Trailer Terbaru Death Stranding Dedah Cerita, Karakter & Tarikh Pelancaran Rasmi!

Setelah lama menunggu, akhirnya terungkai segala misteri yang menyelumbungi Death Stranding iaitu game terbaru dibangunkan oleh Kojima Productions.

Trailer panjang selama 9 minit ini mendedahkan jalan cerita, seluruh karakter dalam game dan dunia yang berpecah-belah akibat letupan gergasi. Kini, dunia dihantui dengan sesuatu kuasa mistik besar dipanggil sebagai Death Stranding. Saksikan trailer di bawah:

Menurut pengarah dan pereka, Hideo Kojima menjelaskan melalui Twitter, “Death Stranding adalah sebuah game aksi baru yang mana pemain harus berhubung kembali bandar-bandar terbiar dan masyarakat hampir pupus. Kesemua elemen termasuk cerita dan cara permainan berkait rapat dengan tema ‘Strand’ bermakna perhubungan.

“Pemain akan mengikuti kisah Sam Bridges dilakonkan oleh Norman Reedus dalam perjalanannya ‘menghidupkan’ tamadun telah ranap dengan membentuk perhubungan erat antara pemain lain di seluruh dunia.”

Cerita dan karakter

Higgs, Cliff, Amelie dan Fragile

Dalam trailer di atas, ia menunjukkan sedikit latar belakang tentang karakter lain selain protagonis utama. Cliff dilakonkan oleh Mads Mikkelsen dan Amelie dilakonkan oleh Lindsay Wagner mempunyai dua watak yang berbeza dalam game ini. Terdapat dua versi Amelie korang lihat dalam trailer iaitu Amelie muda yang cuba menghubungkan kembali dunia sebelum Sam muncul manakala Amelie tua yang menjadi Presiden Amerika Syarikat sakit terlantar di atas katil.

Pada awal trailer, Cliff adalah seorang pengkaji yang bercakap kepada bayi dalam sebuah tangki yang akhirnya dibawa ke mana-mana oleh Sam. Bayi itu dikatakan boleh melihat entiti misteri Death Stranding yang membantu pemain daripada diserang oleh entiti berkenaan. Pada akhir trailer, Cliff pula jadi seorang komander askar yang mengetuai askar tengkorak. 

Terdapat juga karakter-karakter yang pernah muncul dalam trailer sebelum ini tetapi nama mereka baru didedahkan dalam trailer panjang ini seperti Fragile dilakonkan oleh Lea Seydoux, Mama dilakonkan oleh Margaret Qualley, Higgs dilakonkan oleh Troy Baker, Die-Hardman dilakonkan oleh Tommie Earl Jenkins dan penampilan khas dua pengarah Hollywood, Guillermo Del Toro sebagai Deadman dan Nicolas Winding Refn sebagai Heartman.

Cara permainan

Trailer ini menunjukkan sedikit sebanyak tentang cara permainan (gameplay) Death Stranding. Seperti Kojima katakan sebelum ini, ia adalah sebuah game aksi yang memaparkan perspektif kamera third-person (dan kemungkinan first-person) dan korang akan bermain sebagai Sam menghantar mesej hubung merentas Amerika Syarikat.

Untuk mengharungi persekitaran yang mencabar, Sam boleh bergantung kepada inventori yang mana mempunyai tangga yang boleh bertukar-tukar kepanjangan untuk panjat ke tempat tinggi atau berfungsi sebagai jambatan dan paku panjat yang digunakan untuk menuruni bukit yang berliku.

Sam juga menjinjit beg dan memikul bungkusan besar di belakangnya untuk penghantaran. Malangnya, ada anasir jahat yang akan datang mengambil bungkusan itu. Korang boleh bergasak dan bertumbuk dengan musuh tetapi ini mungkin merosakkan bungkusan serta terjatuhkan ke tangan orang jahat.

Selain itu, terdapat kenderaan seperti motor yang boleh digunakan untuk merentasi dunia ini. Pemain juga melihat Sam tiba-tiba mengharungi kejadian tembak-menembak berlatarbelakangkan Perang Dunia pertama kerana ada kereta kebal besar dan tengkorak berapi berjalan. Sumpah pelik. 

Trailer versi Jepun pula menunjukkan Sam berhadapan dengan raksasa banyak tentakel dan sedikit babak bertempur dengan Higgs pada minit ke-6. Korang boleh tengok di bawah:

Tarikh pelancaran

Makin pelik itulah, makin ramai orang mahu tahu tentang game terbaru oleh Kojima yang terkenal dengan siri Metal Gear. Rekaan watak dan robot juga dilukis oleh Yoji Shinkawa yang pernah bekerjasama bersama Kojima untuk kesemua game Metal Gear.

Tarikh rasmi akhirnya diumumkan! Death Stranding akan dilancarkan pada 8 November 2019 eksklusif di PS4.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+