[Review] Ghost of Tsushima – permainan video samurai terbaik generasi ini
2020-07-27T05:59:36
By: Burhanudin Zamri

[Review] Ghost of Tsushima – permainan video samurai terbaik generasi ini

 

Ulasan dibuat di konsol PlayStation 4 (PS4). Unit review disediakan oleh Sony Interactive Entertainment Malaysia.

Sudah bertahun-tahun penulis menunggu permainan video yang dapat memuaskan hati dari segi memberikan pengalaman fantasi menjadi seorang samurai. Apabila Ghost of Tsushima diumumkan tiga tahun lalu, penulis menjadi sangat teruja.

Akhirnya Ghost of Tsushima telah tiba di PlayStation 4 dan penulis sendiri telah menghabiskan berpuluh-puluh jam di pulau Tsushima yang sangat cantik. Persoalannya, adakah ini permainan video dunia terbuka samurai yang penggemar pemain video tunggu selama ini?

Jom baca ulasan ini dan ketahui kenapa penulis yakin memanggil Ghost of Tsushima permainan video samurai terhebat generasi ini!

 

Antara “Samurai” dan “Ghost”

Dalam Ghost of Tsushima, anda bermain sebagai Jin Sakai dan perlu membebaskan pulau Tsushima daripada tentera Mongol yang telah menyerang. Untuk mengalahkan mereka, anda perlu mendapatkan bantuan daripada penduduk Tsushima yang belum dijadikan hamba.

Tema utama judul ini ialah pemilihan antara penghormatan (honour) dan adaptasi. Ia dijadikan sebuah konflik yang menarik untuk watak Jin kerana dia sentiasa dihantui kegagalan samurai untuk mempertahankan Tsushima daripada tentera Mongol yang tidak kisah tentang cara pertarungan yang penuh hormat.

Anda akan mengembara dari belah selatan sehingga belah utara pulau tersebut untuk mencari individu-individu hebat seperti seorang guru pemanah berstatus lagenda, kumpulan samurai ronin, dan ramai lagi. Mereka semua mempunyai jalan cerita masing-masing yang menarik.

Dialog dan jalan cerita judul ini setaraf produksi Hollywood berbajet besar. Terdapat babak-babak yang membuatkan penulis mengalir air mata dan ada juga babak-babak yang membuat penulis tertawa.

Tidak dinafikan ada bahagian “plot twist” yang boleh dijangka dengan mudah tetapi masih ada ketika di mana penulis masih terkejut dengan perkembangan cerita judul ini.

Dari segi lakonan suara pula, pelakon suara Bahasa Inggeris memberikan persembahan yang agak baik tetapi judul ini lebih menyeronokkan jika dimain dengan lakonan suara Bahasa Jepun yang jauh lebih hebat pada pendapat penulis.

Antara perkara yang membuat lakonan suara Bahasa Jepun lebih memuaskan ialah pelakon suara Jin iaitu Kazuya Nakai. Beliau juga merupakan pelakon suara untuk watak-watak anime terkenal seperti Roronoa Zoro dalam One Piece dan Mugen dalam Samurai Champloo.

Aspek audio mempunyai satu kelemahan iaitu penyegerakan bibir (lip syncing) direka mengikut lakonan suara Bahasa Inggeris. Oleh itu, ia akan nampak sedikit ganjil apabila bermain menggunakan lakonan suara Bahasa Jepun. Apa-apa pun, ini hanya satu kelemahan kecil.

 

Sistem pertarungan yang mendalam

Permainan asas Ghost of Tsushima dipecahkan kepada pertarungan dan penyelinapan. Para pemain digalakkan menggunakan kedua-duanya untuk menyelesaikan pelbagai misi yang ada dalam permainan video ini.

Sistem pertarungan judul ini mempunyai beberapa aspek yang biasa ditemui dalam judul-judul lain seperti pukulan ringan, pukulan berat untuk memecahkan pertahanan, pengelakkan, dan penangkisan (parrying).

Apa yang membuatkan sistem ini menjadi lebih menarik ialah ia juga mengandungi senjata-senjata yang boleh dibaling seperti kunai, bom melekit, dan banyak lagi. Pemain juga boleh mengeluarkan busur dalam pertarungan dan menembak musuh dengan menggunakan kebolehan gerak perlahan (slow motion).

