Ubisoft Beri Assassin’s Creed Unity Secara Percuma, Derma RM200,000 Bagi Baik Pulih Notre Dame

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kebakaran Katedral Notre Dame yang mana ia merupakan satu mercu tanda dalam landskap negara Perancis. Api marak yang berlaku pada hari Isnin lepas menjilat bahagian bumbung Gereja Besar, lalu memusnahkan struktur puncak menara.

Oleh kerana Katedral Notre Dame adalah satu simbol penting bagi rakyat Perancis, ramai orang menghulurkan sumbangan termasuk jutawan, banyak perniagaan dan sektor awam bagi membantu kos baik pulih menurut laporan Berita Harian.

Ubisoft adalah salah satu syarikat yang menyokong usaha baik pulih dengan memberi sumbangan sebanyak USD$50,000 (RM207,340) bagi membantu kos pembaikan monumen zaman pertengahan ikonik ini.

Bukan itu sahaja, syarikat video game Perancis ini menawarkan Assassin’s Creed Unity secara percuma di PC melalui Uplay bermula dari hari ini sehingga 25 April pada pukul 3 pagi

Asssassin’s Creed Unity merupakan game ke-6 dalam siri Assassin’s Creed dikeluarkan pada 2014 yang mengikuti kisah seorang Assassin bernama Arno Dorian hidup di bandar Paris semasa Revolusi Perancis pada abad ke-17.

Assassin’s Creed memang terkenal dengan mengambil kira penghasilan semula setiap persekitaran dan landskap secara terperinci melalui banyak kajian dan rujukan daripada pakar sejarah. Sebagai contoh, penghasilan semula kapal lanun dalam Assassin’s Creed 4: Black Flag memerlukan masa lama sehingga menetap di Cuba selama sebulan dan menerima konsultasi dari pakar pembuat kapal.

Katedral Notre Dame dalam Assassin’s Creed Unity

Untuk Assassin’s Creed Unity, Katedral Notre Dame ini adalah antara salah satu bangunan ikonik Perancis yang boleh dijelajahi oleh pemain. Menurut The Verge (melalui Gamespot), level artist Assassin’s Creed Unity, Caroline Miousse mengambil masa 2 tahun untuk menghasilkan rekaan semula luar dalam Notre Dame. 

Melalui pemberian game ini secara percuma, Ubisoft menulis dalam blog rasmi, “Video game membolehkan kita untuk menjejaki tempat yang kita tidak boleh bayangkan. Sebagai satu penghormataan, kami berharap ini dapat memberikan peluang untuk semua orang menghargai monumen bersejarah ini secara virtual.”

Untuk dapatkan Assassin’s Creed Unity (untuk PC sahaja), korang boleh klik di pautan ini.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+