Masa depan Destiny 2 diperincikan, versi PS5 dan Xbox Series X turut disahkan

Sudah hampir tiga tahun berlalu sejak Bungie melancarkan Destiny 2 dan kini ia merupakan antara permainan video multi-pemain paling popular di dunia. Walaubagaimanapun, pihak pembangun tiada rancangan untuk membangunkan sebuah sekuel.

Serentak dengan pengumuman kandungan tambahan seterusnya untuk Destiny 2 iaitu Destiny 2: Beyond Light, Bungie juga menerangkan tentang masa depan judul tersebut di laman web rasmi Destiny 2.

Destiny 2: Beyond Light akan dilancarkan pada 22 September ini dan ia kini boleh dipra-tempah untuk PC dan Xbox melalui Steam dan Microsoft Store. Pada waktu ini, laman PlayStation Store untuk judul ini belum diwujudkan.

Nampaknya studio tersebut telah memutuskan untuk terus menyokong Destiny 2 dan tidak merancang untuk membangunkan Destiny 3. Salah satu konsep baharu yang diperkenalkan ialah Destiny Content Vault (DCV).

Secara ringkasnya, DCV akan digunakan sebagai tempat untuk Bungie menyimpan dan mengeluarkan kandungan Destiny 2. Contohnya, kawasan Cosmodrome dari Destiny yang pertama akan dikeluarkan dari DCV dan dimasukkan ke dalam Destiny 2 pada 22 September 2020.

Pada tarikh yang sama, kawasan-kawasan Io, Titan, Mercury, Mars, and Leviathan akan dikeluarkan dari Destiny 2 dan dimasukkan ke dalam DCV. Bungie menyatakan mereka akan mengitar semula kandungan Destiny 2 menggunakan sistem ini mengikut minat pemain terhadap kandungan sedia ada.

Penambahan terbaru dalam Destiny 2 ialah Season of Arrivals yang sudah boleh dimain sekarang. Ia memperkenalkan sebuah dungeon baharu iaitu Prophecy dan bersamanya ganjaran-ganjaran baharu yang menarik. Ia boleh diakses secara percuma oleh semua pemain.

Untuk masa depan Destiny 2, Bungie menjanjikan lagi dua penambahan besar iaitu Destiny 2: The Witch Queen yang akan tiba pada tahun 2021 dan Destiny 2: Lightfall (tajuk kerja) yang dijadualkan untuk tiba pada tahun 2022.

Satu lagi pengumuman menarik ialah versi PlayStation 5 (PS5) dan Xbox Series X untuk judul ini telah disahkan. Pembelian di PlayStation 4 (PS4) akan dipindahkan ke PS5 secara percuma dan Destiny 2: Beyond Light akan dipindahkan secara percuma dari Xbox One ke Xbox Series X.

Maklumat lanjut mengenai Destiny 2 versi PS5 dan Xbox Series X akan didedahkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

Sumber: Bungie

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+