Tak dapat balik kampung, gamers anggap Raya di perantauan satu pengalaman baru
2020-05-23T09:30:03
By: Hazril Md Nor

Tak dapat balik kampung, gamers anggap Raya di perantauan satu pengalaman baru

 

Wabak COVID-19 bukan saja menghadkan perjalanan kita di luar kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tapi juga memberikan suasana berlainan kepada ramai umat Islam di negara ini. Buat pertama kalinya, kita dihalang untuk rentas negeri dan pulang ke kampung bagi mengelakkan tersebarnya virus tersebut kepada insan tersayang.

Jom ikuti pengalaman lima gamers ini berkongsi suka-duka beraya di perantauan.

 

Beraya di bilik hotel saja 

Nama: Mohamad Wafiuddin Mohamadiah
Usia: 
33 tahun
FB Page: KitaGamers Station

“Perasaan sedih tu mesti ada tetapi disebabkan sudah banyak kali melaluinya, tidak la rasa sangat. Cuma terkilan kali ini isteri dan anak-anak juga tidak dapat pulang ke kampung halaman ini disebabkan PKPB.
 
“Raya tahun ini sejujurnya tidak disangka-sangka akan beraya di dalam bilik hotel (atas tuntutan kerja) kerana masih dalam tempoh kuarantin. Berbeza jika sebelum ini menyambut hari raya di tempat kerja bersama rakan-rakan sekerja yang lain.
 
“Pada raya pertama, cuma boleh video call dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, disamping menonton televisyen dan mengemas kini laman sosial. Rendang ketupat dan lemang pun masih sama-samar lagi ni,” katanya.
 
 

Akui sambutan tidak begitu meriah

 
Nama: Amirul Mukminin Abdullah Zahri
Usia: 24 tahun
FB Page: Yonny
 
“Perasaan agak kecewa dan sedih kerana kami satu keluarga sudah pun rancang dengan sebaik mungkin dan beli barang yang untuk atuk dan nenek sedara dekat sana tapi sayangnya semua tu terpaksa digunakan dahulu kerana tarikh luput makanan tersebut. Sedih kerana tahun ini tidak dapat bersalaman dan berjumpa dengan keluarga lain untuk bergembira. Namun, saya juga lega kerana sekurang-kurangnya dengan duduk di rumah dapat mengelakkan wabak COVID-19 dari tersebar.
 
“Persediaan tahun ini tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya rasa tahun ini lebih minimalis. Ini mungkin kerana kami sekeluarga tidak dapat keluar untuk beli barang-barang hiasan atau keperluan untuk raya. Dari sudut positif, saya rasa lebih elok di mana kami dapat berjimat lebih banyak berbanding tahun tahun lepas. Negatif pula, saya rasa sambutan tidak begitu meriah dengan semua orang tidak dibenarkan untuk menziarahi antara satu sama lain, solat raya berjemaah dan keluar untuk berseronok tidak dibenarkan,” katanya. 
 
 

Rindu konvoi menjelang Aidilfitri

Nama: Danial “Bilal” Haziq
Usia: 27 tahun
 
“Pertama sekali perasaan agak sedih juga sebab kali pertama tak dapat pulang ke kampung jumpa saudara-mara disebabkan COVID-19 ni dan tidak boleh rentas negeri buat masa sekarang.
 
“Persediaan raya tahun ini agak sederhana sahaja tidak banyak berbelanja lebih kali ini dan suasana sambutan buat saya agak sederhana juga bersama keluarga dan jiran tertangga terdekat. Kenangan paling manis saya rindukan adalah bergerak konvoi bersama-sama pulang ke kampung dan konvoi raya bersama seperti tahun-tahun lepas,” katanya.
 
 

Tak dapat ziarah kubur arwah adik di kampung

 
 
Nama: Emy Tarmizi (Aduka)
Usia: 26 tahun
FB Page: Aduka
 
“Perasaan saya lebih kepada rindu dengan suasana kampung , sebab lama tak jumpa kawan disebabkan saya membesar di Perak walaupun lahir di Klang, Selangor. Sedih apabila teringat kepada arwah adik yang meninggal pada Aidilfitri yang lepas jadi membuatkan saya dan keluarga sedih tidak dapat pulang menziarahi arwah adik saya yang dikebumikan di sana.
 
“Tiada apa apa persediaan dari saya dari segi membeli belah mahupun pengubahsuaian rumah kerana bagi saya suasana sambutan tidak sama seperti kampung kerana di bandar saya hanya lebih memikirkan kerja daripada meluangkan masa untuk beristirehat ketika raya tiba,” katanya.
 
 

Bersyukur masih diberi nikmat kesihatan

Nama: Radzi “Ikuto” Rahman
Usia: 28 tahun
FB Page: Ikuto00
 
“Kebiasaannya, setiap Ramadhan saya akan pulang dua hari sebelum Syawal. Sehari sebelum raya, adik beradik lain akan kemas rumah, ibu bapa di dapur dan saya akan bantu sekali memasak. Tahun ini mungkin berbezalah. Disebabkan rumah sewa ini tiada kelengkapan memasak jadi saya beli biskut dua-tiga balang secara dalam talian.
 
“Alhamdulillah, keluarga pun ada hantar barang macam kerepek ubi, kerepek bawak, kekacang dan lain-lain. Hari raya ini mungkin berbeza tapi saya tetap boleh berjumpa mereka walaupun secara maya. Walau tak dapat cium tangan dan peluk keluarga tahun ini, tapi saya bersyukur diberi nikmat kesihatan dan dipanjang usia untuk sama-sama menyambut Syawal,” katanya.
 
Ikuto juga ada mengarang pantun sempena Aidilfitri. Baca di bawah:
Merdunya suara indahya kata,
Dapat didengari di Aildilfitri,
Walau keluarga jauh di mata,
Tetapi mereka kekal tetap di hati.
 
Erat hubungan sesama kita,
Walau jauh tetap dirindui
Hari raya maaf dipinta
Semoga gembira dihari mulia ini

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
Pembentangan digital Devolver Direct akan berlangsung pada 12 Julai
3 days ago
#YoodoKEK Zon Borneo Final – Pasukan UeS HavoX dan DMG muncul juara
3 days ago
Pelancaran Crysis Remastered ditangguh
4 days ago
Selamat tinggal FIFA Online 3..
5 days ago
Monster Hunter World: Iceborne Title Update 4 akan dilancarkan pada 9 Julai
5 days ago
Crysis Remastered akan dilancarkan pada 23 Julai tahun ini