Epic Games Store Dilancarkan Oleh Pembangun Fortnite, Jadi Saingan Utama Steam

Pembangun Fortnite, Epic Games telah melancarkan sebuah stor game digital tersendiri dipanggil sebagai Epic Games Store dan menawarkan pembahagian untung lebih tinggi iaitu sebanyak 88% keuntungan kepada pembangun game dan 12% lagi kepada Epic.

Epic bekerjasama dengan Unreal Engine, syarikat yang membangunkan game engine bagi membuat pelbagai jenis game termasuk Fortnite, PUBG, Dragon Quest XI, dan Final Fantasy 7 Remake bakal tiba tidak lama lagi.

Epic Games Store dibuka dengan senarai game PC yang bukan sahaja dibangunkan menggunakan Unreal Engine, malah menawarkan pelbagai game terkini oleh semua pembangun & penerbit game.

Yang menarik adalah bagi game yang dibina menggunakan Unreal Engine, Epic akan mengendahkan bayaran royalti yang dicaj daripada jualan game itu. Sebelum ini, pembangunan game melalui Unreal Engine harus memberikan bayaran royalti 5% terhadap semua jualan kepada Epic.

Tamparan hebat untuk Steam

Pengumuman ini seakan tepat pada masanya apabila Steam menyemak semula pelan pembahagian keuntungan pada minggu lepas. Kebiasaannya, Valve akan mengambil sebanyak 30% untuk semua jualan game di Steam. Melalui rombakan pelan ini, jualan game mencecah USD$10 juta ke USD$40 juta akan menyalurkan 25%  manakala jualan melangkau USD$50 juta ke atas akan memberikan 30% kepada Steam.

Walaupun Steam merupakan rumah kepada game esports terkenal seperti Dota 2 dan CS:GO, hampir kebanyakkan game popular tahun ini tidak lagi dilancarkan melalui Steam seperti Call of Duty: Black Ops 4, Red Dead Redemption 2 dan FIFA19 lalu menggugat posisi Steam sebagai stor game digital terbesar di dunia.

Syarikat-syarikat yang membangunkan game triple A mampu bertahan dengan hasil jualan mereka lalu mengelak daripada membayar 30% keuntungan jualan kepada Steam dengan melancarkan stor digital mereka tersendiri Sebagai contoh, Activision Blizzard dengan Battle.net, Ubisoft dengan Ubisoft Club (walaupun masih ada lagi beberapa game Ubisoft dijual di Steam) dan juga Bethesda iaitu memperlihatkan Fallout 76 versi PC dilancarkan eksklusif untuk Bethesda.net.

Bukan setakat itu sahaja, Steam harus bersaing dengan Discord Store yang dilancarkan oleh aplikasi chat Discord yang mempunyai fungsi sama dan turut memasukkan game eksklusif hanya boleh dimainkan di Discord sahaja. Kawalan kandungan Steam longgar terhadap game mempunyai unsur-unsur negatif dan lucah menjadikan kebanyakkan pembangun game indie memilih untuk meletakkan game di itch.io.

Kekayaan Fortnite merealisasikan Epic Games Store 

Streamer popular Fortnite, Tyler “Ninja” Blevins

Selain daripada pembahagian 12/88 murah hati kepada pembangun game di Epic Games Store, Epic juga menerapkan masuk program Support-A-Creator khas direka untuk memberi ganjaran kepada streamer dan pencipta kreatif lain.

Program yang diwujudkan untuk Fortnite sebagai acara istimewa kini menyokong seramai 10,000 pencipta kreatif dan angka ini akan semakin meningkat sehingga ke hari ini.

Streamer popular, Tyler “Ninja” Blevins merupakan antara individu yang menyertai program ini dan mendapat USD$5 melalui setiap 10,000 matawang game dipanggil sebagai ‘V Bucks’ yang dibelanjakan oleh pemain sebagai tanda sokongan kepada streamer. Sebagai pulangan, Ninja pula terus streaming Fortnite setiap hari manakala Epic terus dapat keuntungan daripada transaksi dalam game (microtransaction). 

Menurut CEO Epic, Tim Sweeney berkata ini bukan sahaja terhad untuk game percuma seperti Fortnite. Program ini akan diperluaskan untuk game berbayar dan membolehkan pencipta kreatif YouTube, Twitch ataupun penulis blog untuk mendapat pulangan duit sekiranya mereka berjaya menarik perhatian pemain untuk beli game. 

Bagi menarik perhatian streamer dan selebriti internet, Epic juga akan menampung perbelanjaan sebanyak 5% bagi 2 tahun pertama program Support-A-Creator.

Game apa bakal masuk dalam Epic Games Store?

Sumber gambar: The Verge

Epic berharap untuk menawarkan game mobile di Android dan iOS tetapi menurut Game Informer, ini mungkin bercanggah dengan polisi Apple.

Walaupun kita masih lagi samar-samar tentang senarai game bakal dimasukkan dalam stor digital ini, kita haruslah tunggu pengumuman susulan Epic di The Game Awards pada hari Jumaat ini.

Epic Games Store juga bakal tiba di Malaysia. Sambil-sambil itu, korang boleh tengok-tengok dulu fasa beta Epic Games Store.

Bagi pendapat korang, adakah korang rasa adakah kebanjiran stor digital dikepalai oleh banyak syarikat berbeza membebankan kita sebagai pengguna. Kepada pembangun game pula, adakah ini satu peluang cerah bagi korang untuk memasarkan game korang dan mendapat pulangan lebih lumayan berbanding Steam sahaja? 

Kongsikan pendapat korang bersama kami di Facebook MyGameOn dan ikuti kami untuk segalanya gaming dan esports!

Sumber: The Verge

RELATED NEWS

+