Kepelbagaian musuh merupakan salah satu cara utama judul ini memperkenalkan cabaran kepada pemain. Contohnya, musuh yang menggunakan lembing tidak boleh ditangkis (pada awal permainan) dan pemain perlu mengelak serangan mereka.

Terdapat empat jenis “stance” yang boleh diguna oleh Jin dan setiap stance mempunyai kelebihan terhadap musuh-musuh tertentu. Water Stance boleh memecahkan pertahan musuh pedang dan perisai dengan mudah manakala Wind Stance pula sesuai untuk musuh lembing.

Ini menambahkan lagi kedalaman sistem pertarungan kerana pemain sentiasa harus mengubah stance mereka mengikut musuh yang sedang dilawan. Apabila anda menguasai sistem stance ini, ia benar-benar membuatkan anda rasa seperti seorang samurai handal.

Jin bermula sebagai seorang pahlawan yang agak lemah dan mudah ditewaskan tetapi pemain boleh mendapatkan pelbagai kemahiran baharu serta menaiktaraf kebolehan dan kelengkapan Jin agar menjadi lebih kuat.

Permainan pertarungan dalam judul ini sangat memuaskan kerana impak daripada setiap pukulan katana dan tembakan anak panah dapat dirasa melalui animasi dan bunyi yang meyakinkan.

 

Penyelinapan berkesan tetapi kurang menarik

Seperti yang dinyatakan di atas, satu lagi cara permainan ialah penyelinapan tetapi ia merupakan sebuah sistem yang sangat ringkas. Ia mirip dengan sistem penyelinapan dalam judul-judul siri Assassin’s Creed.

Dalam kebanyakan situasi, pemain hanya harus menyorok dalam rumput tinggi dan membunuh musuh apabila mereka tersisih daripada musuh-musuh lain di lokasi yang ditawan oleh tentera Mongol.

Barang-barang seperti lonceng angin dan bom asap boleh digunakan untuk mengubah perhatian musuh agar penyelinapan menjadi lebih mudah. Busur dan anak panah tidak mengeluarkan bunyi, oleh itu ia juga menjadi senjata bernilai dalam misi penyelinapan.

Terdapat beberapa situasi di mana tebusan tentera Mongol akan dibunuh jika pemain tidak menggunakan penyelinapan. Ada juga beberapa misi yang perlu diselesaikan tanpa dikesan oleh musuh. Oleh itu, penyelinapan bukan sesuatu cara permainan yang tidak diwajibkan.

Penulis sentiasa memilih untuk bertarung jika penyelinapan tidak diwajibkan kerana permainan pertarungan jauh lebih menyeronokkan.

 

Perjalanan seorang samurai

Untuk mendapatkan barangan untuk menaiktaraf kelengkapan Jin dan juga menambahkan nyawa serta Resolve (digunakan untuk melakukan serangan istimewa dan memulihkan nyawa), terdapat banyak kandungan sampingan yang ditaburkan di Pulau Tsushima.

Aktiviti yang paling sukar ialah menyelamakatan kampung-kampung yang telah ditawan tentera Mongol. Pemain diberikan kebebasan untuk menyelesaikan objektif menggunakan pertarungan atau penyelinapan atau gabungan kedua-duanya.

Perkara-perkara lain yang boleh dilakukan ialah mengarang haiku untuk mendapatkan pengikat kepala baharu, mandi di kolam air panas untuk meningkatkan nyawa, memotong dahan buluh untuk meningkatkan Resolve, dan banyak lagi.

Apa yang penulis suka ialah apabila burung atau musang muncul secara tiba-tiba untuk pimpin pemain ke sebuah lokasi kandungan sampingan. Ini membuatkan penemuan lokasi-lokasi tersebut terasa semula jadi dan bukan sekadar penyelesaian misi sampingan.

Pada pendapat pemain, tidak semua aktiviti-aktiviti ini menyeronokkan tetapi mereka sememangnya menguatkan lagi pengalaman menjadi seorang samurai di Jepun pada zaman dahulu.

 

Pengakhiran cantik untuk era PS4

Pada waktu ini, penulis yakin anda sudah menonton banyak video permainan dan ulasan Ghost of Tsushima yang telah dimuat naik di YouTube. Kualiti grafik permainan video ini sangat hebat dan penulis menganggap ia sebagai salah satu judul PS4 paling cantik.

Dari permulaan sehingga akhir, Ghost of Tsushima memberikan pemain sebuah pengalaman visual yang tidak mudah dilupakan. Setiap watak mempunyai rekaan unik dan aura tersendiri. Emosi setiap watak disampaikan dengan baik dan ini membuatkan mereka lebih mudah disukai.

