Expand sasar lakukan yang lebih baik di Siri Dunia Free Fire (FFWS) kali ini

Pasukan Free Fire Malaysia, Expand yang bermain di bawah slot MCPS (Malaysia, Kemboja, Filipina dan Sri Lanka) ingin lakukan yang lebih baik di Siri Dunia Free Fire (FFWS) 2023 bermula 10 November ini.

Pemain mereka, Mohamad Azim Mohd Asri, 19 atau The Axel mengatakan persiapan dilakukan dengan bermain mod Clash Squad bersama Expand Army.

“Kami cuba pelbagai karakter dengan skill baharu dan mendapatkan setup yang bagus.

“Ada juga berlatih (scrim) bersama pasukan profesional dari MCPS. Pada sebelah malam, kami akan menjemput pasukan dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand untuk berlawan bagi menambahkan ilmu dan mempelajari strategi baru,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Bagi Putera Iskandar, 19 atau 2fast pula, semua pasukan di FFWS kali ini harus digeruni kerana gaya permainan mereka sukar diramal.

“Banyak pasukan baharu muncul di peringkat dunia ini. Kita tak boleh duga kekuatan mereka kerana mereka boleh saja tunjukkan corak permainan yang ganas.

“Tapi kami tampil lebih yakin dan kuat dengan kemasukan jurulatih baru, Tomo dan pemain baharu, CrimeMKS,” katanya.

Expand bermain di peringkat liga MCPS musim keenam

Antara cabaran lain bagi Expand di saingan kali ini adalah keperluan merombak barisan pemain dan 2fast yang perlu menukar posisi dari fragger ke rusher.

“Perlu masa berminggu juga untuk membiasakan diri dengan posisi baharu ini,” katanya.

Bagi Expand, sasaran mereka adalah bergelar juara namun mendapatkan posisi tiga teratas turut menjadi sasaran realistik mereka.

FFWS 2023 akan bermula pada 10 November ini hingga 19 November untuk pusingan penyingkiran manakala 12 pasukan teratas akan lawan di pusingan Points Rush sehingga ke grand final bermula 24 November hingga 26 November.

 

RELATED NEWS

+