Saksikan Trailer The Dark Pictures: Man Of Medan, Game Seram Terbaru Dari Developer Until Dawn

Developer Until Dawn, Supermassive Games telah mengumumkan game terbaru mereka iaitu sebuah antologi seram berjudul The Dark Pictures Anthology. The Dark Pictures adalah siri seram sinematik yang berpandukan keputusan pemain dan setiap siri akan dilancarkan dalam bentuk stand-alone.

Jika korang tertanya apa makna stand-alone, ia merujuk setiap game ditonjolkan dalam antologi ini akan ada cerita, karakter dan pilihan tersendiri yang disediakan untuk pemain. Menurut CEO dan penerbit Supermassive Games Pete Samuels, format antologi untuk The Dark Pictures ini memberi peluang kepada mereka untuk mempamerkan pelbagai kisah seram di serata dunia. Tambahan pula, kira-kira 39 kisah seram telah disertakan bagi The Dark Pictures Anthology!

Sempena GamesCom 2018, developer mengumumkan kisah seram pertama bagi The Dark Pictures adalah bertajuk Man of Medan. Jom kita layan trailer Man of Medan di bawah:

Man of Medan mengisahkan sekumpulan pelancong Amerika sedang menikmati percutian sambil melakukan aktiviti menyelam di sekitar pulau-pulau Pasifik Selatan. Namun, percutian indah bertukar menjadi buruk apabila mereka terserempak dengan sebuah kapal besar peninggalan Perang Dunia ke-2 dan terpaksa menaiki kapal itu dek kerana ribut besar membadai bot mereka.

The Dark Pictures: Man of Medan membolehkan korang untuk mengawal keseluruhan jalan cerita termasuk ajal dan maut setiap karakter serta pengakhiran game kerana semua keputusan terletak di tangan korang. 

Berbeza dengan Until Dawn, terdapat satu ciri gameplay terbaru dinamakan sebagai ‘Premonition’ iaitu pemain boleh merenung ke masa hadapan untuk melihat bagaimana keputusan korang dizahirkan dalam game ini. Man of Medan merupakan satu daripada dua siri yang bakal dikeluarkan pada tahun hadapan.

The Dark Pictures: Man of Medan akan dilancarkan pada 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

Sumber: GamesRadar

RELATED NEWS

+