Trailer Ejen Ali The Movie Mengacah Pembentukan Awal M.A.T.A Dan Karakter Baru

Tahun 2019 adalah tahun gilang gemilang untuk industri animasi Malaysia dengan kemunculan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Boboiboy The Movie 2 dan Ejen Ali The Movie.

WAU Animation dan Primeworks Studios dengan kerjasama MDEC mempersembahkan trailer acah pertama Ejen Ali The Movie yang dilancarkan baru-baru ini. Korang boleh tonton trailer mendebarkan di bawah:

Meskipun tiada sinopsis rasmi diumumkan, pembukaan trailer melihat kepada protagonis utama, Ali sedang melakukan pendaratan kecemasan. Apa yang mengejutkan apabila kacamata I.R.I.S iaitu gajet ikonik satu-satunya milik Ali retak seribu. 

Kemudian, filem ini akan menyelidik kembali asal usul pembentukan persatuan risikan M.A.T.A ketika Cyberaya mula terbentuk oleh Datuk Bandar, Dato’ Othman. Namun, satu serangan menimpa Datuk Bandar dan ini membabitkan seluruh agensi M.A.T.A untuk mengekang serangan ini.

Poster acah Ejen Ali The Movie tampil Ali dan karakter misteri. Sumber: Facebook Ejen Ali.

Trailer ini menampilkan ejen-ejen dan rakan-rakan Ali seperti Alicia, Bakar dan kemunculan ramai karakter baru termasuk siapakah gerangan misteri yang menggunakan I.R.I.S?

Ejen Ali adalah sebuah siri animasi dihasilkan oleh studio tempatan, WAU Animation yang fokus kepada kisah seorang budak bernama Ali tidak sengaja menjumpai gajet I.R.I.S yang dikawal oleh komputer dan berkebolehan untuk meningkatkan daya tumpuan otak serta sekaligus jadikan Ali sebagai ejen M.A.T.A.

Siri animasi telah ditayangkan selama dua musim di saluran TV3 sejak pada 2016 dan kedua-dua musim ini boleh ditonton di YouTube rasmi Ejen Ali. Selain itu, Ejen Ali mempunyai dua game tersendiri iaitu Ejen Ali: MATA Training Academy dibangunkan oleh Team M8 dengan kerjasama Media Prima Digital pada Mac 2016.

Pada September 2016, Ejen Ali: Emergency dilancarkan dan dibangunkan oleh Common Extract dan diterbitkan oleh Media Prima Digital. Kedua-dua game ini dikeluarkan di Android dan iOS.

Ejen Ali The Movie akan membuka matamu di pawagam seluruh Malaysia. Setakat ini, tiada tarikh rasmi diumumkan oleh WAU Animation.

RELATED NEWS

+