Ghost Of Tsushima Akan Dilancarkan Pada 26 Jun 2020

Permainan video ialah platform yang sempurna untuk memberikan kita pengalaman menjadi watak yang hebat dan perkara ini tidak mampu dilakukan di medium lain seperti filem dan buku.

Antara konsep yang paling popular dalam kalangan penggemar permainan video ialah menjadi samurai. Untuk tahun ini, studio Sucker Punch akan melancarkan sebuah permainan video samurai bertajuk Ghost of Tsushima pada 26 Jun 2020 untuk PlayStation 4 (PS4).

Tarikh pelancaran ini diumumkan melalui trailer terbaru permainan video tersebut yang juga memberikan pencerahan tentang kisah hidup Jin Sakai, protagonis yang akan dikawal oleh pemain.

Dalam Ghost of Tsushima, pemain akan menggunakan pelbagai taktik untuk mengalahkan tentera Mongol yang telah menyerang negara Jepun. Sebab utama Jin berdendam terhadap tentera Mongol adalah kerana mereka telah menaklukkan Tsushima, tempat tinggal Jin.

Selain daripada Ghost of Tsushima, satu lagi permainan video samurai yang akan dilancarkan pada tahun ini ialah Nioh 2. Ia akan dilancarkan untuk PS4 pada 13 Mac 2020.

Studio disebalik Ghost of Tsushima iaitu Sucker Punch sebelum ini membangunkan siri permainan video adiwira Infamous. Pada zaman PlayStation 2 (PS2) dahulu, mereka membangunkan siri permainan video Sly Cooper.

Sumber: PlayStation

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+