Yoodo Gank masuk Malaysia Book of Records

Pasukan profesional PlayerUnknown’s Battlegrounds mudah alih (PUBG Mobile) negara, Yoodo Gank mencipta fenomena tersendiri apabila menjadi pemegang rekod nasional untuk “Pasukan pertama yang memenangi kejohanan PUBG Mobile di peringkat Asia Tenggara).

Penghargaan dari Malaysia Book of Records itu dikhususkan kepada empat anak muda berbakat ini iaitu Aiman “ManParang” Amirul (kapten), Abdul Azim “Draxx” Ikromi Abdul Rashid, Muhammad “Jumper” Izzrudin Hashim dan Ahmad “Fredo” Fuad Razali.

Mereka telah membawa pulang hampir RM200,000 hasil daripada kemenangan di PMPL SEA Finals 2020. Jumlah ini mengambil kira hadiah utama US$30,000 (RM130,000), Anugerah Pasukan Popular berjumlah US$3,000 (RM13,000), hadiah Chicken Dinner berjumlah AS$2,500 (RM10,000), dan Anugerah Gunkiller Player berjumlah AS$5,000 (RM21,000).

Dalam kejohanan ini, Yoodo Gank dengan nama terkenal “The One and Only” berjaya mengumpul 284 mata dan juga 5 Winner Winner Chicken Dinner dalam 15 pusingan yang dipertandingkan dari 1 Mei sehingga 3 Mei 2020.

Apa yang menakjubkan tentang kemenangan ini ialah Yoodo Gank berjaya mengalahkan juara PUBG Mobile Club Open 2019 Fall Split iaitu Bigetron Red Aliens. Pasukan Indonesia tersebut memperoleh tempat kedua di PMPL SEA Finals S1 dengan pengumpulan 187 mata.

Malaysia Book Of Records kali ini memperluaskan penghargaan mereka kepada pemain industri e-sukan dan seterusnya melaungkan semangat ‘Malaysia Boleh’ kepada kesemua rakyat Malaysia untuk pencapaian membanggakan ini.

Sebelum ini, Soloz menerima penghargaan sama dalam kategori Pengikut Facebook Paling Banyak (E-Sukan), Dr. Yew Weng Kean sebagai pemenang pingat emas pertama di Sukan SEA 2019 (E-Sukan) dan Biu Biu dengan Jumlah Tontonan Video Terbanyak Untuk E-Sukan di Youtube.

Dalam perkembangan sama, Yoodo Gank layak ke Razer SEA Invitational 2020 dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini.

RELATED NEWS

+