Xbox Series X akan tiba pada 10 November, harga rasmi sekitar RM2,100

Microsoft akhirnya mengumumkan harga dan tarikh pelancaran Xbox Series X secara rasmi. Konsol generasi baharu tersebut akan dilancarkan pada 10 November pada tanda harga AS$499 (RM2,100).

Pengumuman ini dibuat sehari selepas pendedahan Xbox Series S. Kedua-dua konsol ini akan dilancarkan pada hari yang sama. Perbezaannya cuma Xbox Series S akan dijual pada harga AS$299 (RM1,300).

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pemilik awal konsol generasi baharu buatan Microsoft, pesanan pra-tempah boleh dibuat bermula dari 22 September ini.

Satu lagi perkara menarik yang diumumkan oleh Microsoft ialah kolaborasi antari mereka dan Electronic Arts. Hasil daripada kerjasama ini, servis langganan EA Play akan diberikan secara percuma kepada pelanggan Xbox Game Pass.

Untuk menjadikan Xbox Series X dan Xbox Series S pilihan yang lebih menarik untuk para pemain, Microsoft memperkenalkan program Xbox All Access. Dengan Xbox All Access, pembeli akan menerima sebuah konsol Xbox generasi baharu, Xbox Game Pass Ultimate, dan EA Play.

Xbox All Access untuk Xbox Series X  ditawarkan pada harga AS$34.99 (RM150) sebulan. Untuk Xbox Series S pula, ia ditawarkan pada harga AS$24.99 (RM110) sebulan. Tiada bayaran pendahuluan diperlukan untuk kedua-dua program tersebut.

Malangnya, Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara-negara yang akan menerima program Xbox All Access. Berikut adalah senarai negara-negara yang menerimanya:

  • Australia
  • Kanada
  • Denmark
  • Finland
  • Perancis
  • New Zealand
  • Norway
  • Poland
  • Korea Selatan
  • Sweden
  • United Kingdom
  • Amerika Syarikat

Pada tahun 2021, Microsoft ingin memperkenalkan program Xbox All Access di lebih banyak negara. Penulis berharap ia akan diperkenalkan di Malaysia juga agar konsol Xbox boleh menjadi pesaing serius kepada PlayStation di sini.

Nampaknya Microsoft telah memulakan langkah pertama dalam permainan antara mereka dan Sony. Mahu atau tidak, Sony perlu bertindak segera untuk menunjukkan bahawa konsol mereka lebih hebat. Penulis harap PlayStation 5 (PS5) akan dijual pada harga yang lebih murah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Xbox Series X dan Xbox Series S, anda boleh melayari laman web rasmi Xbox.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+