[Review] One Piece: Pirate Warriors 4 – Game Musou Yang Best
2020-04-02T06:30:42
By: Burhanudin Zamri

[Review] One Piece: Pirate Warriors 4 – Game Musou Yang Best

 

Kod review disediakan oleh Bandai Namco dan dimainkan di konsol PlayStation 4 (PS4).

Beberapa keluaran permainan video anime terbaru kebelakangan ini sedikit mengecewakan pada pendapat penulis. One Punch Man: A Hero Nobody Knows terlalu ringkas dan mempunyai beberapa masalah teknikal. My Hero One’s Justice 2 pula tidak mempunyai kandungan baru yang cukup untuk digelar sekuel yang bagus.

Persoalannya, adakah One Piece: Pirate Warriors 4 permainan video anime yang lebih menyeronokkan berbanding kedua-kedua judul yang disebut tadi? Baca ulasan ini untuk ketahuinya!

 

Keseluruhan Jalan Cerita One Piece Diringkaskan

Jika anda bukan seorang peminat tegar manga dan anime One Piece, ada kemungkinan anda tidak menggemari jalan cerita yang ditonjolkan dalam One Piece: Pirate Warriors 4.

Walaupun mod permainan utama (Drama Log) menceritakan kisah One Piece dari permulaan pengembaraan Luffy sehingga Wano Country Arc, terdapat banyak serpihan jalan cerita One Piece yang hanya disampaikan melalui cutscene atau naratif.

Walaubagaimanapun, pemain hanya akan main beberapa babak penting dalam jalan cerita ini. Ini membuatkan penceritaan permainan video ini sedikit merunsingkan bagi anda yang tidak mengikuti manga dan anime One Piece.

Bagi peminat One Piece pula, anda semestinya menikmati setiap babak yang diceritakan. Setiap watak dilakonkan dalam Bahasa Jepun oleh pelakon suara mereka dari anime One Piece dan persembahan setiap watak sangat bagus. Pemain juga berpeluang untuk memilih watak yang dimain dalam babak-babak tertentu. Contohnya, anda boleh pilih untuk main sebagai Luffy, Zoro, atau Sanji di babak yang mempunyai ketiga-tiga watak terseubut.

Secara keseluruhannya, One Piece: Pirate Warriors 4 mengandungi enam story arcs iaitu Alabasta Arc, Enies Lobby Arc, Marineford Arc, Dressrosa Arc, Whole Cake Island Arc, dan Wano Country Arc. Jika anda sedang mencari sebuah permainan video yang boleh dimain untuk tempoh yang lama, mungkin judul ini tidak sesuai. Penulis berjaya selesaikan kesemua story arcs dalam masa tiga hari sahaja.

 

Terlalu Mudah Tetapi Tetap Menghiburkan

One Piece: Pirate Warriors 4 merupakan sebuah permainan video genre musou. Seperti biasa, anda akan mengawal seorang watak dan bertarung dengan ribuan musuh di peta besar. Kebanyakan musuh biasa sangat lemah dan boleh ditewaskan dengan hanya beberapa serangan. Musuh yang memberikan cabaran hanya watak-watak seperti Doflamingo, Fujitora, Kaido, dan watak antagonis lain.

Kombo yang boleh dilakukan dalam judul ini hanya perlu gabungan butang bulat dan tiga segi. Butang R1 digunakan untuk melalukan serangan istimewa seperti Gum Gum Bazooka oleh Luffy dan Purgatory Onigiri oleh Zoro. Cara permainan sebegini sangat mudah dipelajari dan dinikmati tetapi tidak sesuai bagi mereka yang mencari sesautu yang lebih mencabar.

Terdapat lebih daripada 40 watak yang boleh dimain dalam judul ini. Setiap watak bukan sahaja berbeza dari segi kombo dan serangan tetapi mereka juga ada Type tertentu. Contohnya, Zoro merupakan watak Power Type yang mampu melemahkan musuh dengan lebih cepat. Luffy dalam mod Gear Second pula menjadi watak Speed Type yang memulihkan stamina dengan lebih pantas.

Mod multi-pemain secara dalam talian juga boleh dinikmati oleh pemain. Malangnya, penulis langsung tidak dapat mencuba mod ini kerana setiap percubaan untuk main secara dalam talian dihentikan kerana kualti internet yang tidak begitu bagus.

 

Sesuai Untuk Hiburan Jangka Pendek

Dari segi kualiti grafik dan audio, tidak ada kritikan yang boleh diberi. One Piece: Pirate Warriors 4 dapat dimain dengan lancar dan kualiti grafiknya memaparkan semua watak dan kawasan dunia One Piece dengan sangat baik. Lakonan suara dan kualiti bunyi serta muzik juga berada pada tahap yang memuaskan.

Permainan video musuo selalunya tidak memerlukan pemain untuk fokus untuk dinikmati dan perkara yang sama dapat dirumuskan apabila penulis bermain One Piece: Pirate Warriors 4. Ia merupakan sebuah permainan video yang sesuai untuk dinikmati semasa melalukan perkara lain pada waktu yang sama seperti menonton video YouTube atau mendengar podcast.

Judul ini kini boleh dibeli pada harga RM159 untuk PC (Steam) dan untuk PS4 pula ia dijual pada harga RM239 di PlayStation Store. Pada pendapat penulis, judul ini berbaloi bagi mereka yang meminati One Piece dan permainan video genre musou.

Kelebihan

  • Cara permainan yang mudah tetapi menghiburkan.
  • Grafik dan audio yang sangat memuaskan.
  • Sesuai untuk peminat One Piece.

Kelemahan

  • Mereka yang tidak mengikuti One Piece tidak dapat menikmati sepenuhnya.
  • Terlalu pendek, boleh dihabiskan dalam masa tiga atau empat hari.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
Acara Level Up Play-One akan berlangsung pada 13 & 14 Jun 2020, pendaftaran adalah percuma
3 days ago
Promosi Days of Play tawarkan PS4 Mega Pack pada harga RM1,099 serta banyak lagi diskaun hebat
3 days ago
Pelancaran musim baharu Call of Duty: Mobile dan Modern Warfare ditangguh
3 days ago
A Total War Saga: Troy akan dilancarkan pada 13 Ogos 2020, percuma dalam tempoh 24 jam pertama
4 days ago
Future Games Show 2020 akan berlangsung pada 7 Jun 2020
4 days ago
Valorant kini boleh dimain di Malaysia