Game Peaky Blinders Diumumkan, Jalan Cerita Merupakan Prekuel Kepada Musim Pertama

Jika anda minat menonton siri televisyen genre drama jenayah, anda semestinya pernah menonton Peaky Blinders. Jika belum, anda patut tonton siri tersebut kerana ia menampilkan lakonan dan skrip yang sangat hebat.

Sebuah permainan video berdasarkan siri tersebut telah diumumkan. Ia bertajuk Peaky Blinders: Mastermind dan akan dilancarkan di PC, PlayStation 4 (PS4), Nintendo Switch, dan Xbox One. Ia dibangunkan oleh Futurlab dan diterbit oleh Curve Digital.

Menurut apa yang ditunjuk dalam trailer di atas, ia merupakan sebuah permainan berunsurkan puzzle-adventure. Nampaknya pemain akan mengawal watak-watak utama dari siri Peaky Blinders dan harus mempertahankan empayar jenayah keluarga mereka.

Pemain akan diberikan situasi-situasi tertentu dan perlu merancang bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan misi. Jika tersilap langkah, pemain boleh putar kembali masa dan rancang semula.

Setiap watak Peaky Blinders mempunyai kebolehan tersendiri yang harus digunapakai untuk menyelesaikan misi. Contohnya, Tommy boleh mengugut orang dan Polly pula boleh memberi rasuah dan membuka pintu yang dikunci.

Menurut IGN, jalan cerita Peaky Blinders: Mastermind berlaku sebelum permulaan musim pertama siri televisyen Peaky Blinders. Steven Knight (penulis utama siri Peaky Blinders) turut terlibat dalam pembangunan judul ini.

Pada waktu ini, tarikh pelancaran untuk permainan ini masih belum diumumkan.

Sumber: IGN

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+