[Review] OPPO Enco W11 – kualiti audio mantap dan harga pun berpatutan!
2020-09-22T07:17:11
By: Burhanudin Zamri

[Review] OPPO Enco W11 – kualiti audio mantap dan harga pun berpatutan!

 

Unit ulasan disediakan oleh OPPO Malaysia.

Bukan mudah untuk mencari fon telinga nirwayar yang berkualiti tinggi dan dijual pada harga mampu beli. Kebanyakkan fon telinga nirwayar yang selalunya mendapat ulasan bagus berharga dari RM300 hingga RM1,000.

OPPO baru ini melancarkan OPPO Enco W11. Ia dijual pada harga RM159, satu tanda harga yang agak berpatutan berbanding fon telinga nirwayar yang dilancarkan oleh OPPO sebelum ini iaitu OPPO Enco W31 (RM259).

Penulis berpeluang mencuba OPPO Enco W11 selama lebih kurang dua minggu dan penulis agak terkejut dengan prestasi fon telinga nirwayar ini. Jom baca ulasan ini untuk tahu apa pendapat penulis mengenai produk ini.

 

Murah dan mantap

Perkara pertama yang diuji untuk setiap fon telinga nirwayar ialah kualiti audio. Untuk pendengaran lagu dan tontonan kandungan, OPPO Enco W11 memang tidak mengecewakan.

Penulis sering menggunakan fon telinga untuk mendengar lagu dan siniar (podcast) apabila menaiki pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Kualiti audio kekal jelas dan kuat walaupun digunakan dalam keadaan yang sesak.

Dari segi tahap bass pula, prestasinya biasa-biasa sahaja tetapi untuk pendengar biasa seperti penulis, ia sudah cukup memuaskan. Lagu yang banyak menonjolkan bass dapat didengar pada tahap yang memuaskan.

Jika anda sedang mencari fon telinga nirwayar yang sesuai dipakai semasa bersenam, OPPO Enco W11 ialah pilihan yang sesuai. Ia mempunyai penilaian IP55 untuk ketahanan air dan ketahanan habuk.

Kualiti panggilan fon telinga ini agak memuaskan. Penulis tidak menerima apa-apa maklum balas negatif daripada semua pemanggil yang penulis hubungi.

 

Pelbagai kawalan sentuh

Salah satu cara kawalan fon telinga nirwayar yang sering ditemui ialah jeda (pause) lagu dengan menanggalkan sebelah fon telinga. Penulis agak terkejut dengan OPPO Enco W11 kerana ia tidak mempunyai ciri ini. Pada pendapat penulis, ia satu ciri yang agak penting.

Walaubagaimanapun, fon telinga ini mempunyai pelbagai kawalan sentuh lain yang tetap membantu pengguna. Anda boleh sentuh sekali salah satu fon telinga untuk jeda lagu dan sentuh lagi sekali untuk sambung lagu. Ia juga boleh digunakan semasa tontonan video.

Memainkan lagu yang seterusnya boleh dilakukan dengan menyentuh fon telinga kanan dua kali dan sebaliknya boleh dilakukan dengan menyentuh fon telinga kiri dua kali. Panggilan juga boleh diangkat dan diletak dengan cara yang sama.

Tahap suara juga boleh dikawal dengan kawalan sentuh. Sentuh lama fon telinga kanan untuk tinggikan tahap suara dan sebaliknya untuk rendahkan tahap suara.

Kesemua kawalan di atas boleh digunakan dengan amat mudah dan semua bertindak balas pantas.

 

Tidak sesuai untuk mobile gamer

Malangnya, OPPO Enco W11 tidak mempunyai mod kependaman rendah (low latency) yang membuatkannya sesuai untuk permainan video mudah alih.

Penulis main permainan-permainan popular seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) untuk menguji kependaman fon telinga ini. Pendek kata, ia memang tidak sesuai untuk permainan.

Apabila digunakan untuk bermain PUBG Mobile, bunyi tembakan dan pergerakan musuh terdapat kelewatan yang agak jelas. Untuk MLBB pula, kelewatan bunyi tidak terlalu ketara tetapi masih boleh dikesan.

Untuk anda yang mencari fon telinga nirwayar yang sesuai untuk gaming, anda perlu cari produk lain. OPPO Enco W11 lebih sesuai untuk pendengaran lagu dan tontonan video.

 

Tidak tahan lama

Ciri paling mengecewakan OPPO Enco W11 ialah kapasiti baterinya. Pada tahap suara maksima, penulis dapat menggunakan fon telinga ini untuk tempoh lebih kurang 3 jam sahaja.

OPPO sendiri menjanjikan fon telinga ini boleh digunakan selama 5 jam dengan pengecasan penuh tetapi hanya pada tahap suara 50%. Pada pendapat penulis, tahap suara 50% langsung tidak mencukupi dan tidak patut dijadikan kayu ukur.

Berkas OPPO Enco W11 mempunyai kapasti bateri 400mAh dan ia membenarkan fon telinga dicaj sepenuhnya sebanyak empat kali. Walaubagaimanapun, pengecasan penuh berkas dan fon telinga kedua-duanya mengambil masa lebih kurang dua jam.

Ini memaksa penulis untuk menggunakan fon telinga ini dengan kitaran “penggunaan 3 jam, pengecasan 2 jam, dan ulang”. Ia memang kurang memuaskan jika anda mahu menggunakannya sehari suntuk.

 

Fon telinga nirwayar bajet yang disyorkan

Untuk mereka yang selalunya tidak menggunakan fon telinga selama lebih daripada 3 jam, OPPO Enco W11 memang pilihan yang bagus. Ia mempunyai kualiti audio yang baik dan kawalan-kawalan sentuh yang mudah diguna.

Saiz kecil fon telinga ini juga membuatkan ia selesa dipakai dan mudah disimpan dalam poket atau beg. Jika anda selalu menaiki pengakutan awam atau kerap berjalan kaki, produk ini tidak akan mengecewakan anda.

Berminat membeli OPPO Enco W11? Anda boleh memesan fon telinga ini secara dalam talian melalui laman rasmi OPPO, Lazada, dan Shopee.

 

Kekuatan:

  • Kualiti audio bagus
  • Reka bentuk ringkas tetapi menarik
  • Kawalan sentuh mudah
  • Tahan air dan habuk

Kelemahan:

  • Bateri kapasiti rendah
  • Tiada mod kependaman rendah

SKOR AKHIR: 80/100

TAGS

BERITA BERKAITAN

2 days ago
God of War menyokong kadar bingkai sehingga 60FPS di PlayStation 5
2 days ago
Yoodo pertimbangkan add-on data League of Legends: Wild Rift jika ada permintaan
2 days ago
Komputer riba Razer Blade 15 dan Razer Blade Pro 17 diumumkan untuk pasaran Malaysia
2 days ago
[Review] Ghostrunner – permainan parkour yang hampir sempurna
3 days ago
Apex Legends akan tiba di Steam pada 5 November
3 days ago
MPL: “Manity adalah unsung hero yang orang tak nampak” – Ashi (Todak)