[Review] Razer BlackShark V2 – kualiti audio hebat dan tahap kelesaan tinggi
2020-08-17T07:12:51
By: Burhanudin Zamri

[Review] Razer BlackShark V2 – kualiti audio hebat dan tahap kelesaan tinggi

 

Unit ulasan disediakan oleh Razer Asia Pacific.

Razer baru-baru ini melancarkan dua gaming headset baharu iaitu Razer BlackShark V2 dan Razer BlackShark V2 X. Kami di MyGameOn diberikan peluang untuk membuat ulasan tentang model yang lebih premium iaitu Razer BlackShark V2.

Headset Razer BlackShark V2 ini dijual pada harga RM519. Ini bermaksud ia bertanding dengan beberapa gaming headset dalam julat harga yang sama seperti HyperX Cloud Alpha S, Logitech G Pro, Sennheiser GSP 300, dan SteelSeries Arctis 5.

Untuk pengetahuan pembaca, model yang lebih murah iaitu Razer BlackShark V2 X dijual pada harga RM319. Model ini tidak hadir bersama kad suara USB dan THX Spatial Audio. Ia hanya dijual bersama penyambung 3.5mm dan 7.1 Surround Sound.

Satu lagi perbezaan besar antara BlackShark V2 dan BlackShark V2 X ialah mikrofon di BlackShark V2 X ialah sebuah mikrofon tetap. Mikrofon BlackShark V2 pula boleh ditanggalkan.

Kedua-duanya juga menggunakan bahan berlainan untuk penutup telinga. BlackShark V2 menggunakan kain dan BlackShark V2 X pula menggunakan kulit buatan yang selalunya digunakan untuk kebanyakan gaming headset. Walaubagaimanapun, kedua-duanya tetap menggunakan memory foam.

 

Kualiti audio yang berkualiti tinggi

Dari saat pertama menggunakan headset Razer BlackShark V2, penulis sangat kagum dengan kualiti audio yang ditonjolkan. Tidak kira sama ada untuk main permainan video, tonton kandungan di YouTube atau Netflix, dan mendengar lagu di Spotify, headset ini menghasilkan bunyi yang jelas, kuat, dan konsisten.

Jika anda pernah menggunakan headset HyperX Cloud Alpha, headset Razer BlackShark V2 ini mempunyai kualiti audio yang sama hebatnya.

Satu kelebihan besar headset ini ialah kebebasan untuk mengubah pelbagai tetapan melalui aplikasi Razer Synapse 3. Semasa pertama kali menggunakan headset ini untuk mendengar lagu, penulis berpendapat bahawa tetapan biasa headset ini kurang menonjolkan bunyi bass. Aplikasi Razer Synapse 3 memberi kebolehan untuk hidupkan Bass Boost dan ini menyelesaikan masalah tersebut.

 

Antara perkara-perkara lain yang boleh dilakukan melalui aplikasi Razer Synapse 3 ialah mengawal equaliser mikrofon dan audio. Walaupun ini membuat Razer BlackShark V2 lebih versatile, ia tetap menonjolkan kualiti yang baik jika tidak digunakan bersama aplikasi tersebut.

Apabila digunakan di konsol PlayStation 4 (PS4) melalui sambungan 3.5mm, aplikasi Razer Synapse 3 tidak dapat digunakan. Tahap suara di PS4 agak rendah meskipun sudah tetapan tertinggi dipilih. Dari segi kualiti, ia tetap jelas.

 

THX Spatial Audio bukan sebuah “killer feature”

Salah satu ciri istimewa Razer BlackShark V2 ialah pengguna boleh menggunakan sistem suara THX Spatial Audio apabila ia disambung ke PC dengan kad suara USB. THX Spatial Audio dikatakan sebagai sistem suara yang memberi pengalaman lebih immersive dan tepat.

Untuk menguji THX Spatial Audio, penulis main dua permainan berbeza genre iaitu Apex Legends dan Secret Neighbor. Penulis memilih dua permainan ini kerana kedua-duanya memerlukan kesedaran suara dan juga komunikasi antara pemain.

Malangnya, penulis tidak mengesan perbezaan ketara antara THX Spatial Audio dan sistem suara biasa. Ia sememangnya mewujudkan sebuah “pentas suara” yang lebih luas tetapi ia bukan sesuatu penambahbaikkan besar apabila dibanding sistem suara biasa.

Suara pemain lain juga menjadi kurang jelas apabila THX Spatial Audio digunakan.

Sistem suara THX Spatial Audio nampaknya memang khas direka untuk permainan video kerana ia menjadikan pengalaman menonton video dan filem kurang menarik. Bunyi menjadi kabur dan kedengaran agak jauh.

 

Selesa dipakai berjam-jam

Seperti yang ditulis pada permulaan ulasan ini, penutup telinga Razer BlackShark V2 menggunakan bahan kain untuk membalut kusyen memory foam. Bahan yang sama juga digunakan di bahagian head band. 

Sebagai seorang pemain yang sering menggunakan gaming headset kulit buatan, penulis rasa kedua-duanya lebih kurang sama dari segi keselesaan tetapi bahan kain boleh dikatakan lebih lembut.

