Komputer riba Razer Blade 15 dan Razer Blade Pro 17 diumumkan untuk pasaran Malaysia

Komputer riba gaming Razer Blade 15 dan Razer Blade Pro 17 sudah lama dilancarkan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura. Akhirnya, Razer akan melancarkan dua produk tersebut bersama beberapa produk baharu lain untuk pasaran Malaysia.

Selain daripada komputer riba Razer Blade 15 dan Razer Blade Pro 17, Razer juga akan melancarkan bekas luaran GPU atau external graphics enclosure (eGPU) Razer Core X Chroma dan bekas komponen PC Razer Tomahawk Gaming Chassis.

Razer Blade 15

Razer Blade Pro 17

Komputer riba Razer Blade 15 dan Razer Blade Pro 17 direka untuk pemain yang serius. Kedua-dua model tersebut datang bersama pilihan untuk komponen-komponen spesifikasi tinggi seperti kad grafik RTX 2080 Super, skrin paparan OLED 4K, kadar segar semula 300Hz, dan banyak lagi.

Harga Razer Blade 15 bermula dari RM8,999 dan harga Razer Blade Pro 17 pula bermula dari RM12,499. Kedua-duanya akan dilancarkan di Malaysia pada bulan November tahun ini.

Razer Core X Chroma boleh digunakan bersama kedua-dua komputer riba di atas dan juga Razer Blade Stealth 13 untuk meningkatkan lagi kuasa pemprosesan grafik. Ia hanya boleh digunakan bersama sistem yang mempunyai sambungan Thunderbolt 3 external graphics support (eGFX).

Siri-siri kad grafik yang disokong oleh Razer Core X Chroma adalah Nvidia GeForce RTX, GeForce GTX, Quadro, AMD XConnect enabled Radeon, dan AMD Radeon Pro. Produk ini juga boleh digunakan bersama komputer riba Mac tetapi hanya dengan model-model kad grafik AMD tertentu.

Razer Tomahawk Gaming Chassis ialah sebuah bekas komponen PC yang mempunyai beberapa keistimewaan. Antaranya ialah ia mempunyai dua panel kaca terbaja yang membolehkan akses mudah pada belah kiri dan kanan PC.

Bekas ini juga datang bersama pencahayaan Razer Chroma RGB di bahagian bawah yang boleh dikawal dengan aplikasi Razer Synapse 3. Ia datang dalam dua saiz, satu untuk konfigurasi ATX dan satu lagi untuk konfigurasi mini-ITX.

Razer Core X Chroma akan dijual pada harga RM1,999 dan ia akan dilancarkan pada bulan November ini. Untuk Razer Tomahawk Gaming Chassis pula, model mini-ITX akan dijual pada harga RM1,099 dan dilancarkan pada penghujung bulan Oktober. Maklumat pelancaran untuk model ATX akan diumumkan pada masa depan.

Ini merupakan satu pengumuman yang dinanti-nantikan oleh pemain PC di Malaysia kerana ramai pemain menunggukan ketibaan Razer Blade 15. Ia merupakan antara komputer riba gaming yang kerap mendapat pujian dan anugerah daripada peminat permainan PC luar negara.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+