Sepanjang Ramadan, Meera, Puteri dan Bebbie VJ selalu memasak di rumah

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai orang memilih untuk memasak di rumah. Ini termasuklah gamers ataupun pasangan mempelai mereka.

Ikuti rutin tiga wanita ini sewaktu berada di rumah sepanjang PKP.

 

Jep suka makan Asam Pedas

Bagi Syahaitul Akma (Bebbie VJ), dia mengakui selesa memasak di rumah berikutan suaminya yang juga pemain Team Bosskurr, Haqqani Jaffar atau 2ez4jepv berada di rumah.

“Jep sudah pindahkan kelengkapan penstriman langsungnya dari gaming house ke rumah kami sendiri sebelum PKP lagi. Syukur awal dah pindahkan.

“Justeru, hari-hari saya masak sebab Jep suka masakan saya berbanding dari makan di luar. Sebab kalau saya masak, dia boleh demand,” katanya ketawa. 

Katanya yang belajar memasak dari ibu, menu masakan yang selalu menjadi pilihan Jep adalah Asam Pedas Ikan dan Kari Ayam. 

Tambahnya lagi, sejak duduk bersama di rumah sepanjang PKP, Jep juga sudah biasa menguruskan Harith.

“Habis saja dia stream, dia akan main dengan Harith. Yang positifnya, Jep sekarang dah pandai urus dan mandikan anak.

“Kami juga lebih berhati-hati sekarang nak keluar beli barang dapur dan selalu kena jaga kebersihan dan cuci tangan,” katanya.

 

Ramadan pertama di negara orang bersama suami

Manakala bagi Puteri, isteri kepada pengulas Mobile Legends tempatan, Adam Faiz, dia teruja menyambut Ramadan pertama bersama suami.

“Ini Ramadan pertama sebagai suami isteri dan saya teruja tentunya. Sahur dan berbuka bersama suami.

“Walaupun PKP, Ramadan kami tetap indah! Saya selalu masak Nasi Basmathi kalau ada lauk pauk. Kalau tak beli apa-apa hari itu, saya akan masak sardin, nasi goreng, makaroni tuna atau cheese fusilli,” katanya.

Menurutnya, sekarang agak sukar untuk ke pasar kerana barang basah kerap habis jadi dia pun memilih untuk memasak atau menggunakan servis penghantaran makanan. 

“Saya akan pergi ke pasar hanya setiap seminggu atau 10 hari sekali. Bahan segar seperti ayam, ikan sotong tak boleh tunggu lama untuk dimasak.

“Jadi selepas berbelanja, dalam lima hari saja sudah habis dimasak.

“Kalau tiada bahan-bahan di rumah, saya akan menggunakan servis penghantaran makanan di FB jadi lebih mudah,” katanya.

Puteri berkata, kenangan paling manis tinggal di Malaysia setakat ini ialah kekurangan kesesakan lalu lintas tidak seperti di Jakarta, Indonesia.

“Malah, harga barang runcit lebih murah jika dibandingkan dengan harga jualan di sana.

“Sekarang ini pun saya tinggal di kawasan yang kurang penduduk, keadaan lebih senyap dan tenang. Lebih mudah untuk #StayAtHome,” katanya.

Puteri juga bukan seorang yang asing dalam e-sukan kerana sebelum ini dia pernah menjadi observer Mobile Legends dalam beberapa kejohanan termasuklah Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK).

 

Suka memasak hidangan Korea

Sementara bagi Ameerah Idros atau NeverOne dalam kalangan komuniti gaming di Malaysia, dia mengakui gemar memasak sejak kecil.

“Saya belajar memasak dari ibu. Ramai yang puji ibu pandai memasak lagi-lagi Nasi Kerabu. Alhamdulillah saya pun dah boleh memasak guna resepi itu cuma ia agak rumit, tunggu ada mood baru ada rasa nak buat.

“Apa yang paling enjoy ketika memasak ini apabila orang suka masakan saya dan saya suka feeling macam chef walaupun di dapur sendiri,” katanya ketawa.

Kata Meera, dari masakan Melayu, Korea dan juga Barat biasa dibuat. Kalau paling biasa, telur goreng kicap itu mesti. Tapi menu-menu lain dari nasi berlauk Kelantan, masakan tempoyak, berlado-lado semua dah pernah dimasak ketika PKP ini.

“Ada rezeki lebih sikit, saya pelbagaikan menu masakan Korea. Saya memang minat makanan negara ini jadi Kimchi, Gochujang akan sentiasa ada dalam peti,” katanya.

Menceritakan kariernya bersama ESL Malaysia kini, Meera berkata, dia kerap bekerja dari rumah.

“Kami menjalankan pertandingan kepada peminat e-sukan di luar sana supaya tidak bosan waktu PKP ini. 

“Bila ada kelapangan, saya akan livestrean di Youtube. Dulu, selalu di Facebook tapi sekarang saya perlahan-lahan transisi kandungan ke Youtube.

“Alhamdulillah, makin berkembang saluran di sana,” katanya.

RELATED NEWS

+