[Review] Logitech G913 TKL – papan kekunci nirwayar nipis dan bergaya

Unit ulasan disediakan oleh Logitech Malaysia.

Pada bulan Julai tahun ini, Logitech melancarkan papan kekunci nirwayar G913 TKL. Ia merupakan model G913 yang tidak mempunyai numpad (tenkeyless). Oleh itu, model ini lebih ringan dan lebih mudah alih.

Ramai pemain PC sememangnya lebih gemar menggunakan papan kekunci mekanikal kerana ia lebih memuaskan untuk permainan. Persoalannya, adakah papan kekunci mekanikal nirwayar juga memberi kadar tindak balas yang pantas?

Jom baca ulasan kami untuk ketahui sama ada papan kekunci ini sesuai untuk anda yang sedang mencari papan kekunci gaming yang hebat!

 

Penampilan bergaya

Sebelum penulis memulakan ulasan ini, pembaca harus tahu bahawa papan kekunci Logitech G913 TKL ialah papan kekunci yang sama dengan Logitech G915 TKL. Perbezaan nombor terakhir adalah disebabkan oleh perbezaan negara sahaja.

Papan kekunci ini dijual pada harga RM929 di Malaysia. Jelas sekali ini bukan papan kekunci yang ditujukan kepada pemain marhaen tetapi ia tetap mempunyai beberapa kelebihan tertentu.

Antara kekuatan utama Logitech G913 TKL ialah saiz dan penampilannya. Size kecil dan nipis papan kekunci ini membuatkan ia mudah untuk dibawa ke mana-mana. Beratnya pula hanya 810g.

Bagi anda yang ingin menggunakan satu papan kekunci yang sama di rumah dan di pejabat, ini merupakan pilihan yang agak sesuai. Ia senang dimuatkan dalam beg dengan ketinggian 22mm dan kepanjangan 368mm.

Risau papan kekunci anda nampak terlalu “gamery” dan dipandang pelik di pejabat? Jangan risau. Apabila lampu RGB dimalapkan, tapak besinya yang berwarna kelabu dan warna kekunci hitam menampilkan aura yang profesional dan bergaya.

 

Tiada wayar, tiada masalah

Kerisauan utama pemain PC apabila menggunakan papan kekunci nirwayar adalah kependaman (latency). Untuk memberi keyakinan kepada pemain, Logitech memasang teknologi nirwayar Lightspeed dalam papan kekunci ini.

Terdapat dua cara untuk menyambung papan kekunci ini secara nirwayar iaitu dongle USB (Lightspeed) dan Bluetooth. Untuk menguji prestasi permainan, penulis menggunakan dongle USB.

Selepas menggunakan papan kekunci ini untuk bermain permainan biasa dan permainan pantas seperti Fall Guys, Hollow Knight, dan DOOM Eternal, penulis menjaminkan Logitech G913 TKL tidak menghadapi masalah kependaman.

Tahap tindak balas papan kekunci ini begitu pantas, penulis yakin ia sama pantas dengan papan kekunci berwayar yang penulis selalu guna untuk permainan.

Logitech tidak menjanjikan penyambungan Bluetooth mempunyai tahap tindak balas sepantas Lightspeed. Oleh itu, penulis menggunakan sambungan Bluetooth untuk kerja menaip dan kegunaan biasa. Pendek kata, penyambungan Bluetooth berfungsi dengan baik.

Kami di MyGameOn menerima model yang menggunakan suis GL Clicky yang mirip dengan suis biru yang selalunya berbunyi kuat apabila ditekan. Seperti kebanyakan suis biru, ia sedikit bising tetapi tetap memuaskan untuk permainan dan kerja menaip.

 

Masih guna micro-USB?!

Logitech menjanjikan papan kekunci G913 TKL dapat digunakan selama 40 jam selepas dicaj sepenuhnya. Dalam pengalaman penulis, ia memang tahan lama dan boleh dicaj dengan agak pantas apabila disambung dengan wayar yang disediakan.

Cuma penulis rasa sedikit kecewa kerana papan kekunci RM929 ini masih menggunakan sambungan micro-USB. Untuk produk yang berharga sebegini, ia sepatutnya hadir dengan sambungan USB Type-C.

Ia boleh dicaj sepenuhnya (dari 0%) dalam masa lebih kurang tiga jam. Pada pendapat penulis, ini bukan satu masalah besar kerana papan kekunci selalunya memang disambung ke komputer.

Bateri memang akan tahan lebih lama jika RGB dimalapkan atau dipadamkan. Seperti kebanyakan papan kekunci gaming, Logitech G913 TKL mempunyai banyak tetapan RGB yang boleh diubah melalui kombinasi kekunci dan aplikasi Logitech G Hub.

Penulis sangat suka dengan pilihan-pilihan tetapan RGB yang disediadakan dalam Logitech G Hub. Ia membuatkan pemilihan tetapan RGB menjadi sangat mudah.

 

Sesuai untuk gamer bangsawan

Papan kekunci Logitech G913 TKL sangat memuaskan pada pendapat penulis. Kelemahannya hanyalah penggunaan sambungan micro-USB dan bukan USB Type-C untuk pengecasan.

Bagi anda yang berkemampuan untuk membeli papan kekunci yang berharga hampir RM1,000, Logitech G913 TKL ialah pilihan yang sangat sesuai. Jika anda mahu model yang lebih besar, boleh pilih Logitech G913.

Untuk mereka yang berminat dengan papan kekunci ini tetapi tidak mementingkan kebolehan sambungan nirwayar, anda patut lihat Logitech G813 yang berharga RM799. Ia adalah papan kekunci yang sama, cuma ia berwayar.

Anda boleh membeli papan kekunci Logitech G913 TKL melalui laman web rasmi Logitech G, Lazada, dan Shopee.

 

Kekuatan:

  • Ringan dan nipis
  • Penampilan cantik dan profesional
  • Tindak balas pantas, tiada rasa kependaman yang ketara
  • Memuaskan apabila digunakan untuk kerja menaip

Kelemahan:

  • Sambungan micro-USB
  • Harga yang agak mahal

Skor akhir: 80/100

RELATED NEWS

+