Lokasi-lokasi juga diberikan identiti melalui rekaan yang mengetengahkan ciri-ciri seperti tumbuhan-tumbuhan yang berwarna-warni dan aspek geografi seperti sungai, bukit bukau, dan banyak lagi.

Perkara visual kegemaran penulis adalah butiran-butiran kecil seperti Jin merendahkan tangannya apabila menunggang kuda melalui kawasan yang mempunyai rumput tinggi dan percikan darah yang muncul di tanah selepas Jin membersihkan pedangnya.

Bagi anda yang ingin main Ghost of Tsushima di PS4 Pro, terdapat mod visual yang boleh dipilih iaitu Higher Resolution dan Better Frame Rate. Mod Higher Resolution memaparkan video pada resolusi 1800P dan Better Frame Rate pula menurukan resolusi ke 1080P. Kedua-dua mod mengekalkan kadar bingkai sesaat 30FPS.

 

Kamera bermasalah dan isu-isu teknikal kecil lain

Kelemahan terbesar Ghost of Tsushima ialah kameranya. Ia menjadi sebuah masalah besar apabila pemain harus bertarung dalam ruangkan kecil seperti dalam bangunan. Kamera sering dihalang musuh-musuh lain dan dinding bangunan.

Penulis harap Sukcer Punch akan mengeluarkan patch yang memperkenalkan kawalan kamera yang lebih baik ataupun membenarkan kamera tersebut untuk menembusi dinding atau musuh yang menghalang pandangan pemain.

Terdapat beberapa isu teknikal yang muncul semasa penulis membuat ulasan Ghost of Tsushima. Walaubagaimanapun, kesemuanya merupakan isu-isu kecil yang tidak merosakkan pengalaman permainan.

Isu yang paling aneh ialah terdapat satu ketika di mana penulis memilih untuk mandi di sebuah kolam air panas dan selepas Jin telah merendamkan dirinya dalam kolam tersebut, terdapat sekumpulan musuh yang muncul.

Malangnya, tidak ada butang yang boleh ditekan untuk keluar daripada kolam air panas dan penulis hanya boleh menunggu sehingga Jin dibunuh oleh semua musuh.

Selain itu, terdapat juga beberapa situasi di mana penulis membunuh musuh secara senyap dan mayat mereka tembus melalui dinding dan ini membuatkan musuh-musuh di sebalik dinding untuk nampak mayat tersebut dan memanggil musuh-musuh lain.

 

Karya hebat Sucker Punch yang patut dicuba semua peminat samurai

Pada pendapat penulis, Ghost of Tsushima merupakan salah satu permainan video PS4 yang berbaloi dibeli pada harga penuh. Para pemain akan menikmati sebuah jalan cerita yang menarik, permainan yang menyeronokkan, dan rekaan visual dan audio yang sangat hebat.

Dari segi tempoh permainan, penulis yakin para pemain akan rasa puas hati dengan judul ini kerana ia akan mengambil masa sekitar 30 sehingga 50 jam untuk menyelesaikan misi-misi utama sahaja. Tempoh itu tidak mengambil kira pelbagai kandungan sampingan yang dimasukkan.

Memang benar Ghost of Tsushima mempunyai beberapa isu teknikal dan kameranya perlu diperbaiki tetapi semua ini langsung tidak memberikan kesan negatif yang terlalu besar. Ia hanya menjadi perkara yang menjengkelkan.

Jika anda telah menunggu bertahun-bertahun untuk main sebagai seorang samurai yang menyelamatkan tanah airnya daripada musuh kejam, Ghost of Tsushima ialah permainan video yang anda tunggu selama ini.

 

SKOR AKHIR: 8/10

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
Permainan BTS Universe Story kini telah tiba untuk Android dan iOS
3 days ago
Among Us begitu popular sehingga pembangun membatalkan sekuel
3 days ago
The Game Awards 2020 akan diadakan pada 10 Disember
3 days ago
PMPL: Tonton Grand Finals dan anda berpeluang menang Perodua Myvi!
4 days ago
Metal Gear Solid dan Metal Gear Solid 2 mungkin akan dilancarkan semula di PC
4 days ago
Pendapatan dan muat turun permainan mudah alih lebih tinggi dari konsol dan PC di Asia Tenggara