avengers: Endgame!) dan sangat memuaskan.

Lakonan Justice Smith, Kathryn Newton bersama-sama lakon suara Ryan Reynolds saling melengkapi antara satu sama lain benar-benar membentuk filem berdasarkan video game yang saya mahukan selama ini. Kepada peminat tegar, korang tentu boleh tangkap easter egg yang berterabur di setiap genap filem ini! 

Dalam erti kata lain, filem Pokemon Detective Pikachu adalah filem yang sesuai untuk ditunjukkan kepada mereka yang baru mengenali Pokemon dan juga satu penghargaan yang bermakna kepada peminat siri Pokemon. 

Filem Pokemon Detective Pikachu sudah ditayangkan di seluruh negara bermula pada hari ini, 9 Mei 2019.

Baca lagi: Pokemon GO Akan Diterjah Oleh Detective Pikachu Selama 10 Hari!

RELATED NEWS

+