Tempoh paling lama penulis memakai headset Razer BlackShark V2 ialah selama lebih kurang empat jam. Penulis memakainya dalam persekitaran yang berhawa dingin.

Dalam tempoh tersebut, ia rasa sangat selesa. Haba yang terkumpul tidak begitu teruk dan dari segi daya pengapit (clamping force), ia rasa sedikit ketat tetapi tidak sampai tahap ia membuat kepala rasa sakit.

Penulis yakin salah satu faktor yang membuatkan headset ini selesa dipakai ialah keringanannya. Menurut Razer sendiri, berat headset Razer BlackShark V2 ialah 262g sahaja!

Bagi anda yang memakai cermin mata, Razer BlackShark V2 bukan sebuah pilihan yang sempurna. Ia tetap akan mengenakan sedikit tekanan pada bingkai cermin mata seperti kebanyakan gaming headset lain.

 

Mikrofon lebih jelas tanpa kad suara USB?!

Pada pendapat penulis, kelemahan terbesar headset Razer BlackShark V2 ialah mikrofonnya. Ini bukan bermaksud ia tidak bagus tetapi ia tidak mencapai tahap yang dijanjikan headset berharga lebih daripada RM500.

Satu perkara penting yang perlu pembaca ingat ialah tetapan mikrofon hanya boleh diubah jika headset ini disambung ke PC dengan kad suara USB. Dalam pengalaman penulis, mikrofon akan berbunyi lebih perlahan apabila disambung terus dengan sambungan 3.5mm.

Semasa bermain permainan video multi-pemain dengan sambungan kad suara USB, pemain-pemain lain memberitahu penulis bahawa suara penulis jelas didengar tetapi terdapat bunyi statik yang menggangu sedikit.

Apabila disambung secara terus dengan sambungan 3.5mm dan tahap suara mikrofon dinaikkan sikit, pemain-pemain lain menyatakan ia menjadi lebih jelas dan bunyi statik hampir dibuang sepenuhnya.

Sebagai perbandingan, ramai orang memberitahu penulis bahawa mikrofon headset Cooler Master MH751 (berharga sekitar RM290) berbunyi lebih jelas.

Ini merupakan satu perkara yang agek aneh kerana kad suara USB tersebut sepatutnya membuatkan kualiti mikrofon menjadi lebih baik. Mungkin ini adalah sesuatu yang Razer boleh memperbaiki melalui kemaskini aplikasi Razer Synapse 3 atau patch pada masa depan.

 

Cara penyelarasan penutup telinga yang pelik

Headset Razer BlackShark V2 nampaknya menggunakan rekaan yang sama dengan headset WICOM yang digunakan oleh juruterbang helikopter. Penutup telinga diselaraskan melalui dua batang logam berasingan.

Pada mulanya, penulis berpendapat rekaan ini berpenampilan agak menarik tetapi pendapat tersebut menjadi negatif apabila penulis cuba menyelaraskan penutup telinga.

Disebabkan kedua-dua penyelaras bagi setiap penutup telinga bergerak mengikut dua batang logam berasingan, ini membuatkan penyelarasan menjadi sukar. Sepanjang menggunakan headset ini, penulis jarang menggunakan tetapan yang simetri dan ini adalah sesuatu yang menjengkelkan.

 

Headset yang bagus tetapi tidak berharga kompetitif

Kebanyakkanya pemain marhaen di Malaysia akan mencari headset berharga RM500 ke bawah dan ini membuatkan Razer BlackShark V2 sebuah headset yang sukar untuk dicadangkan.

Hal ini bukan kerana ia merupakan headset yang tidak baik, walhal penulis menganggap ia sebagai headset yang agak bagus kerana mempunyai kualiti audio yang sangat memuaskan dan ia juga selesa dipakai dalam tempoh yang panjang.

Apa yang membuatkan Razer BlackShark V2 “tewas” ialah terdapat banyak headset lain di luar sana yang mempunyai kualiti yang lebih kurang sama hebat tetapi dijual pada harga yang lebih murah. Contohnnya, headset Logitech G Pro (RM388) dan SteelSeries Arctis 5 (RM459).

Jika anda berminat untuk membeli headset Razer BlackShark V2, anda boleh membelinya di Lazada.

 

Kelebihan:

  • Kualiti audio yang mantap.
  • Ringan dan penutup telinga sangat lembut.
  • Penampilan ringkas tetapi bergaya.

Kelemahan:

  • Mikrofon tidak mencapai kualiti yang diharapkan.
  • Penutup telinga sedikit sukar diselaraskan.

SKOR AKHIR: 7/10

TAGS

BERITA BERKAITAN

4 days ago
Left 4 Dead 2 dengan kemaskini The Last Stand percuma pada hujung minggu ini
4 days ago
RuneScape boleh dimain melalui Steam bermula pada 14 Oktober
4 days ago
Filem Yakuza bakal menjadi kenyataan
4 days ago
RollerCoaster Tycoon 3: Complete Edition percuma untuk pemain PC!
4 days ago
Football Manager 2021 akan dilancarkan untuk PC pada 24 November
5 days ago
Dapatkan kupon $10 di EGS dengan memuat turun Rocket League secara percuma